Posted by: abusyakirin | 2 Mac 2016

Zahir Kembali.

IMG-20160228-WA0039

Nak Bertabik Sikit…

Salam hamba bererti selamat tuan sekalian dari lidah dan tangan hamba, tiada memukul hamba dengan bicara apalagi dengan gerak anggota.Salam hamba bererti tiada umpat dan nista serta tiada pula niat jahat di hati melainkan segalanya kerana redha Ilahi.

Salam ukhuwah salam pendekar, Menjunjung wadah yg diberikan, Hamba tunas baru nak menjalar, salah silap mohon ajarkan.Salam ukhwah salam bersambut, salam pendekar salam bertaut. hamba ini berdahan lembut, manakan kukuh jadi tempat berpaut

Duduk panglima keris di sisi, Duduk mengawal Duli Tuanku, Tunduk padi kerana isi, Tunduk manusia kerana ILMU.Mana mungkin ada ilmu di dada, Kalau bukan kerana dipusakai jua.Mana datangnya pendekar muda. Kalau bukan kerna ada ajaran tua .

Posted by: abusyakirin | 7 Oktober 2014

Stange Iseh

Dalam bahasa Kelantan, perkataan ‘ Stange’ atau ‘Stangan’ mempunyai mempunyai dua pengertian, dan tergantunglah kepada  ayat yang digunakan.

1.  Satu pemahaman di dalam melakukan sesuatu gerak kerja secara berkumpulan (satu tangan)

2.  Merujuk kepada singkatan perkataan ‘sapu tangan’ iaitu kain berbentuk empat segi yang ianya boleh dijadikan alat perhiasan kepala atau kegunaan lain.

Dan bagi orang-orang tua kita, kain stangan ni dibahagi kepada dua jenis dengan tiga panggilan..

a)  Stangan Air – Kain sapu tangan kecik yang boleh mengesat peloh, menyapu muka dan buat ‘kesat hingus’ untuk mereka yang berair hidung akibat selsema.  Stangan air ni juga diguna untuk membungkus batil atau puyok kecik yang telah di isi  dengan gula atau beras atau biskut nak bawa gi rumoh orang bekwoh. Stangan air juga dimasuk kedalam poket baju dan dilipat dengan berbagai lipatan untuk dijadikan perhiasan. Tetapi setelah masuknya kain sapu tangan dari luar negeri yang kita dapati di kedai2 hari ini, sapu tangan itu pun dipanggil stangan air juga, walau pun saiz stangan air sekarang lebih kecil dari yang dahulu.

Stangan air – buatan Jawa

b) Stangan Batik – Kain sapu tangan yang berukuran besar sekira-kira kain seproh. Oleh kerana  termasuk dalam kategori kain batik, maka ia disebut stangan batik.

c)  Stangan Iseh – Sebenarnya stangan iseh ini sama dengan stangan batik juga, kerana kedua2nya dibuat dengan corak yang khusus untuk tujuan ini, cuma nama sebutanNya sahaja yang berlainan.

Disebut stangan batek kerana mempunyai corak batik dan panggil stangan iseh kerana kain stangan ini disusun atau dilipat dengan bermacam2 bentuk dan gaya untuk dipakai pada kepala, atau pun dipanggil destar. Daripada bentuk ini pula maka lahirlah nama-nama isehan untuk stangan-stangan tersebut. Bagaimana pun isehan stangan ini tidaklah sehebat iseh membuat tengkolok yang mempunyai berbagai-bagai nama seperti ayam patah kepak, helang menyongsong angin, balung ayam, pari mudek dan sebagainya, kerana proses membuat tengkolok ini memerlukan masa dan hanya dapat dibuat oleh mereka yang mempunyai kepakaran sahaja. Tidak seperti dengan stangan iseh yang hanya dapat di iseh dalam masa yang singkat sahaja, dan apabila selesai dipakai,  isehanNya akan dibuka kembali. Cuma ada la juga nama2 iseh yang biasa disebut, seperti ‘Tanduk bbiri’, ‘Gantang pekasam’ dan saya pun tak tahu sangat pasal nama-nama iseh stangan ni

Stangan Iseh @Stangan Batik Buatan Jawa

Kain seprah batik Kelantan

Pada pendapat saya, kain stangan iseh ini mempunyai dua versi, iaitu versi Jawa (yang dibuat di jawa) dan versi Kelantan (yang dibuat di Kelantan) dan kalau tak silap  di sana orang memanggil dengan nama ‘kain ikat kepala’ . antara kedua-dua versi ini, saya berpendapat bahawa kain stangan iseh dari jawa lebih dahulu dipakai oleh orang-orang Kelantan berbanding dengan kain stangan iseh buatan Kelantan. Walau pun dikatakan perusahaan batik di Kelantan bermula pada abad ke 19, tetapi corak batiknya bukan seperti yang terdapat pada kain stangan iseh ini, tetapi ia lebih kepada corak kain pelangi. Pada tahun ‘20an barulah dibuat batik jenis ni, tu pun lebih menjurus kepada kain batik sarong jah dulu.

Di dalam buku ‘Karya Lengkap Abdullah bin Abdul Kadir Munsyi Jld.I’, ms 128 ada tertulis semasa Abdullah Munsyi di Kelantan, beliau ada menyebut tentang gambaran tentang Raja Bendahara.

“Maka adalah sifat orangnya itu sahaya lihat, mukanya bulat, tiada tinggi tiada rendah, dan tubuhnya gempal2, dan kulitnya putih kuning, dan dipakainya kain bugis hitam, tiada berbaju, dan sapu tangannya batik bang”.

Batik bang’ bererti ‘batik merah’’. Aku rasa batik ni memang di bawa masuk dari jawa doh sebab di jawa pun pakai istilah ni jgk, saperti Batik Bang-bangan adalah merah berdasr putih, Bang biru adalah berwarna merah dan biru pada dasar putih.

tengkolok3 tengkolok2

Kain stangan buatan Jawa                                 Kain stangan buatan Kelantan

Saya pernah melihat gambar-gambar orang melayu yang berstangan iseh jenis batik ni pada awal tahun 1900 di Pahang dan N.Sembilan. Pada pengamatan saya, corak kainNya sama dengan corak kain stangan  batik buatan jawa yang terdapat di Kelantan. Bahkan pada suatu ketika dulu semasa saya pergi ke sebuah sekolah dalam daerah Kuala Pilah sempena dengan ulangtahun ke 50 sekolah tersebut, saya dapati nekar-nekar makanan yang bertutup dengan saji, semuanya dibungkus dengan kain stangan buatan jawa. Mula-mula terbeliak juga butir mata saya melihat kain yang saya cari selama ini hanya dibuat pembalut nekar oleh orang kampung situ.

Memang betul dah apa yang ditulis oleh seorang belanda dalam sebuah buku yang mengatakan bahawa pada abad 19 kain batik dari lasem jawa telah di eksport ke Sumatera dan termasuklah ke Tanah Melayu melalui pelabuhan semarang dan ada juga kain ikat kepala dan selendang dengan hiasan tulisan arab untuk keperluan eksport ke Sumatera diproduksi di Ceribon. Patut la kain stangan ni ada juga coraknya yang bertulis dengan ayat qur’an. Masa saya masih kecil  dulu, saya biasa la dengar orang-orang tua kelate sebut ‘kain batik laksam’, saya ingat ko kain tu orang buat bungkus laksam, rupa-rupanya kain tu mari daripada Lasem jawa., bekadas molek…

Dalam buku istiadat mentabal KDYMM Al Sultan Ismail pada tahun 1921 pun ada tertulis tentang peraturan berpakaian semasa istiadat tersebut sebagaimana dibawah ini;

stangeiseh_0007

4.  Kerabat2 ahli mesyuarat kerajaan – Dato’-Dato’ dan orang2 yang berpangkat di dalam jawatan kerajaan daripada bangsa melayu hendaklah memakai sama rupa pakaian melayu Kelantan dengan secukupnya bagaimana di bawah ini:-

  1. Stangan Kepala buata Jawa
  2. Baju Kancing Sebutir Kain Jerab
  3. Baju Dalam Sutera tangan Sekerat
  4. Seluar Sutera potongan Acheh
  5. Ikat Pinggang Kain Limar Kelantan
  6. Keris Pendek
  7. Selendang Kain Sarung Sutera Kelantan
  8. Sepatu

 

Sumber :

ATURAN – Bagi istiadat mentabalkan KDYMM Raja memakai gelaran ‘”Al Sultan Ismail” Kelantan dan memahkotakannya ( 1921 )  ms 26

Kalau tengok pada keterangan di atas, bermakna stangan iseh tempatan belum dibuat lagi pada masa itu. Saya tidak pasti bilakah stangan iseh tempatan mula dibuat di Kelantan. Adakah dibuat seiring dengan pembuatan kain seprah dan kain lapik meja yang bercorak batik. Atau pun kain seprah dan kain lapik meja ni diilhamkan dari kain stangan iseh batik buatan jawa, saya tak tahu belaka tuh. Cuma ada beberapa ciri perbezaan untuk kita nak kenal antara kain stangan buatan jawa dgn kain seprah. Saya pun tak pasti adakah kain stangan jenis ni masih dibuat lagi atau tidak di Jawa.

Bagaimana pun ada sejenis kain stangan lagi buatan melayu yang bentuk dan coraknya seakan-akan dengan stangan iseh buatan jawa ni dan kalau tak silap saya stangan yang jenis tu dipanggil stangan telepuk. Stangan ni saya rasa bukan dari jenis batik kerana bunga yang terdapat di atas kain itu berwarna emas dan di cop dengan menggunakan sarang kayu. Katanya bunga warna emas .ini dihasilkan daripada perada terbang.

Kain lapik meja

Kain seprah


Kain batik sarong

Kain batik ela

Bagaimana pun sekarang ini sudah agak susahsaya hendak melihat orang memakai kain stangan iseh yang asli buatan jawa. Kalau ada pun hanya dimiliki oleh individu-individu tertentu dari kalangan puak-puak bersilat sahaja yang diwarisi dari turun temurun. Boleh dikatakan semua orang yang saya lihat sekarang ini, ada diantaranya mengambil jalan mudah dengan mengiseh kain seprah, kain lapik meja atau kain2 dari jenis batik ela untuk mengganti kain stangan iseh batik. Bahkan sekarang ini orang sudah pandai mengguna kain yang jenis berkilat yang di import dari Thailand atau India. Kalu demo pakai hok bekilat ni, pakai baju putih pagoda, seluar jean, selindang kain batik sarong, bagi saya adalah satu kecanggungan yang amat sangat. Saya teringat ko kain pemekop sarang burung ketitir selalu…kita baso jenis minat ko barang ori gak payoh selalu, beraso sekok sebok sokmo..

Tapi kalu kita tengok orang bersilat tari, kot-kot mana pun dia akan cari jugak kain yang jenis batik ni,. tak kiralah kain seproh ko, kain alas meja ko, sarung bantal golek ko. Dia tidak akan semutar dengan kain lepas, padahalnyo kain lepas itu pun berfungsi sebagai kain ikat kepala juga. namun menggunakan kain batik lepas tidak sama sekali …..Haaaaaa bakpo????

Minta Maaf kepada pembaca sekelian kerana kali ini tulisan bercampur loghat kelate…

Sumber rujukan : Ayahanda Che Mat Jusoh ( Lokan Bertepuk )

_________________________________________________________________________________

© KHALIFAHGAYONG.COM (AKU DAN GAYONG)

Hak cipta terpelihara. Setiap artikel yang tersiar di Khalifahgayong.com dihasilkan untuk tujuan pendidikan dan bersifat non-komersil. Pembaca bebas menyalin dan menyebarkan artikel yang terdapat di sini, namun alamat Khalifahgayong.com hendaklah disertakan bersama untuk memudahkan proses rujukan. Manakala untuk penerbitan semula dan berorientasikan komersil, setiap bahagian daripada artikel ini tidak boleh diterbitkan semula, disimpan untuk pengeluaran atau dipindahkan dalam bentuk lain, sama ada dengan cara bercetak, elektronik, mekanikal, fotokopi, rakaman dan sebagainya, tanpa izin KHALIFAHGAYONG.COM terlebih dahulu.

“Aku Dan Gayong”

http://www.khalifahgayong.wordpress.com


1001955_10203637511720661_7655454129366785469_n

Salamun alaik…

Bagi guru tua, silat adalah hidupnya, tidak kira apa jenis silat sekalipun. Bagi mereka wajib di jaga, di tatang bagai minyak yang penuh.Silat adalah sesuatu yang hebat. Yang hebat tidak dicipta atau dipelajari dalam sehari..silat adalah jiwa orang Melayu.Justeru itu Guru Tua berpegang pada prinsip yang silat tidak sekali-kali akan digadaikan. Tidak ada jual beli dan tawar menawar dalam silat..kerana bagi Guru Silat..Silat adalah tak ternilai harganya. Setiap Guru Tua tidak pernah memperlekehkan apa jua jenis silat pun.

Silat tidak pernah di hina atau ditertawakannya. Guru Tua tahu yang silat ini adalah ilham suci anugerah dari Allah swt untuk hamba-hambanya mempertahankan agama, dan tanah air. Sekiranya mereka menghina atau memperlekehkan samalah mereka memperlekehkan Allah swt. Ini adab yang betul-betul mereka jaga.Orang-orang Tua amat berhalus dan cukup cermat dalam menghayati Silat. Mereka Hidup dalam Bersilat, Bersilat Hidup didalam diri mereka. Hakikatnya mereka menguasai sepenuhnya Ilmu Persilatan.

 “ Bukit tidak akan kelihatan indah kalau tidak ada lembah-lembah di sekitarnya”.

Orang tua dulu kala sangat halus nilainya dalam menjiwai ilmu silat.  Inilah kelebihan mereka,  menguasai ilmu dan seluruh falsafah yang terkandung dalam segenap pelajarn pencak silat. Bukit yang dijadikan metafora  membawa maksud Guru atau nama sesuatau Persilatan. Bila disebut guru sudah tentulah melambangkan sesuatu yang hebat, berakhlak mulia, arif dan alim dalam bidangnya  dan mempunyai ilmu yang kukuh..ibarat bukit yang takkan goyah oleh lurah dan lembah disekelilingnya.

Bagi perkataan lembah yang berada di sekeliling Bukit membawa maksud apa saja yang dapat mengindahkan lagi permainan silat tersebut. Misalnya Anak murid yang betul-betul menguasai ilmu yang di ajarkan oleh gurunya, Peralatan Gendang dan Pakaian semasa berpencak.

Peralatan Gendang

Ianya terdiri daripada gendang anak, gendang ibu, gong dan serunai. Guru dilambangkan dengan gendang ibu, manakala murid pula diibaratkan gendang anak. Gong bertindak sebagai pemanggil dan serunai adalah ibu segala-galanya. Bila keempat-empat ini dipalu dan di alunkan, maka hiduplah Silat tersebut..akan segarlah jiwa dan naluri pencak silat. Ibarat bunga yang berkembang, harum semerbak.

Ibu bagi segala ibu dalam ilmu bergendang silat ialah serunai. Kenapa dikatakan ibu adalah kerana ianya mempunyai banyak mulut ( lubang ) Tujuh dibatang, satu di serobong ( tempat di tiup ), Pipit dan Yang akhirnya ialah Mulut si peniup serunai itu sendiri. Biasanya yang banyak mulut adalah orang yang banyak bercakap..ibu biasanya banyak bercakap menasihati perkara-perkara yang berfaedah. Dari seni lahirlah ibu ataupun induk Gendang Silat. Kelebihan serunai juga ialah ianya boleh dimainkan secara sendirian tanpa memerlukan gendang ibu, gendang anak dan gong. Tanpa ketiga-tiga tersebut, irama serunai masih boleh membangkitakan semangat pesilat dan  menghidupkan gerak langkah pencak seorang pesilat. Manakala sesuatu yang seakan-akan tidak kena jika ketiga-tiga peralatan tadi dimainkan tanpa adanya bersama tiupan serunai, nescaya pesilat akan lemah semnangat dan hampa dalam mengatur gerak.Umpama bunga yang layu..lembik dan terbujur kaku.

Perlu juga difahami dan diperhatikan..untuk mengeluarkan bunyi sudah tentu serunai perlu ditiup. Apabila ditiup sudah tentu ianya memerlukan nafas. Sekali lagi guru tua ada berpesan “ nafas adalah deria yang paling matang dan paling penting”. Maknanya ilmu nafas ni cukup penting dalam Persilatan.

Wallahualam.

Sumber

1. Azlan Ghanie Majalah Senibeladiri

2. Guru-guru Tua Silat Pulut.

_________________________________________________________________________________________________
Hak cipta terpelihara. Setiap artikel yang tersiar di Khalifahgayong.com dihasilkan untuk tujuan pendidikan dan bersifat non-komersil. Pembaca bebas menyalin dan menyebarkan artikel yang terdapat di sini, namun alamat Khalifahgayong.com hendaklah disertakan bersama untuk memudahkan proses rujukan. Manakala untuk penerbitan semula dan berorientasikan komersil, setiap bahagian daripada artikel ini tidak boleh diterbitkan semula, disimpan untuk pengeluaran atau dipindahkan dalam bentuk lain, sama ada dengan cara bercetak, elektronik, mekanikal, fotokopi, rakaman dan sebagainya, tanpa izin KHALIFAHGAYONG.COM terlebih dahulu.

“Aku Dan Gayong”

Posted by: abusyakirin | 9 Mei 2014

Berkecek dengan Abe ramli @ Prof Ramli perihal Keris.

keris melayu

Sebilah keris hanya dipanggil keris apabila lengkap berpakaian dengan hulu, pendokok dan sampirnya. Dari sebilah keris ini pula akan timbul rasa senang melihatnya, sedap memegangnya, gah memiliki dan sempurna sebagai senjata.

Senang melihatnya, memberikan pengertian bahawa sebilah itu sempurna dari segi buatan bilahnya, cantik ukiran hulu dan sampirnya, sesuai pula pendokok dan tepat pula hulu yang pilih.Sedap memegangnya bermaksud hulu dan sampir itu bagus buatannya sehingga selesa di sarungkan di pinggang, jika dipegang tidak jatuh , tercabut jika dibawa, jika berlawan tidak terbuang.

Gah memiliki bermaksud pula memberikan rasa kagum, rasa berwibawa, rasa berkuasa dan rasa berdaulat. Kalau ditabal dialah raja, kalau dianugerah dialah pembesar, kalau diarah dialah pendekar. Itulah keris Melayu.

seni ukiran Hulu dan Sampir keris

sebilah keris, tidak akan dipanggil keris jika tidak berhulu bersampir, batang serunai dan pendokok. Hulu keris terdiri dari pelbagai bentuk seni ukiran dan jenis bahan pembuatannya. Berapa jenis hulu yang cukup popular penggunaannya untuk keris Melayu adalah hulu tajung, jawa demam, pekaka, patah tiga atau kerdas, ayam teleng, burung kakak tua dan lain-lain lagi.

Bahan untuk hulu pula terdiri dari kayu kemuning, gading, tanduk, akar baha, gigi ikan, gerahang gajah, perak, tembaga dan sebagainya. Ukirannya pula tidak banyak bezanya dengan ukiran kasar yang terdapat dalam budaya melayu iaitu tampuk manggis, sulur kacang, ketam guri, bunga senduduk dan banyak lagi sama ada dalam ukiran coteng yakni berdasarkan garis-garis sobekan tidak dalam, ukiran separuh yakni tidak semua bahagian diiukir, atau ukiran penuh satu motif atau beberapa motif yang juga disebut ukiran bangsa agong.

Seni-seni ukiran hulu dan sampir keris ini juga berkaitrapat dengan adab dan ada ketika berperang, yakni dalam tradisi Melayu, keris tidak dihunus terus kepada lawan. Permulaannya dihentak dengan bontot keris terlebih dahulu di kepala lawan, jika masih melawan, hentakan kedua menggunakan muncung hulu, dan seterusnya barulah keris dicabut dari sampir dihiris telinga kiri, seterusnya telingan kanan, muncung hidung, terakhirnya barulah ditikam ke bahagian anggota badan.

 

Pemilihan jenis besi

Seperti yang pernah dikemukakan dalam Hikayat Hang Tuah, keris tempaan Melaka yang pertama menggunakan 2o jenis besi yang diambil dari jajahan takluknya dan dicampur dengan baja. Konsep tempaan keris Melaka ini kekal hingga kini. Walaupun demikian, pemilihan besi berdasarkan “tujuh Pa” iaitu Pa dari aksara arab itu cukup dominen dalam kebudayaan Melayu iaitu besi dari payung (payung raja), paha (alat tenggala/bajak tanah), paku, pahat dan pa yang lainnya menjadi teras kamilan

Besi payung sebenar adalah berkonsepkan berpayung kepada kekuasaan raja yang berdaulat sesuai dengan konsep “tulah” dan “daulah”, manakala paha berhubungan pula dengan kepercayaan bahawa besi dapat menghancurkan tanah, maka manusia yang berasal dari tanah akan dapat dikalah/tembus ke atas tubuh badan manusia, pahat pula dikaitkan dengan kekuatan tikaman yang dapat memusnahkan manusia, manakala paku adalah penghubung yang merapakan keris dan pemiliknya yakni unsur penyatu antara keris dan manusia.

Pemilihan hari memulakan penempaan besi

Tidak semua hari dianggap sesuai untuk menempa sebilah keris terutama keris sebagai “pakaian”. Pandai besi hanya akan memulakan kerja pada hari selasa 14 haribulan iaitu ketika bulan mengambang penuh. Hari selasa mengikut perhitungan Islam adalah bermula pada hari isnin selepas masuknya waktu maghrib. Kenapa tanggal 14 dianggap baik, mengikut ilmu kepustakaan tradisional Melayu, senjata yang dibuat pada hari ini dianggap baik untuk menyerang musuh, baik untuk dibawa belayar, murah rezeki dan hasil menjadi jika bertani..wallahualambissawab

Falsafah seni ukiran melayu

 ilmu tauhid banyak mempengaruhi falsafah seni ukir melayu. Setiap ukiran mesti ada dasar, ada asas dan puncanya .Setiap motif diambil dari alam yakni flora fauna, alam yang lebih luas dan juga anatomi fizikal manusia itu sendiri. Misalnya,  motif flora , yang menjalar mesti ada umbi atau tunggul/pangkalnya yang menjadi punca atau asas kehidupan. Ia melambangkan dasar aqidah yang kukuh, kemudian ia menjalar dan berkembang menjadi berlapis-lapis dan bertingkat-tingkat bersesuaian dengan angka-angka popular dalam Islam, seperti tiga tingkat (Allah,Muhammad, Adam), 4 tingkat ( zat,sifat,asma dan af’a) 5 tingkat( rukun Islam) manakala 6 tingkat (rukun iman) dan terakhirnya 13 tingkat iaitu rukun 13 dalam solat yang menjadi teras kehidupan.

Dalam menjalar ia tidak boleh menindih atau menikam, bila bertemu halangan ia akan menyulur ke bawah. Walau kemana sekali pun ia berkembang/membiak akhir sekali pucuk mesti ke atas mengadap langit sebagai tanda itu akhir perjalanan insan.  Seni ukir Melayu adalah satu jalan untuk kita mendekatkan diri dengan Allah.

Secara mudahnya, punca atau umbi/akar adalah terhasil dari biji benih (yang 40 hari dirahim bapa kemudian, 9 bulan 10 hari di rahim ibu) lahir bersulur bertunas membesar menyusur kehidupan berlapis-lapis dalam pelbagai tahap kehidupan yakni kanak-kanak, remaja, dewasa dan seterusnya bertemu sang Pencipta (Allah Subhanahuwataala). Ini adalah asas atau dasar dalam semua jenis seni ukiran Melayu, juga seni batik, seni senjata, perahu dsbnya. Apa yang ada pada sebuah rumah (sobek kasar), juga perahu akan ada pada ukiran keris (sobek halus).

Wallahualam

________________________________________________________________________________________________________
Hak cipta terpelihara. Setiap artikel yang tersiar di Khalifahgayong.com dihasilkan untuk tujuan pendidikan dan bersifat non-komersil. Pembaca bebas menyalin dan menyebarkan artikel yang terdapat di sini, namun alamat Khalifahgayong.com hendaklah disertakan bersama untuk memudahkan proses rujukan. Manakala untuk penerbitan semula dan berorientasikan komersil, setiap bahagian daripada artikel ini tidak boleh diterbitkan semula, disimpan untuk pengeluaran atau dipindahkan dalam bentuk lain, sama ada dengan cara bercetak, elektronik, mekanikal, fotokopi, rakaman dan sebagainya, tanpa izin KHALIFAHGAYONG.COM terlebih dahulu.

“Aku Dan Gayong”

http://www.khalifahgayong.wordpress.com

Posted by: abusyakirin | 16 Oktober 2013

Hanya Anak Gayong

BismILLAH walhamduLILLAH

Segala puji bagi ALLAH dan Selawat serta salam buat junjungan Mulia RasuluLLAH SAW. Lama benar saya menyepi dalam menulis dan mengemas kini gelanggang buruk saya ini. Benarlah bahawa kita ini hanyalah Makhluk bukannya Mamluk. Sehebat mana pun kita, kita tak mampu mengawal masa daripada terus bergerak meningalkan kita. Benarlah masa itu ibarat pedang yang memotong dan saat itu tidak dapat disambungkan kembali. Sungguh lemah dan hinanya diri saya ini.Betapa bernilainya masa masakan tidak, kerana ALLAH SWT pernah bersumpah

“ Demi Masa..”

Ya sungguh cepat masa berlalu, diam tak diam sudah 3 tahun lebih saya terbeban dengan jawatan yang cukup perit dipikul oleh saya. Bahkan keperitan itu dipikul sama oleh isteri dan anak-anak saya. Jawatan inilah yang menjadi asbab menemukan saya dengan sekalian banyak manusia yang bergelar anak Gayong. Ada yang suka bahkan tak kurang banyak yang marah dan membenci saya.

Pergaduhan ialah api, jangan menghampirinya kecuali dengan air ditangan yang dapat memadamkannya. Kita kerapkali bergaduh demi kerana berbeza jawapan terhadap sesuatu persoalan, sedangkan Allah tidak menguji kita untuk melihat siapakah yang betul jawapannya tetapi Dia menguji kita untuk melihat siapakah yang betul usahanya dalam mencari jawapan !

Apa yang membezakan seorang yang jahat dan seorang yang baik bukanlah terletak pada ilmu, ijazah atau kelulusannya apatah lagi sandang, bengkung atau jawatannya, tetapi pada KAWALAN DIRI. Ramai yang berilmu dan bijak namun kerana gagal mengawal diri akhirnya melakukan pelbagai kejahatan. Kawalan diri ialah Iman, taqwa dan segala-galanya bagi seorang yang bernama manusia !

Tak cukup lagikah dengan jawatan yang ada..?

Bukan pandai apa pun..hanya pandai mengkritik dan memfitnah orang lain..

Dengki kat orang la tu..

Kalau boleh semua jawatan dan kedudukan dia nak kat dia je..

Inilah asam garam dan perencah rasa yang saya terima dan dengar dalam sepanjang  memegang jawatan yang cukup membebankan diri saya dalam PSSPGM.

Tegur dan Nasihat

Saya bukanlah orang yang tamak dan kehausan pangkat dan kedudukan. Selama ini saya menyuarakan dan memperjelaskan apa yang sepatutnya. Bukanlah sengaja saya ingin menegur sesuka hati kepada ikhwan semua Saya bukanya mencari kemahsyuran dengan isu-isu dan kritikan yang saya berikan.Apa yang saya perjuangkan ialah demi Pertubuhan bukannya kedudukkan

GILAKAN NAMA dan STATUS

Sunnah salaf ialah menjauhi kemasyhuran

Diriwayatkan oleh Aasim bahawa jika ada lebih daripada empat orang datang mengelilingi Imam Abul Aaliyah maka beliau akan bangun dan beredar. Ketakutan para salaf terdahulu dari kemasyhuran ialah kerana mereka mengerti bahawa pujian, kekaguman dan kemasyhuran akan membinasakan keikhlasan dan amalan mereka disisi Allah SWT.

Berkata Imam Abdullah bin Mubarak,

 ‘Sufyan telah berkata kepadaku, ‘Jauhilah kamu daripada menyukai kemasyhuran kerana tidaklah aku mendatangi seseorang (dari kalangan salaf) kecuali mereka berpesan dengan melarang aku daripada kemasyhuran.’

Tanpa ikhlas maka setiap amalan yang dilakukan adalah sia-sia seperti firman-Nya:

وَقَدِمْنَا إِلَى مَا عَمِلُوا مِنْ عَمَلٍ فَجَعَلْنَاهُ هَبَاءً مَنْثُورًا

“Dan Kami hadapi segala amal yang mereka kerjakan, lalu Kami jadikan amal itu (bagaikan) debu yang berterbangan.” [al-Furqan: 23]

BUKANLAH MAKSUM

Saya juga tidak lupa bahawa saya bukanlah  seorang yang bersifat “maksum” yang terpelihara daripada kesalahan. Para ikhwan semua bebas menilai, mengkritik dan menganalisis apa yang saya sampaikan.

Lagipun ada dikalangan kita yang mempertikai bahawa saya bukannya ada gelanggang, sekadar bergelanggang di Blog “Aku Dan Gayong” tiada kemana pun, jadi segala jawatan saya dalam PSSPGM adalah tidak relevan. Jangan banyak bersembang dan menulis tetapi  banyakkan gelanggang, banyakkan keahlian, hantar yuran, hadir setiap program, jangan megah dengan jawatan dan syok sendiri dengan pelbagai gelaran… Ya saya setuju dengan anda, saya bukanlah seorang bertaraf guru apatah lagi lebih daripada itu, Saya masih belajar. Biarlah para ikhwan yang bergelar Cikgu, Guru, Ayah, Tok dan sebagainya meneruskan usaha mengembangkan Gayong menikut kemampuan dan gaya masing-masing asalkan Gayong berkembang dan kekal matlamat dan perjuangannya.

Hakikatnya saya tak mampu berbuat seperti kalian  untuk membuka banyak gelanggang, cawangan, ranting dan dahan. Saya diajar biarlah orang datang meminang kita, kita bertandang bila diundang. Ilmu kita bukan untuk dijual seperti  benda kebanyakkan kerana kita ada adab yang perlu ditantang. Usah ghairah menjual  ilmu yang ada, kerana ia bukannya benda yang jika tak laku dijual maka ianya rosak dimakan ulat, kekalkan Adab baru ilmu itu berdaulat. Ibarat Hang Tuah lima bersaudara yang sanggup meredah belantara semata-mata untuk berguru dengan pendita Adi Putra  dan sanggup meneruskan cita-cita meredah laut gelora berguru dengan Sang Persantanala. Biarlah adab  kita kekalkan bukan hanya memperjuangkan Adat

Antara Iman dan kufur

Imam Muslim meriwayatkan bahawa pada suatu hari datang seorang lelaki yang menjadi tetamu RasuluLLAH saw. Bagi melayaninya dengan baik RasuluLLAH saw menghidangkan susu yang diperah daripada seekor kambing, kemudian lelaki itu meminumnya sehingga habis. RasuluLLAH saw menambah susu yang diperah daripada kambing kedua, lelaki itu minum lagi sehingga habis, sehingalah sampai perahan dari kambing yang ke tujuh.

Pada malam itu lelaki tersebut telah menerima dakwah RasuluLLAH saw dengan hati yang ikhlas dan terbuka lalu lelaki tersebut telah memeluk Islam. Pada pagi esoknya dengan iman yang telah tersemat dihati, lelaki tersebut sekali lagi menjadi tetamu RasuluLLAH saw. Seperti kelmarin sekali lagi RasuluLLAH saw menghidangkannya dengan susu kambing. Setelah habis susu itu diminum, Rasulullah saw menghidangkan lagi dengan susu yang diperah daripada kambing yang kedua. Kali ini lelaki itu tidak mampu lagi meminum kerana sudah kenyang dan memadai.

Pada saat itulah RasuluLLAH saw mengucapkan kata-katanya yang mahsyur

“ Sesungguhnya orang yang beriman itu minum dengan SATU PERUT, sedangkan orang kafir minum dengan TUJUH PERUT.”

SubhanALLAH… itulah rahsia Iman. Bahawa setiap muslim yang beriman bukanlah seorang yang TAMAK. Bukan tamak pada harta, pangkat, kedudukan, nama dan sebagainya.

Insya ALLAH saya akan mengadap YDP PSSPGM dalam jangka masa terdekat untuk menyerahkan semula Sandang dan Watikah perlantikkan.Bukan soal merajuk atau patah hati, kerana ini tidak sepatutnya ada dalam kamus hidup seorang pejuang apatah lagi kalau ianya seorang Islam. Buat apa saya mempertahankan kedudukan saya, bukannya ada gaji dan bayaran bahkan ianya dilaksanakan tak lebih sebagai pengorbanan demi sebuah pertubuhan. Saya mengambil kira beberapa factor utama yang mana saya berada jauh di Pulau Labuan dan pergerakkan saya terbatas  dan banyak aktiviti PSSPGM yang tak dapat saya hadir bersama. Anak-anak Gayong juga memerlukan pentadbiran dan idea-idea baru demi memartabatkan lagi PSSPGM.  Semoga jawatan yang saya pegang selama ini dapat diberikan kepada insan yang lebih baik dan dapat meneruskan perjuangan ini..

Lagipun Khalifah Abu Bakr as-Siddiq R.A hanya memerintah selama 2 tahun begitu juga Khalifah Umar Abd Aziz juga selama 2 tahun. Saya ini sudah lebih 2 tahun jadi ada baiknya saya berundur dan menumpukan untuk belajar dan bukannya mengajar. Walaupun saya meletak jawatan sekalipun usaha dakwah saya dalam PSSPGM tetap saya teruskan

 Nasib Blog Aku Dan Gayong

Walau bagaimanapun blog ini akan tetap saya kekalkan, kerana disinilah saya bergelanggang dalam meluahkan pandangan dan teguran saya selaku insan yang pernah berada dan bersama kalian dalam warna warni suka duka bergelar anak gayong. Saya mengajar dan mendidik anak Gayong dalam bentuk tulisan, para guru yang hebat semua mengajar melalui kuncian dan tendangan Biarlah saya tak hebat melibas parang apatah lagi menghayunkan sundang, cukuplah saya mencoret kalam mudahan ianya tertikam jauh di hati yang kelam.

Cukuplah 1 cula daripada 7 cula, cukuplah menjadi anak daripada menjadi ayah, cukuplah menjadi murid daripada menjadi guru,Cukuplah kita bersalaman tidak payah sampai dicium tangan, cukuplah memakai putih agar bila kotor mudah kelihatan daripada memakai hitam walau kotor semakin menawan, cukuplah Guru saya mengenali  siapa saya daripada orang lain mengenali siapa saya. Cukuplah kita bersaudara daripada kita tidak bertegur siapa. .Cukuplah hanya 1 gelaran dan jawatan buat saya dalam PSSPGM iaitu “ Anak Gayong yang Faqir lagi Haqir”.

 “Wahai Tuhanku, aku meminta kebaikan yang terdapat pada hari ini dan hari yang setelahnya. Dan aku berlindung dari kejahatan yang terdapat pada hari ini dan hari yang setelahnya.

Hak cipta terpelihara. Setiap artikel yang tersiar di Khalifahgayong.com dihasilkan untuk tujuan pendidikan dan bersifat non-komersil. Pembaca bebas menyalin dan menyebarkan artikel yang terdapat di sini, namun alamat Khalifahgayong.com hendaklah disertakan bersama untuk memudahkan proses rujukan. Manakala untuk penerbitan semula dan berorientasikan komersil, setiap bahagian daripada artikel ini tidak boleh diterbitkan semula, disimpan untuk pengeluaran atau dipindahkan dalam bentuk lain, sama ada dengan cara bercetak, elektronik, mekanikal, fotokopi, rakaman dan sebagainya, tanpa izin KHALIFAHGAYONG.COM terlebih dahulu.

“Aku Dan Gayong”

http://www.khalifahgayong.wordpress.com

BismiLLAH, WalhamduLILLAH

20130107_110030_Ryan_Cleaner_Jyler

Sebenarnya jari jemari ini seakan-akan terpanggil untuk menaip sepatah selidah coretan hati ini,nak kata ianya isu besar tak juga, tapi kalau dibiarkan memang besar jadinya. Apa yang terbuku dihati dan terlintas di minda akan saya luahkan disini..Disnilah gelanggang maya saya. disinilah saya dapat nyatakan pendirian dan apa pandangan saya.  walau ada segelintir di luar sana mempertikai gelanggang buruk saya ini, saya hanya tutup sebelah mata, pekak kan telinga. Biarlah mereka nak bising. itu hak mereka. Ini gelanggang saya.

Kali ini isu yang ingin saya paparkan ialah isu GILA KUASA, PANGKAT, NAMA, KEDUDUKKAN…ringkas cerita GILA SANDANG. Amaran awal saya ialah, kepada yang terasa atau meluat, baik berpindah ke gelanggang Maya yang lain, sekiranya anda teruskan juga berada di gelanggang saya ini, risiko sakit hati dan sakit kepala adalah dibawah tangunggan anda sendiri.

Kemuning di tengah balai,
Bertumbuh semakin tinggi;
Kalau dia dah berlagak pandai,
Jangan dilayan, jauhkan diri.

Berapa ramai yang mencalonkan diri mereka sendiri untuk menerima sandang Ketua Beradat dan Sandang Panglima Hitam , tak lupa juga ada yang mencalonkan diri sendiri untuk sandang Ketua Panglima Hitam. Ada yang terus datang ke Gurun tanpa melalui negeri. Yang terima Sandang adat pula ada yang baru lahir ke dunia gayong tak sampai 40 hari pun. Berlatih silat pun tak, macam mana nak tahu adat istiadat gayong. Bagi yang memegang sandang Kegurulatihan seperti Khalifah Muda, Panglima Hitam dan ketua Panglima Hitam, kalau diuji silibus, sah dah banyak yang kantoi. Kursus di Gelanggang Pusat pun tak pernah hadir. Sekurang-kurangnya yang nak pakai Panglima Hitam paling tidak tangkapan Lembing 7 biji ingat, Buah Pukul Cindai 7 biji ingat, kalau nak kata Pakaian Cindai, confirm tak tahu,ni tak tiba-tiba datang terus nak minta anugerah sandang tersebut. Jika kursus Gurulatih baru-baru ini,Gurulatih Pusat terkedu bila melihat Dato Raja Abdul Majid (DRAM) menunjukkan seni permainan tangan kosong  , apatah lagi bagi  mereka yang tak hadir dan yang tak pernah pun menjejaki kaki untuk kursus di gelanggang Pusat. Setakat datang melawat dan bergambar tak memadai. Yang paling menghairankan dan mengelirukan saya ialah, bagaimana permohonan mereka ini diluluskan. Ini yang buat saya pening pula.Adakah adanya unsur tangan-tangan ghaib dalam pengurusan dan pentadbiran.

Ikan kenderah masak berkuah,
Giling perisa tidak berkunyit..
Takat sedepa membawa galah,
Janganlah cuba ‘nak jolok langit

Apa yang saya luahkan ini adalah di atas dasar saya selaku salah seorang dikalangan 14 Ketua Waris Beradat.

Hakikat Jawatan dan Sebuah Pimpinan

Ramai orang ingin menjadi pemimpin dan ketua seolah-olah ianya satu kebesaran dan kemuliaan. Ini ialah pemikiran yang salah dan tidak benar kerana kepimpinan bermaksud bebanan dan tanggungjawab yang berat dan akan dihisab di hari akhirat.

Rasulullah Salallahualaihiwassalam berpesan, إنكم ستحرصون على الإمارة وستكون ندامة يوم القيامة فنعم المرضعة وبئس الفاطمة ‘Kamu sangat ingin menjadi pemimpin tetapi kamu akan menyesal di hari akhirat. Permulaannya kelihatan nikmat tetapi pengakhirannya adalah kesusahan. [riwayat al-bukhari]

Dalam riwayat yang lain Nabi SAW menyebut, أولها ملامة، وثانيها ندامة، وثالثها عذاب يوم القيامة إلا من عدل Kepimpinan itu awalnya bermaksud kamu akan dipersalahkan. Kedua ianya bermaksud penyesalan dan ketiga ialah hukuman dihari akhirat kecuali bagi mereka yang adil. [riwayat Al-Tabarani]

Kita tentu suka dihormati dan disanjungi tetapi ianya juga penyebab kepada kemurkaan Allah SWT. Nabi SAW bersabda : من أحب أن يمثل له الرجال قياماً فليتبوأ مقعده من النار’Barangsiapa yang suka apabila ada hamba Allah bangun berdiri kepadanya (menghormatinya) maka bersiaplah dia dengan tempat duduk dari api neraka.’ [riwayat Al-Bukhari dalam Adab al-Mufrad]

Dunia hanya sementara, akhirat jua yang kekal lama !

Marilah kita bersama merenungi amanat atau pun wasiat Abu Ubaidah Ibnu Jarrah Radhiyallahu anhu

Menjelang kematian Abu Ubaidah Ibnu Jarrah Radhiyallahu anhu dia memesankan kepada askarnya:

Aku pesan kepada kamu sebuah pesanan, jika kamu terima, kamu akan baik: ‘Dirikanlah solat, bayalah zakat, puasalah bulan Ramadan, berdermalah, tunaikan ibadah haji dan umrah, saling nasihat menasihatilah kamu, sampaikanlah nasihat kepada pimpinan kamu, jangan suka menipunya, janganlah kamu terpesona dengan keduniaan, kerana betapa pun seorang melakukan seribu daya usaha, dia pasti akan menemukan kematiannya sepertiku ini. Sungguh Allah telah menetapkan kematian untuk setiap peribadi manusia, oleh sebab itu semua mereka pasti akan mati. Orang yang paling beruntung adalah orang yang paling taat kepada Allah dan paling banyak bekalnya untuk akhirat…Assalamu alaikum warahmatullah‘.”

Kemudian beliau melihat kepada Muaz bin Jabal Radhiyallahu anhu dan mengatakan: “Ya Muaz! Imamilah solat mereka.” Setelah itu, Abu Ubaidah Radhiyallahu anhu pun menghembuskan nafasnya yang terakhir! Allahumarhamhu..Wa’afihi wa’afu anhu…

____________________________________________________________________________________________________

Hak cipta terpelihara. Setiap artikel yang tersiar di Khalifahgayong.com dihasilkan untuk tujuan pendidikan dan bersifat non-komersil. Pembaca bebas menyalin dan menyebarkan artikel yang terdapat di sini, namun alamat Khalifahgayong.com hendaklah disertakan bersama untuk memudahkan proses rujukan. Manakala untuk penerbitan semula dan berorientasikan komersil, setiap bahagian daripada artikel ini tidak boleh diterbitkan semula, disimpan untuk pengeluaran atau dipindahkan dalam bentuk lain, sama ada dengan cara bercetak, elektronik, mekanikal, fotokopi, rakaman dan sebagainya, tanpa izin KHALIFAHGAYONG.COM terlebih dahulu.

“Aku Dan Gayong”

http://www.khalifahgayong.wordpress.com

Posted by: abusyakirin | 4 Januari 2013

Gerak Senandung Selayu

Tok WanKu Itam, Pak Tuan & Tok Faqeh Janggut_Lucas_Dirt

BismiLLAh walhamduLILLAH

Gerakkah yang ada padanya kita, langkah tiada bayangnya sahaja, gerak mana tiada langkahnya, hanya sendi nadinya sahaja, gerak mana kaki tangannya, hanya arahan nafsu sahaja, kata gerak akal asalnya, akal mana otak sahaja, gerak mana sahabat berkata, kata gerak kata sahaja, gerak kata hikmah menuja, gerak kita tiada maknanya, gerak yang ada kesan sahaja, jangan kata gerak ada, nampak hanya shariat sahaja, jadi hukum akan tafsirnya, menyata gerak didalam dunia, tiada gerak hukumnya jua, diatas gerak semu yang ada, gerak mana pilihnya kita, gerak Allah atau nabinya, atau gerak semata-mata, mengikut rentak nafsu yang ada, mana gerak padanya kita, selagi nyata kesan sahaja, gerak itu lakunya kita, asal dari hati yang ada, seketul daging jantung namanya, menjadi pokok buahnya dua, satu manis satu masamnya, mana gerak masam rasanya, pada tuan kita bertanya, manis itu gerak macammana, tahukah tuan akan keadaanya, tiada gerak itu rupanya, hanya rasa olahan dirinya, jika gerak dari masamnya, gerak itu maknanya binasa, jika gerak manis adanya, kelak sentosa padanya kita, inilah gerak rasa derianya, menjadi akan bayangnya dia, gerak itu menjadi nyata, pada rupa terkena ia, bukan kesan dihukum ia, hanya penyata hukum asalnya, pada gerak itu nadinya, bukan rupa yang ada didunia, jika terlihat gilalah kita, disangka cempedak menjadi nangka, disangka buru itu rusanya, disangka kitab itu sabdanya, disangka gambar itu lukisannya, disangka madah itu bahasanya, disangka ayat itu hikmahnya, disangka hidup mati rupanya, kerana bayang tiada kekalnya, hanya gerak membawa ertinya.

 
Ditiup akan ruh yang ada, bergerak adam mendapat namanya, disuruh bersin tanda jadinya, itu gerak manusia pertama, dari hati hidup adanya, dari mimpi jaganya pula, dari sedar ada dirinya, dari gerak kepada rupanya, menjadi empat sifat lakunya, lima lengkap akan sifatnya pula, itu manusia akan rupanya, asal dari gerak ruhinya, itu gerak rabbani yang punya, pada Adam tanda adanya, menjadi dalil akan geraknya, bukan Muhammad asalnya mula, itu rasul penyata geraknya, bermula dia berdiri adanya, tanda satu akan dirinya, satu atas peri lakunya, menjadi mula asal geraknya, gerak asal niat namanya, tanda gerak hendakkan mula, mula geraknya menyusur lakunya, menjadi peri itu adanya, menjadi akan gerak pertama, takbir alam namanya jua, takbir insan itu pujinya, takbir bakti cinta Tuhannya, takbir ihsan mulia dirinya, takbir raya sekelian manusia, itu takbir dari niatnya, bermula gerak mak sara jiwa, gerak senandung akulah RA-nya, gerak selayu akulah Ma-nya, dari takbir gegar tubuhnya, bermula lagu nyanyian kalbunya, tujuh pintu buka akannya, tujuh pantun akan jawabnya, pantun pertama pembuka hijabnya, pada alam akan takbirnya, pantun kedua menyatakan hatinya, pada seru jiwa raganya, pantun ketiga sahut jawabnya, pohon restu jalan yang esa, agar selamat gelora didunia, pantun keempat akan salamnya, pada rahimah akan cintanya, pantun kelima rahmat pohonnya, agar tiada cela dirinya, pantun keenam akan ilmunya, dapat tunjuk cara mengajinya, pantun ketujuh aminlah dia, lengkap gerak tujuh yang ada, berupa pantun seloka Melayunya.

 
Jadilah ada gerak pertama sudah jatuh pada rupanya, jangan tuan lupa padanya, gerak kita gerakNya jua, selagi kita tak lupa padaNya, nescaya islam kita sentiasa, pada gerak nyatanya Dia, pada bayang nyatanya kita, selagi manusia masih bernyawa, tiada terlerai gerak dariNya, jika kita lalai padaNya, nanti jauh tiada gerakNya, takut sesat adanya pula, kerana gerak nafsu jadinya, jadi jangan tuan berkata, selagi gerak tiada nyata, pada hati manusia sentiasa, ujud puji gerak hambanya, kaji akan rupanya kita, itu bayang sifat dunia, tiada nyata padanya mata, selagi gerak belum adanya, tiada sempurna pada tujunya, selagi gerak masih yang lama, jangan berhenti matilah kita, tiada guna hampa belaka.
Inilah pula isyarat kedua, menjadi gerak selepas pertama, dwita nama gerak kedua, membawa rukuk kepada kita, itu alamat orang yang ada, membawa raga didalam dunia, bila rukuk apa tandanya, jika tuan bijak orangnya, cuba lihat jangan rupanya, rasa akan nikmat geraknya, baru tuan paham akannya, betapa lazat gerak yang ada, menyembah akan hatinya jua, pada rukuk itu tandanya, pada malaikat itulah tugasnya, pada manusia apakah pula, jika tuan melihat akannya, nescaya nampak gerak rahsia, membawa makna akan sifatnya, pada kita jadi akurnya, pada mak sara itu nadinya, bergerak dalam senandung selayunya, sama rupa berjiwa sama, dapatkah tuan maksudnya kita, pada gerak kedua yang ada, membawa apa agaknya dia, pada alam itu hukumnya, pada bumi itu terasnya, pada langit itu payungnya, sebelah gerak kiri adanya, pada kanan sebelah geraknya, itu dua dalam satunya, pada sifat itu diriNya, pada dua geraknya jua, tanda akan rahsia terbuka, tunduk itu bakti yang ada, hormat akan kalimah diriNya, tauhid tanda yang telah jadinya, kerana sebelah pecahnya dua, walau berbeda tiada bezanya, kerana gerak satunya jua, tiada ada satu adanya, selagi sebelah tak jadi duanya, bukan senang akan bicaranya, kerana manusia jahil akannya, kerana manusia tahu pun tiada, asal gerak menjadi dua, itu rukuk kesan sahaja.

 
Pada gerak nadi utama, tanya pada mak sara jiwa, tali kemandu apa ertinya, nanti tanya ini jawabnya, sebelum gerak apa namanya, selepas gerak bagaimana rupanya, jika bertanya jawab dah ada, itulah gerak ibaratnya jua, pada tuan ini cerita, asal rukuk kepada kita, itu turunnya langit kedunia, turun itu payungan ilahinya, menjadi panji kayangan namanya,, tiada berbadan berjiwa sama, kerana rukuk bukan sebabnya, tiada nyata akan rahsianya, hanya tanda untuk manusia, melihat akan gerak kedua, tiada nampak matanya manusia, kerana hatinya masih buta, pada dia tanda Tuhannya, sentiasa ada, sentiasa bersama, bagaimana cerita hendak dikata, gerak kedua nafinya kita, pada isbat tanda tauhidnya, pada kalam itu hikmahnya, pada rasa itu puncanya, pada diri itu pengenalannya, pada baca akan pujinya, pada nafas terang dan nyata, pada rukuk alamatnya sahaja, akan panji turun kedunia, panji kayangan itulah dia menjadi akan tandanya kita, itulah akan geraknya jua, tiada badan berjiwa sama, pahamkah tuan bicaranya kita, takut angguk paham katanya, tapi tahu tiada jua, kerana ilmu banyak muslihatnya, kerana diri banyak shaitannya, kerana lidah tiada tulangnya, kerana hati tiada geraknya, mati sudah indera Tuhannya, tiada rasa hanya kesannya, itulah kita takut akannya, takut hidup dah lama matinya, takut paham angguk sahaja, baca ambil sharat sahaja, cuba nak paham tak paham jua, bagaimana tuan nak alim akannya.

 
Tiada ilmu padanya kita, hanya Dia dapat mengajarnya, akan rahsia senandungnya jua, itulah selayu akan sambungannya, kerana gerak tiada hentinya, pada mak sara itu biasa sahaja, turun naik akan nyawanya kita, mengejar bayu puncak namanya, asalnya merak menggal tama, itulah jadi kisahnya kita, Melayu itu alam akannya, bukan orang seperti kita, bukan rupa sepertinya kita, bukan bahasa sepertinya kita, Melayu itulah alamnya jua, hayatilah tuan pantun seloka, senandung selayu akan tajuknya, sama merak menggal tamanya, selari dengan gerak Tuhannya, menjadi akan rukuknya kita, akur akan sekelian anggota, itu tanda afdal hukumnya, tiada berubah akan shariatnya, dari dulu sampailah kini adanya, rukuk jua tempat kedua, tempat akan sifatnya jua, pada bayangan dunianya kita, maka rukuklah jadinya pula, pada kita wajib akannya, kerana kehendak gerak yang ada, memberi hormat padanya kita, kerana kita bayangan syurganya, kerana kita tempat rupanya, kerana kita nyata geraknya, inilah senandung selayu namanya.

 
Gerak ketiga menjadi gangganya, aliran maknawi akan mahzabnya kita, tiada empat tiga sahaja, itulah kaabah tiga tiangnya, menjadi tempat ilhamnya dia, pada Adam tiga sifatnya, menjadi sujud akan Isanya, menjadi tunduk akan nafsunya, kepada bumi cecah dahinya, tanda kasih ibu yang ada, kerana ibu syurganya dunia, pada tapak itu tandanya, serupa ia akan alamnya, alam ujud tiada tubuhnya, bumi itulah tubuh yang ada, menjadi akan Adam manusia, tiada terlerai kasih Tuhannya, kerana Adam sujud sentiasa, bukan Adam dalam cerita, tapi Adam bejana rahsia, Adam kerana mula rahsia, Adam akan isinya dunia, Adam akan tiga sifatnya, menjadi rahsia Tuhannya kita, siapa tahu asal yang tiga, dari satu menjadi dua, dua tiada kekal adanya, kerana pisah sudah geraknya, menjadi bisu akannya ia, menjadi buta sebelah matanya, kerana tiga tiada nyata, pada dua takkan berjumpa, kerana tiga tersorok adanya, pada sujud sembah salamnya, siapa mengaji tahulah dia, walau sedikit cukup sharatnya, kerana sujud itu cerita, akan Isa merawi Injilnya, kerana manusia tiada pahamnya, Injil itu bukan tulisannya, tapi hasil gerak yang ada, serupa pancaran kilat yang ada, masuk tiga tenggelamlah ia, kerana sujud bawa binasa, bukan hancur segala yang ada, tapi tiada duanya pula, satu jantan satu betina, hanya pecah dua yang ada, tiga hilang entah kemana, kerana manusia tiada geraknya, tahu sujud tahu solatnya, dimana sujud itu jadinya, dapatkah tuan teka maksudnya.

 
Makam Adam tiga adanya, seperti Maghrib tiga rakaatnya, itulah rahsia isinya kawula, akan gustinya yang Maha Esa, kenapa tiga gerak sujudnya, kenapa tiga rahsianya pula, kenapa tiga jadinya pula, pada sujud nyata geraknya, menafikan diri pada geraknya, baru tahu rupanya tiada, hanya rasa pengganti rahsia, itulah kawula yang amat setia, sepertinya akan mak sara jiwa, tiada berbadan tiada beraga, ujudnya mak sara berjiwa sama, dijunjung anak cucu yang ada, disanjung akan manusia yang ada, baru ada kuning dan putihnya, menjadi tempat gerak ketiga, menjadi ia akan tiang serinya, pada sujud itulah dia, bumi tempat jadinya kita, kerana sujud itu kesannya, akan gerak menyata rahsianya, jika paham tuan akannya, itulah puji pada diriNya, menjadi bakti akannya kita, kerana sujud turun kedunia, jangan tiada pahamnya jua, ini hanya kesan sahaja, cari erti gerak ketiga, sujud itu tanda jadinya.

 
Gerak keempat duduk bersila, duduk panglima akan rajanya, bukan bersila itu kakinya, bersila dia dalam hatinya, munajat akan Tuhannya jua, bersatu didalam fuadnya jua, disitu cahaya gerak adanya, punca dan asal ketemua akannya, menjadi ada padanya kita, itulah rupa tahyat akannya, duduk akan bicara pendita, duduk akan rasul Tuhannya, bicara menjadi akan geraknya, gerak keempat jadilah dia, tiada hamba bertemu Tuhannya, hanya Dia dengan diriNya, hanya Allah Muhammadnya jua, harap tuan segera pahamnya, kenapa duduk keempat geraknya, tanda akhir akan jadinya, dalam dua satu jadinya, kamil akan sekelian dirinya, hamba akan gerak Tuhannya, baru sempurna akan islamnya, kerana tahu kehendak Tuhannya, baru shuhadat dibaca kita, tanda tauhid akan EsaNya, jika dibaca akanya ia, hendaklah paham erti geraknya, bukan lidah itu yang kata, ia hanya istana shariatnya, kata itu gerak yang ada, dari puji dalam dirinya, daimnya ia sentiasa tasbihnya, akan Ibrahim tempat solatnya, tuan harus rajin bertanya, agar paham akan maksudnya, bukan ayat bermain dimata, hikmah nyata pada geraknya, hikmah asal gerak yang ada, pada gerak keempat adanya, itu puji hamba Tuhannya, pada diri satu jiwanya, tiada beza akan hakikatnya, samarupa samarasanya, paham akan ayat yang ada, menyatakan gerak pada rupanya, bukan Ibrahim jadinya pula, tapi tanda akan tauhidnya, jika tiada pahamnya jua, takut gerak kesasar pula, kerana kita sudah dinyata, menjadi akhir akan solatnya, bukan mula jadi puncanya, tapi akhir jadinya apa, bukan tiada padanya kita, menyatakan Dia itulah tugasnya, kerana keempat besar ertinya, menjadi tunggak akan dunia, menjadi nyata sempurna manusia, tiada cacat barang dirinya, selagi nabi tiada Tuhannya, selagi empat tiada hujungnya, lima tiada simpul sahaja, pada empat gerak akhirnya.

 
Jika tiada tahyat dibaca, tiada sempurna gerak yang ada, kerana gerak itu akbarnya, kerana gerak itu pujinya, kerana gerak itulah manusianya, menjadi afaal sekelian makhluknya, besar empat kerana hujungnya, bukti niat akan geraknya, tiada gerak tanpa rupanya, kerana empat itu akhirnya, empat anasir akan kejadiannya, asal dari gerak hikmahnya, kepada sabda menjadi nyatanya, menjadi hukum akan agama, menjadi jalan untuk geraknya, sehingga nyata akan tauhidnya, pada punca segala geraknya, dihati kita itu istanaNya, bukan tubuh gelap gelita, tempat akan shaitan durjana, jangan tuan mudah akannya, nescaya badan jadi neraka, nescaya empat tiada kesudahannya, kemana jua tiada geraknya, tiada sempurna agamanya kita, kerana tiada tahu asalnya, yang empat itu gerak lakunya, puji dalam alamya jua, bukan bersila kita katakannya, dalam gerak memuja rasa, gerak rasa empat anasirnya, menjadi nyawa akannya kita, bila paham keempat geraknya, paham akan jadinya kita, sempurna shuhadat manusianya kita, sempurna adat akan jalannya, sempurna solat akan hakikatnya, sempurna jadi akan geraknya, pada kita tempat nyatanya, pada kita jadinya, pada kita tempat rupanya, menjadi bayang gerakNya pula, inilah cara gerak kuasanya, menjadikan Islam akan dirinya, Islam bukan ertinya agama, Islam erti menyerah dirinya, jika tiada pahamnya jua, sempurna Islam keseluruhannya, bukan separuh tiada bermakna, seperti kata pendita jua, sempurna shariat tahu hakikatnya, sempurna diri tahu Tuhannya, sempurna agama tahu jalannya, sempurna gerak tiada bezanya, sempurna rupa sama sahaja, sempurna ilmu tiada belajarnya, sempurna adat tahu susilanya, sempurna kita lengkap selokanya, inilah sebab selokanya ada.

 
Sebagai bicara caranya kita, mengenal diri amat berharga, kerana gerak itu ada rasanya, kerana jadi itu ada tandanya, kerana gerak itulah asalnya, akan tajjali diriNya jua, hendak menyata akan diriNa, hendak mengenal akan diriNya jua, bukan kita empunya cerita, seloka ini dendang sahaja, bukan seloka menjadi sebabnya, seloka hanya sampaikan sahaja, cara kita orang yang lama, agar dapt mudah pahamnya, jika tiada baca semula, hingga sedar akan maksudnya, gerak itu getar jiwanya, tempat cahaya kumpul rasanya, tempat sedar tahu dirinya, tempat ilmu menyuloh akalnya, tempat jadi hancur nafsunya, baru tiada bebal dirinya, kerana gerak telus adanya, tiada warna kelabu matanya, kerana nafsu tiada sentuhnya, baru sempurna jalannya kita, kerana gerak suci sentiasa, menjadi puji akan hambanya, menjadi wajib sekelian manusia, menjadi hukum padanya kita, wajib bukan atas dipaksa, wajib kerana tiada pilihannya, atas cinta tersemat didada, keran paham geraknya dia, bukan nafsu menjadi rajanya, tapi insan mulia fitrahnya, itulah gerak menjadi senandung, senandung nyanyian gerak akannya, menjadi biduanda syurga hatinya, sayup memanggil akannya kita, agar gerak kembali ada, tiada mati dalam dunia, hidup dalam fuadnya jua, baru melihat dua alamnya, baru gerak sakti dapatnya, bukan rugi tiada faedahnya, baru puji dapat geraknya, baru gerak dapat asalnya, baru Tuhan nyata adanya, pada kita selama-lamanya.

 
Tiadalah sukar hidupnya kita, kerana gerak berpindah miliknya, dari penyewa kepada tuannya, dari pinjam dipulangkannya, bukan engkau Muhammad lakunya, atas barang gerak dirinya, tapi Dia gerak yang ada, menjadi sebab Muhammad berkata, itulah ibarat petuanya kita, terlajak gerak buruk padahnya, kerana gerak lidah yang ada, hanya diatas nafsunya jua, tiada sebab hendakkan dusta, tapi hati tiada tahunya, hanya hendak gerak nafsunya, bukan nafsu empunya geraknya, tapi Dia akan tuannya, pahamkan tuan selokanya kita, kerana bercerita kan kalamnya, seloka ini hanya bicara, mengenal gerak akan asalnya, mengenal gerak empatnya jua, mengenal gerak akan solatnya, mengenal erti geraknya kita, bukan atas sendiri yang suka, tapi atas dua perkara, gerak yang baik sentosa badannya, gerak yang jahat jahanam jadinya, jika paham mana hendaknya, baru gerak dapat ilhamnya, baru gerak lurus jalannya, tiada lagi dalam sesatnya, kerana gerak tiada bezanya, yang mana satu pilihnya kita, hanya kesan nampak dimata, akan isyarat kalbunya pula, tersembunyi didalam raganya, tiada yang tahu apa maksudnya, kerana gerak kita manusia, hanya nampak kesan sahaja, maka jangan tertipunya kita, alim itu belum tentunya pula, jahat pula belum dihukumnya, selagi kita bernama manusia, gerak kita belum bernama, kerana gerak dihatinya jua, akan cahaya dengan cahayanya, bila bertemu gerak dan rupa, dalam alam bukan dunia, baru jelas keterangannya, bahawa kita itu tiada, yang ada hanya geraknya, menyatakan niat akan hendaknya, baru paham mana pilihannya, cantik rupa atau geraknya, baru paham alimlah kita, kerana pandai mengolah rasa, asal gerak menjadi ada, pada kehendak itulah puncanya, menjadi akan kesan rupanya, menjadi ia akan hakikatnya, pada batin shariat yang ada, mengenal gerak padanya rupa, baru sempurna shariat sepenuhnya.

 
Bukan baca itu ayatnya, tapi gerak akan hatinya, berkata dalam bahasa alamya, serupa cahaya gelombang permata, itu rupa ibaratnya ia, asal gerak mendapat jadinya, didalam hati itu qalbinya, tempat nyata akan geraknya, seperti purnama menyinari malam, seperti itulah ibarat gerak yang ada, jadi tuan segera pahamkannya, kerana gerak tiada rupanya, dari gerak membawa makna, akan maksud tersirat adanya, jika tersurat jadi selokanya, nyatalah pesan dari penciptanya, baru kita mendapat ertinya, kerana geraknya satu jua, jangan tak paham tuan membaca, kerana gerak dah jadi seloka, tiada yang nyata hanya hikmahnya, kerana hikmah itu tafsirnya kita, akan gerak puji baginda, tempat asal telur jadinya, kerana fuad itulah tempatnya, jika paham dimana ia, segeralah akan dapatkannya, tiada dapat pengetahuannya kita, jika usaha sekerat sahaja, nak paham bukan susahnya pula, selagi gerak itu gerak kita, bila paham akan geraknya, dari cahaya lima rangkainya, pusar akan gerak diriNya, menjadi benih pancar delima, itulah rupa akannya kita dari gerak menjadi rupa, lima saudara geraknya sama, hanya beza yang tua dan muda, ikut warna jadi usulnya, menjadi solat lima waktunya, itu gerak menjadi kita, puji akan sekelian anggota, kerana gerak pujilah jua, akan sebab ujunya kita, dalam fuad itu pusarnya, balam bayu pusing beliungnya, hilam repu cahaya galurnya, silam cepu naiknya bertiga, menjadi biru bagai angkasa, menjadi putih tenang tengahnya, menjadi merah punca amarnya, itulah gerak bindunya sabda, geruh gerak sekilas perginya, tiada terlihat mana perginya, laju sepantas kilat menerpa, pada kita hanya kesannya, menjadi akan sekelian wajibnya, kerana asal gerak Tuhannya, menjadi haram diatas nafsunya, siapa cepat dapat pahamnya, nescaya terbuka pintu ilmunya.

 
Mengenal gerak tiada rupanya, menjadi tiada akhirnya jua, barulah dapat gerak irama, barulah jadi gerak selayunya, baru paham dimana mulanya, bukan gerak atasnya kita, kerana sudah dikarang pendita, sudah tetap pada azalinya, tiada berubah lidah berkata, kerana hakikat pahamnya kita, jika ditanya gerak yang mana, pilih gerak ada caranya, gerak sulong tanggung akannya, gerak yang tengah membawalah ia, gerak yang bongsu nyatalah ia, jika yang sulong tanggungnya makna, jika yang tengah hikmah bawanya, yang bongsu nyata akan kalamnya, pada lidah tempat yang bongsu, otak tempat yang tengahnya pula, di hati tempat sisulongnya pula, pahamkan ia hai tuan yang ada, bukan gerak mencipta rasa, hanya bayang adanya ia, cahaya pancar akan ujudnya, itulah gerak menjadi puncanya, jika kita bergerak tubuhnya, hati tempat asal mulanya, jika geraknya mengikut rasa, takut kecundang akan akhirnya, kerana gerak membendung laku, agar budi mendapat restunya, agar akal mendapat pahamnya, agar hati mutmainah jadinya, sebab dalam jalan geraknya, ada dua pilihannya kita, satu kiri neraka namanya, yang kanan syurga namanya pula, jika gerak dari tengahnya membawa kita khabar wahyunya, tiada siapa dapat rasanya, kerana jiwa tiada fananya, selagi itu tiada jadinya, kita kembali pada tengahnya, ingat tuan akan nya ia, tiada Tuhan hanya pada kita, sentiasa ada sentiasa bersama, itulah hakikat janganlah lupa, menjadi gerak padanya kita, dari tengah gerak yang mulia, pecah pertama menjadi berdirinya, kedua akan rukuknya pula, ketiga jadi sujudnya kita, keempat duduk kita bersila.

 
Pada semua ada maknanya, pada semua ada lenggoknya, gerak tengah sentiasa mulia, tenang dan aman gerak syahdunya, inilah senandung selayu adanya, pahamkan ia pada bicaranya, kerana gerak yang tengah adanya, itulah ibu akan yang lain, kerana gerak ini bermakna, jika betul fanalah kita, jika tidak bebal lah kita harus paham erti katanya, kerana yang tengah pusarnya jua, tempat bermula akan geraknya, menjadi pemangkin adanya kita, menjadi sebab kenapanya kita, gerak yang lain anaknya sahaja, kerana mereka suruhan sahaja, menjaga gerak ibunya kita, agar tiada sunyinya ia, gerak yang lain baik pun ada, jahatnya pula adalah pula, hati-hati akan jalannya, kiri neraka kanannya syurga, yang mana jadi geraknya kita, harus fikir akan akibatnya, jangan hanyut dalam nafsunya, kerana nafsu jahatnya yang ada, bila gerak naik ke kita, segeralah rasa sebelum terkena, pilih rasa yang tengah sahaja, bukan kiri atau kanannya, jika tak tahu bertanyalah pula, sebab gerak tiada rupanya, itu rasa jadi jaksanya, kerana rasa dapat kawalkannya, jika rasa lemah adanya, tiada jadi barangnya kita, kerana Tuhan sentiasa ada, ditaruhnya manikam dalam geraknya, jika kita tak tahu yang mana, yang kaca intan sangkanya, kerana gerak amat bahaya, membawa hanya kepada bencana, selagi kita masih manusia, hati-hati gerak yang ada, disangka gerak memberi makna, sedangkan mainan nafsu sahaja.
Inilah adat kita berseloka, menyampaikan ilmu pada yang ada, jika tak paham rajinlah bertanya, agar paham mana gerakNya, selagi kita masih bernyawa, dapatkan gerak yang datang dariNya, baru sempurna agamanya kita, baru sempurna Islamnya kita, baru sempurna dirinya kita, barulah paham jadinya kita, jangan tuan leka akannya, kaji penuh semangat yang ada, tiada rugi akannya kita, kerana Tuhan sentiasa ada, hanya pintu nak pandai buka, dengan rasa sebagai petunjuknya, kemudian akal menapis akannya, ambil gerak yang ada faedahnya, bukan semua diikut sahaja, tiada afdal perbuatannya kita, kerana gerak hanya berpura, hati kotor shaitan rumahnya, harus paham akan duduknya kita, dalam gerak menimbangkan rasa, dalam rasa melihat geraknya, baru senang pahamnya kita, kerana gerak tiada bermakna selagi lidah berkata sahaja, sedangkan hikmah itu tujunya, masih kita tiada pahamnya, kenapa jadi geraknya kita, tiada sampai akan akhirnya, tiada sampai pada hatinya, tiada sedar akan maksudnya, tiada masuk akan otaknya, tiada nampak kebenarannya, tiada jadi barang kerjanya, tiada berkat akan hidupnya, tiada pandai akan akalnya, hanya bebal tetap yang ada, kata sudah baca semua, kata sudah belajar semua, kata sudah paham akannya, kata sudah banyak amalnya, kata sudah lengkap ilmunya, kata sudah hafal doanya, kata sudah ijmak akannya, kata sudah hajinya pula, kata sudah empat bininya, kata sudah tua umurnya, kaya sudah jadi manusia, benarkah ini gerak yang ada, dimana kata paham kan semua, dimana kata gerak dah jadi dirinya, masih belum nampak benarnya.

 
Dari gerak membentuk seloka, seloka terkalam atas geraknya, ditulis orang pada papannya, agar dibaca matanya kita, jika nampak terang dan nyata, itu tanda seloka ada, seloka ada hurufnya ada, ada hurufnya nyata ceritanya, itu hasil gerak pencipta, menghasil seloka rasa geraknya, seloka didendang mengikut rasanya, merdu dimadah oleh pujangga, pujangga itu gerak seloka, pada rupa yang nyata geraknya, buka seloka dipena pendita, tapi seloka dendang pujangga, dengan irama lagunya kita, nyanyian akan pujangga madahnya, sama saja akan gerak padanya, satu dipuja satu memuja, dua itu tiada bezanya, kerana gerak menjadi iramanya, kalau tuan melihat seloka, samakah dengan dengar akannya, mata melihat seloka terpena, telinga mendengar dendang seloka, yang mana mustajab akan geraknya, pada dengar atau melihatnya, bukan untuk kajiannya kita, mencari keliru pada puncanya, bukan cabang ilmu pahamnya, tapi rasa akannya ia, baru lengkap akan geraknya, yang melihat tidak ada, yang dilihat itu ada, yang mendengar itu tiada, yang dibaca itu ada, ini madah puspita raga, pada baca lidah kalamnya, pada mata cahaya sinarnya, pada kalam gerak suaranya rasa tandanya pula, pada mata rupa cahayanya, gerak jadi bukti adanya, ini kata dua berbeza, gerak yang satu timbangnya rasa, gerak kedua timbang gerak rupanya, cuba tuan lihat akannya, mana pun jua, gerak itu uratnya jua, tiada jadi kata yang ada, tiada tampak akan rupanya, tiada gerak tanpa adanya, akan saksi pada keduanya pula, ash-hadu itu saksi aku-nya, pada kalimah tauhid geraknya, jadi bukti shuhadatnya kita, saksi akan gerak lidahnya, atas kata kalam ternyata, gerak ash-hadu saksinya kita, baru sempurna ajarannya kita mengenal gerak tiada semunya, baru nafsu terlerai jua, pada gerak tiadalah dia, hanya gerak asli sahaja.
Itulah senandung sayu namanya, didalam seloka ia beraga, didalam seloka ia memuja, didalam seloka jadilah ia, akan seloka gerak pujinya, akan merak menggal tama, panca cahaya delima bindunya, menjadi akan sifat manusia, tempat jatuh gerak Yang Esa, serupa ia nafsu pada dirinya, itulah hukum adanya agama, agar nafsu beralih rupa, menjadi kita bukannya dia, baru mengaji dapat hikmahnya, bukan bingung jadi akalnya, bukan rosak akal pikirnya, jadi tuan yang telah membaca, bukan senang nampak dimata, jangan tuduh ini seloka, tiada makna sesat belaka, kerana akal pendek adanya, kerana hati selam tak terdaya, jangan mudah mulut bicara, akan tiada paham dirinya, bukan mainan orang biasa, mainan mereka yang paham akan geraknya, kerana itu janganlah mudah ingatnya kita, bicara akan fadilat yang ada, selagi gerak belum sampainya, jangan simpul akan maksudnya, jangan kata lidah berkata, kerana gerak itu yang ada, bunyi ada hurufnya tiada, begini rupa hakikat kajinya, pakainya rasa bukan pikirnya, bukan huruf tapi bunyinya, baru sempurna mengenal geraknya, harap dapat kita semua paham akan bicaranya kita, selagi semu didepan mata, selagi itu geraknya rahsia, bila paham maksud ayatnya, barulah paham erti selokanya, baru jadi kerjanya kita, baru jadi tajuk selokanya, baru jadi alim akannya.

 
Inilah bicara senandung selayunya, menjadi akan irama lagunya, tiada bunyi padanya jua, hanya irama mainan geraknya, tiada seruling menemaninya, tiada gendang akan rentaknya, tiada biduan nyanyi akannya, tiada ragam akan ahli muziknya, hanya akal sembah pentasnya, hanya fikir lakun dirinya, hanya diri kupasan ertinya, hanya peminat setia paham akannya, memang susah rangkai akannya, kerana tiada nampak ruangnya, tapi jika tuan berjaya, hebat diri kerana sedarnya jua, atas rahmat asal datangnya, baru jadi kehendak kita, paham hanya jika gerakNya, tiada hasil jika kita geraknya, jadi harus kita waspada, memahami seloka banyak ertikatanya, bukan itu maksud tulisnya, kerana hikmah tiada nampaknya, kerana gerak itu ilmunya, mengenal hakikat akan shariatnya jua.

 
Jika gerak jadi hukumnya, bagaimana burung terbang sayapnya, bagaimana awan tiada putihnya, bagaimana pelangi tiada warnanya, bagaimana pucuk mendatar jalarnya, bagaimana kita tiada geraknya, pikirlah tuan akan jalan hukumnya, bukan shariat penentu geraknya, tapi shariat hasil geraknya, fahamilah betul akan jadinya, kepada hukum shariatnya kita, jika tiada paham akannya, tiada jadi kerjanya kita, kerana gerak nafsu sahaja, amal ibadat menjadi hampa, kerana gerak hilang saktinya, kerana gerak hilang akan ainnya, kerana gerak hilang mustajabnya, kerana gerak lumpuh anggotanya, kerana gerak bukan darinya, sudah menjadi basi akannya, sudah menjadi rapuh akan niatnya, sudah menjadi bubur akan nasinya, sudah menjadi pudar akan halatujunya, sudah menjadi gerak tiada bermaya, kerana kita tiada tahu akannya, bahawa gerak itu empatbelas akan hukumnya, tujuh kanan akan rahmannya, tujuh kiri akan rahimnya, pada rahman kasar geraknya, pada rahim lembutnya pula, bergabung menjadi akarnya nirmala, menjadi tunjang belakang kita, tempat mak sara berdendang seloka, selayu nama pujanya dia, jika kasar jantan namanya, tempat mentari naik ufuknya, jika kiri chandralah pula, betina akan bangsanya jua, harus tahu arus yang ada, kerana gerak bersama dengannya, jika tuan paham akannya, nescaya ghaib dalam solatnya, kerana gerak menjadi tiada, sudah bersama di satya loka, itu tanda mak sara dah tiba, ketempat janji ambilannya kita, pada Rab itu masanya, dizaman purba mulanya dunia, selagi ada geraknya kita, kesitu jua pergi akhirnya, kerana gerak itu berdua, dimana sahaja kasih cintanya, puji satu puja berdua, mak sara jiwa, itulah dayangnya, jangan tuan cepat bacanya, jangan ghairah akannya kita, kelak gerak terpesong jadinya, tiada sampai tempatnya kita, semua terkandung dalam yang lima, tempat ujud alhamdunya pula, menjadi rangka hukum solatnya kita, baru paham jadinya kenapa, itu gerak tanda mulajadinya, menceritakan akan tajjalinya jua, pada kita tandanya nyata, pada kita tempat geraknya, wajib kenal serata-rata, kerana gerak itulah Dia jua, jangan tak tahu akan asalnya, dari gerak kepada rupanya, barang mengaji biar sempurna, baru bukti nyata pada kita, baru rasa jadi geraknya, baru Muhammad bukan pekerjaannya, kerana sudah kamil geraknya, mukamil rasa pada geraknya, sempurna agama akan jalannya, kerana gerak sudah bernama, itulah senandung selayu namanya, dari dulu inilah ceritanya, di baitkan orang menjadi seratnya, dari seluruh pelusuk dunia, inilah jua yang dicari manusia, kerana kurang paham akannya, jahillah kita akan pengenalannya, difikir orang akan jawabnya, namun tetap rahsia duduknya, kerana akal tiada sampainya, akan rasa belum sempurnanya, kerana makan lauknya tiada, kerana minum sejatnya tiada, kerana hidup nyawa tiada serta, kerana mengaji tutup pintu hatinya, gurunya pula sandiwara sahaja, anggap tahu ada kitabnya pula, bukan hasil tapa akannya ia, bukan hasil tafakkur akannya dia, bukan hasil tajam akalnya, bukan hasil Nur Qalbinya pula, bukan hasil ilmu shuhadahnya jua, bukan hasil puasa dan amalnya, bukan dari wali ghaib adanya, semua masih dalam semua adanya, masih belum paham akan geraknya, cuma tafsiran nafsu kamusnya, mendapat paham kelam ertinya jua, kerana dada sempit sentiasa, penuh dengan doa kedunia, penuh hasrat sejahtera badannya, penuh amal akan minta syurganya, ibarat segala pada dirinya jua, kosong hampa nafsu belaka, gerak ada hanya bayang sahaja, tiada jati akan akar uratnya, kerana gerak didalam dunia, hasil dari nafsunya jua, dikata ini dari Tuhannya, mana tahu pasti ilmunya, selagi manusia didalam dunia, tiada terbeza intan dan kaca, hanya kilauan imbasan rasa, tiada ada tiada nyata.

 
Ini ibarat petua yang ada, lihat bayang dalam gelasnya, jika nampak mukanya kita, baru selamat tiada santaunya, ini lah kata orang tua-tua, menjadi gerak padanya kita, gerak membawa erti buktinya, jika benar serta-mertanya, bukan seminggu baru nak tiba, itu pasal tak jadi semuanya, kerana gerak dah lama tiada, hanya bekas parut yang ada, tapi gerak sama sahaja, walau ia semalam dah tiada, hari ini mana datangnya, kalau tidak semalam geraknya, takkan tiba menjadi sekarangnya, fikirlah tuan akannya jua, seloka membawa makna geraknya, bukan nukilan mencipta rasanya, hanya gerak rasa jadinya pula, baru yakin dapatnya kita, kerana gerak dah sampai pada kita, bila paham jatuhnya ia, pada rupa tetap akan geraknya, fahamilah tuan sekelian yang ada, gerak berwajah akannya kita, gerak berkalam lidahnya kita, gerak membakti solatnya kita, itulah sebab menjadi puncanya, kerana gerak dari dalamnya, ramai tak paham sengkek akalnya, tiada dalam kajinya jua, tiada halus akan fikirnya, hanya mengikut rentak yang ada, irama merdu sahutan dunia, menjadi akan lagu nafsunya, bukan senandung selayu adanya, tapi rupa seakan samanya, kerana tiada dapat dibeza, yang mana intan yang mana kaca, kerana diri masih manusia, kerana hati didalam dunia, itulah kita pangkal duduknya, hujung jua timbulnya pula, sudah jantan bintinya betina, nak kata pondan tak tahu rupanya, ini isyarat kepadanya kita, dalam gerak ada rasanya, cari rasa dalam geraknya, baru tahu yang mana benarnya, gerak nafsu atau Tuhannya, gerak badan atau nyawanya, gerak Aku ataupun Dia.

 
Pilihlah pilih wahai saudara, jangan lambat habislah pula, kerana gerak sekejap sahaja, itulah nikmat adanya pula, seperti P.Ramlee dalam lagunya, saat yang bahagia datang sekejap saja, ambillah tuan permata kata, jangan lalai dan alpa hidupnya, kita sentiasa dalam gerak yang ada, cuma tak tahu kiri atau kanannya, yang mulia atau nafsunya, jadi jangan bangga dirinya, tiada alim akan dirinya, yang alim adalah Dia, bukan kita bukan sesiapa, hanya nafsu menyamar kadang-kala, bila tengok kita ni alpa, walhal setiap detiknya kita, tahu akan kehendak Tuhannya jua, kerana jiwa masih beraga, kerana mak sara jiwa empunya kersa, paham tuan ini seloka, untuk yang pandai dan bijak sahaja, bukan yang suka mengumpul kitabnya, jadi perhiasan akan rumahnya, bukan untuk hujah lawannya, nak tunjuk handal pada kawannya, ini semua gerak palsunya, kerana nafsu melonjak adanya, maklumlah hebat rasa dirinya, orang lain bodoh belaka adanya, jangan ikut resmi yang ada, alim itu panjang janggutnya, soleh itu lebam dahinya pula, warak itu serban tiga lapisnya pula, islam itu menunjuk akan amalnya, yang ulamak hebat hafalannya, pemegang ijazah di pesada dunia, bukan ilmu dari tuhannya, bukan laduni akan salurannya, tapi kitab diWisma Yakin tempat beliannya, serasa hebat bila dibaca, kerana gerak Arab dah jadinya, bukan baca paham pun tiada, ambil berkat akan Masjid India, tempat hebat terkumpul al-kitaba, entah apa hendaknya pula, mengaji setengah pening kepala, kerana gerak membaca tiada, hanya ilmu akan dirinya, kenapa perlu sampai kesana, kerana gerak nafsu sahaja, suka mencari barang yang tiada, katanya ada di Masjid Indianya, berkumpul kertas pelbagai rupa, gerak mencari tajuk tak bernama, agak-agak kira-kira sahaja, asal hebat nama pengarangnya, sedangkan gerak sentiasa nyata, pada kita memberi ilmunya, tapi tak suka tafakur pula, sebab tak sama resmi Arabnya pula, cuba duduk Melayu caranya, gerak Melayu senandung selokanya, didalam diri abdikan rasa, pada gerak tetapkan imannya, baru tak perlu habis duitnya, membeli buku tiada faedahnya, hanya berat mengantuk matanya, dalam tidur bermimpilah pula, jadi orang tak tahu namanya, sedangkan gerak sudah bernama, bila jaga hilang segalanya, hanya serpihan memorinya jua, bukan berpindah pada dirinya, bukan menjadi gerak sendirinya, tapi nafsu tunggangnya kita, maka habis kitab dibaca, tiada pandai akannya jua, tapi banyak ayat hafalannya, untuk hujah akan lawannya, bukan dari sendiri jadinya, bukan ilmu laduninya ia, hanya tiung ulangannya jua, hanya tiung ajaran hafalannya, bukan itu resamnya kita, menjadi manusia diatas dunia, tugas kita mencari gerakNya, agar dapat memerintah dunia, bukan menjadi hamba nafsunya, konon nak cepat alimnya, hai tuan bukan mudahnya, mencari diri belum tentu jumpanya, inikan Dia yang Maha Esa, rasanya pahamkah maksudnya kita, pada rasa tetap akanNya, pada gerak tetap kehendakNya, baru jadi akannya kita, dapat paham akan gerakNya, pada kita jatuhnya ia, menjadi rupa gerak sendinya, baru jadi terang otaknya, baru lapang akan dadanya, baru tahu hakikat dirinya.

 
Tempat jatuh dikenang akannya, tempat bangkit tiada tahunya pula, bila ditanya mana perginya, katanya ke Mekah naik hajinya, mana Kaabah seginya tiga, atau lima tapak akannya, fahamilah ia tuan akannya, baru dapat akan saktinya, gerak itu rasul kuasanya, kepada kita tauhid akannya, baru satu geraknya kita, KUN itu titahnya kita, pada gerak jadi segalanya, baru tak payah belajarnya kita, hanya sesaat masa yang ada, disitu kekal pada alamNya, bukan tiada tahu akannya, cuma tak percaya akannya ia, kerana hanya bentuk seloka, tiada hadis tiada dalilnya, tiada sentuh barang yang biasa, tiada dijual di Wisma Yakinnya, seloka ini percuma adanya, tiada harga tiada penulisnya, hanya gerak akan sepinya, menyatakan akan diriNya jua, tapi dikedai mahal harganya, sanggup beli tak kira berapa, walau duit tak cukup adanya, janji dapat jadi miliknya, milik apa hendaknya kita, hanya ilmu ilham manusia, belum sempurna akan dirinya, hanya panggilan Sheikh sahaja, kerana pandai mengarang cerita, kutipan dari bacaan gurunya, hasil dari tafsir akalnya, bukan laduni itu jadinya, membawa ilmu dari Tuhannya, hanya sekadar masuk akalnya, tiada bukkti akan rasanya, kerana Arab keras perangainya, tiada malu akan celanya, pasal itulah bertutup semua, otak yang ada kuning sahaja, begitulah resam atas dunia, masing-masing hendaknya jua, kalau boleh dunia miliknya, bukan atas harta dan benda, tapi atas agama yang ada, menjadi tempat perjuangan yang ada, sampai mati tak mengapa, syurga pasti menunggu kita, tapi bangsa tercicir sahaja, kerana tiada makna ujudnya, kitab hanya sekadar sastranya, bukan rujukan akan ilmiahnya, cukup buat syarat yang ada, geraknya sudah menjadi tiada, kerana gerak bertukar rupa, akan rupa isi tiada jua, lain rupa sama isinya, jadi bengong kita dibuatnya, rupa Arab Melayu cakapnya, hebat tiada perinya jua, Melayu hamba Arab tuannya, kerana gerak Mekah asalnya, bukan Tuhan ada dimana-mana, hanya disana rasa adaNya, bukan sentiasa bersama dengannya, kerana kitab Arab sahaja, tak kira siapa menulis akannya, wajib jangan Melayu bunyinya, kalau terdengar bahasanya kita, terasa janggal akan kitabnya, kerana gerak Melayunya tiada, hanya salinan Arab dirinya, tak mungkin terima akannya dia, kerana ulamak tiada Melayunya, hanya bangsa rakyat negara, bukan asal gerakNya jua, itulah kita tiada mahu akannya, kerana gerak dah hilang arahnya, kerana gerak dah hilang getarnya, kerana gerak dah jauh nun disana, tiada siapa mahukan dia, kerana nafsu bermaharaja lela, nafsu suka akan dunia, walau akhirat kata sahaja, hati tetap dunia mahunya, jadikan ini tuan tauladannya, seloka senandung selayu namanya, peri cerita gerak yang ada menjadi nadi uratnya kuasa, atas kita titah hatinya, dijunjung atas batu jemala, gerak itu gerak saktinya, akur akan tuannya sahaja, bukan nafsu mencuri gayanya, bukan manusia mencuri rupanya, bukan agama tempat nyatanya, pada kita jua akan sebabnya, bila diri menjadi tiada, hanya gerak semata-mata, baru sempurna jalanya kita, menuju makrifat akan akhirnya, binasa tiada lagi geraknya, hanya Dia sahaja yang ada, dialam ini kita berjanji padanya, selagi gerak dalamnya kita, selagi itu solatlah kita, bukan kerana atas agama, tapi kerana cinta padanya, begitulah adat Melayu adanya, bukan mengejar sharat agama, tapi mendapatkan kebenarannya, berjuanglah tanpa hentinya, sehingga mati hujungnya cerita, apa yang hendak diatas dunia, semua ujian kepadanya kita, agar gerak kita berguna, bila mati berjasanya kita, baru gerak ada maknanya, baru gerak jadinya kita, selamat kembali kita manusia, jadi gerak Melayunya kita, ini akhirnya akan cerita, Seloka Melayu Gerak Senandung Selayu namanya.

______________________________________________________________________________________________________________

Hak cipta terpelihara. Setiap artikel yang tersiar di Khalifahgayong.com dihasilkan untuk tujuan pendidikan dan bersifat non-komersil. Pembaca bebas menyalin dan menyebarkan artikel yang terdapat di sini, namun alamat Khalifahgayong.com hendaklah disertakan bersama untuk memudahkan proses rujukan. Manakala untuk penerbitan semula dan berorientasikan komersil, setiap bahagian daripada artikel ini tidak boleh diterbitkan semula, disimpan untuk pengeluaran atau dipindahkan dalam bentuk lain, sama ada dengan cara bercetak, elektronik, mekanikal, fotokopi, rakaman dan sebagainya, tanpa izin KHALIFAHGAYONG.COM terlebih dahulu.

“Aku Dan Gayong”

http://www.khalifahgayong.wordpress.com

Posted by: abusyakirin | 25 Oktober 2012

Amalan Gayong buat Tuke Sembelih…

Salamun alaik,

BismiLLAH, WalhamduLILLAH..

“Esok kalau boleh lepas ustaz bagi Khutbah kami nak minta ustaz juga yang sembelih lembu ya..”  katanya Pengerusi surau

” Insya ALLAH..saya setakat baca Khutbah tu bolehlah, nak sembelih ni bukan pandai sangat ..kalau nak suruh masak daging bolehlah..” jawab saya.

ALLAHU Rabbi…cepat sungguh masa berlalu, kalau tahun lepas Edul Adha di sambut di Surau Markas PAS Teluk Gunung, tahun ni di Labuan.

Sudah lama saya tak mengemas kini laman ini, Rasanya dah lama benar ianya sepi dan kosong tanpa apa-apa celoteh saya. AlhamduLILLAH hari ini diberikan masa untuk saya mencoret sepatah selidah nostalgia untuk sama-sama saya kongsikan dengan saudaraku semua.

Insya Allah esok kita akan menyambut Eidul Adha dan menunaikan Ibadat Qurban. Dan bila menyebut Qurban maka terus teringat lembu yang akan disembelih. Datuk saya merupakan seorang tukang sembelih yang agak terkenal dikampung. Mungkin kerana daging lembu atau kambing yang disembelihnya tidak berbau hamis, tidak berlemak dan dagingnya binatang yang disembelihnya agak lembut. Kalau tulang binatang memang keras lah jugak, namanya pun tulang.

Banyak peristiwa yang lucu, manis malah yang cemas telah saya lalui dan saksikan semasa ibadah Qurban. Antaranya ialah bila Lembu dan Kerbau yang agak besar dan turun minyak/naik angin  terlepas. Susah untuk ditangkap, apayah lagi nak dijinakkan.

Terdapat pelbagai kaedah dan petua orang dahulu kala untuk menundukkan binatang yang liar ini agar jinak dan akur dengan suruhaan supaya tak bergerak dan sebagainya, lain padang lain belalang, lain guru lain pedoman. Misalnya ada yang menggunakan ilmu Hikmah mengguna kaedah harfiah iaitu dengan menyebut dan meletak dua huruf pada tempatnya.

Namun apa yang saya nak kongsikan dengan sahabat semua ialah amalan yang ada dalam Silat Seni Gayong yang boleh dijadikan penunduk kepada binatang yang liar dan ganas ini. Pendek kata setakat nak sembelih lembu boleh urus secara seorang diri tak perlu ramai.

Amalan atau Doa tersebut ialah Ayat 9. Insya ALLAH jika dibaca dan diisyaratkan pada lembu yang nak disembelih, lembu itu akan jinak dan biasanya mudah ikut ..”ore kelate sebut denga kato”. Jadi fungsi ayat di atas ialah bukan sekadar untuk bertempur semata-mata malah ianya banyak lagi kegunaannya. Apapun perlu berguru. Kerana semasa menghadap guru akan diterangkan kaedah beramal yang sebenar.

Bagi yang tidak diberikan ijazah untuk beramal dengan ayat 9, bolehlah dibacakan ayat di bawah untuk tujuan yang sama.

أَفَغَيْرَ دِينِ اللَّهِ يَبْغُونَ وَلَهُ أَسْلَمَ مَنْ فِي السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ طَوْعًا وَكَرْهًا وَإِلَيْهِ يُرْجَعُونَ

Patutkah sesudah (mengakui dan menerima perjanjian) itu, mereka mencari lain dari ugama Allah? Padahal kepadaNyalah tunduk taat sekalian makhluk yang ada di langit dan di bumi, sama ada dengan sukarela ataupun terpaksa, dan kepadaNya lah mereka dikembalikan (Ali ‘Imran[3:83]).

Mujahid meriwayatkan daripada Ibn ‘Abbas: Apabila binatang tunggangan kamu sukar menuruti perintah atau terlalu liar, maka bacalah ayat ini (ayat  83) pada telinganya (Tafsir al-Qurtubi).

Hok nok jadi tuke sembelih Lembu ni..molek baca ayat ni. kalau tak tahu baca jugak kena  cari kayu TAS nampaknya..hihihi..

Dan akhir sekali marilah kita bersama-sama menghayati firman Allah swt ini
“Daging-daging korban dan darahnya itu, sekali-kali tidak dapat mencapai (keredhaan) Allah, akan tetapi (keikhlasan) yang lahir dari ketaqwaan darimulah yang dapat mencapainya. Demikianlah Allah telah memudahkan bagimu (binatang korban itu) untuk kamu supaya kamu mengagongkan Allah lantaran petunjukNya kepadamu dan berilah berita gembira kepada orang-orang yang melakukan kebaikan.”

(Surah al-Haj : ayat 37)

Salam Aidil Adha 1433  dari kami sekeluarga dan mohon kemaafan dari kami buat saudara semua.

Abu Syakirin

Ummu Syakirin

Nik Abdul Syakur

Nik Kauthar Hanan.

_____________________________________________________________

© KHALIFAHGAYONG.COM (AKU DAN GAYONG)

Hak cipta terpelihara. Setiap artikel yang tersiar di Khalifahgayong.com dihasilkan untuk tujuan pendidikan dan bersifat non-komersil. Pembaca bebas menyalin dan menyebarkan artikel yang terdapat di sini, namun alamat Khalifahgayong.com hendaklah disertakan bersama untuk memudahkan proses rujukan. Manakala untuk penerbitan semula dan berorientasikan komersil, setiap bahagian daripada artikel ini tidak boleh diterbitkan semula, disimpan untuk pengeluaran atau dipindahkan dalam bentuk lain, sama ada dengan cara bercetak, elektronik, mekanikal, fotokopi, rakaman dan sebagainya, tanpa izin KHALIFAHGAYONG.COM terlebih dahulu.

“Aku Dan Gayong”

http://www.khalifahgayong.wordpress.com

 

Salamun alaik,

Teringat Pesan Guru hamba yang dikasihi,

PEMULA bagi segala yang awal, PENGGERAK bagi segala yang berupaya, PENGAKHIR bagi segala yang bermula, DIAlah ALLAH Maha Atas Segala Sesuatu, yang tidak menyerupai segala sesuatu, tidak tersentuh dengan segala yang dibayang, tidak terlihat dengan segala yang dipandang, betapa Sucinya ZAT yang Maha Agung bagi setiap kemuliaan penciptaan awal dan akhir, betapa Esanya ZAT yang Maha Sempurna bagi setiap kehidupan dunia dan akhirat.

Belajar dari tak tahu kepada tahu. Bila tahu amalkan, bila kita amalkan kelak amalan itu akan menjadi benteng kepada kamu. Jangan sesekali kamu belajar kerana malu mata kepada guru kamu, kerana sifat ini sikit pun tidak membantu kamu, malah ia akan membinasakan hidup kamu. Ibarat kata pepatah, Umpama tempayan yang air didalamnya separuh,  bila di angkat ringan, bila melangkah airnya berkocak, langkah tidak teratur, kuat pula bunyi kocakkanya. Jadilah kamu umpama tempayan yang penuh airnya, diangkat berat tapi mudah membawanya, air tak berkocak malah mudah pula langkah diatur.

Bapak Gayung, Ibu Gayung, Anak Gayung…bapak itu kaki, ibu itu tangan, anak itu mata, Gayung itu diri kita sendiri….langkah setapak mengukur jarak, mata melihat tangan mencapai, kaki menyampai…latah seorang pendekar tua terpancar keluar segala gerak rahsia..di sebalik gerak ada rahsia di sebalik rahsia ada rahsia..Dalam gerak ada seni,dalam cerah ada cahaya,dalam gelap ada bayang

Seni tua yang berseni..penuh dengan rahsia tempur berbisa yang tersembunyi.Tegak silat kerana pendekar, tegak pendekar kerana hulubalang, tegak hulubalang membela ISLAM..Antara panglima,pendekar dan pahlawan,siapa yg lebih handal. Siapa diantara mereka menguasai gerak yang tiada mati.

Pandang pada DIA dalam setiap perbuatan, dengar akan DIA pada setiap amalan, BISMILLAH, MINALLAH, MAALLAH…

 

Pintu jihad tidak pernah tertutup hingga berakhirnya sebuah kehidupan.Apabila umat islam menjaga iman dan amalan,perasaan takut dihidupkan di dalam diri kufar.Hebat kita bukan pada senjata,akan tetapi,kehebatan kita apabila pergantungan penuh kepada Allah adalah segala-galanya.

wallahualam

_____________________________________________________________

© KHALIFAHGAYONG.COM (AKU DAN GAYONG)

Hak cipta terpelihara. Setiap artikel yang tersiar di Khalifahgayong.com dihasilkan untuk tujuan pendidikan dan bersifat non-komersil. Pembaca bebas menyalin dan menyebarkan artikel yang terdapat di sini, namun alamat Khalifahgayong.com hendaklah disertakan bersama untuk memudahkan proses rujukan. Manakala untuk penerbitan semula dan berorientasikan komersil, setiap bahagian daripada artikel ini tidak boleh diterbitkan semula, disimpan untuk pengeluaran atau dipindahkan dalam bentuk lain, sama ada dengan cara bercetak, elektronik, mekanikal, fotokopi, rakaman dan sebagainya, tanpa izin KHALIFAHGAYONG.COM terlebih dahulu.

“Aku Dan Gayong”

http://www.khalifahgayong.wordpress.com

Posted by: abusyakirin | 5 Julai 2012

KEBAL… Racun Di Minum

 

“Al-Rasub”

Salamun alaik,

Bila namanya disebut, gentar hati musuh. Seorang sahabat Rasulullah yang berjaya memimpin pasukan tentera mengalahkan tentera Parsi dan Rom. Gelaran Pedang Allah / Saifullah tidak membuatkan dirinya sombong. Bahkan beliau mengharapkan keredhaan Allah. Berperang kerana Allah bukan kerana arahan khalifah.

Beliau mendambakan mati syahid tetapi akhirnya beliau menemui Allah di atas katil. Semua ini ketentuan Allah. Hanya Allah yang mengetahui tempat dan waktu ajal kita.

Pernah suatu ketika, Khalid bin Al-Walid memerintahkan tenteranya mengepung benteng-benteng ini. Namun begitu, terdapat juga anggota tenteranya yang tidak sabar mahu menyerbu masuk bagi menamatkan pengepungan itu. Bagi mereka, penantian itu suatu penyeksaan.

“Tentera kita sudah berpengalaman menembusi benteng seperti ini. Mereka hanya menunggu perintah daripada panglima bagi membuat serbuan,” kata Yazid.

“Mereka yang berlindung di sebalik benteng itu kebanyakannya terdiri daripada wanita yang suaminya dibunuh dalam peperangan dan kanak-kanak yang kehilangan bapa. Tentera yang mempertahankan benteng itu kurang hebat kerana pahlawan yang terbaik sudah kita bunuh,” jelas Khalid bin Al-Walid.

“Cukup sekadar serang dari luar sahaja. Saya yakin tidak lama lagi mereka pasti kalah,” sambung Khalid lagi.

 

Beliau mahu tentera Islam sabar. Kejayaan pasti menjadi milik mereka, cuma kesabaran itu perlu disemai supaya tidak berlaku pertumpahan darah yang banyak, terutama sekali di kalangan wanita dan kanak-kanak. Mereka tidak patut diperangi tetapi perlu dibantu.

Tentera Islam mematuhi arahan itu. Mereka menghujani benteng itu dengan anak panah, api dan batu yang dilontar dengan menggunakan pelantik. Ramai musuh yang terbunuh dan cedera akibat serangan itu. Ada juga sebahagian benteng yang mula pecah akibat hentaman batu yang dilemparkan oleh tentera Islam.

“Musuh yang mempertahankan benteng Benbaqilla mengibarkan bendera putih. Mereka mahu menyerah kalah,” kata Muthana bin Harith kepada Khalid bin al-Walid.

“Suruh mereka buka pintu bentang dan berjalan keluar tanpa memegang senjata. Pastikan itu bukan muslihat peperangan,” Khalid bin Al-Walid mengingatkan Muthana.

 

Dalam peperangan apa asahaja boleh berlaku. Mereka perlu bijak dan berwaspada selalu. Tidak lama kemudian, pintu benteng itu dibuka. Mereka yang berkubu di salamnya keluar sambil mengibarkan bendera putih dan mengangkat tangan tanda menyerah kalah. Khalid menyuruh ketua mereka datang menghadap.

 

“Siapa nama saudara?” tanya Khalid. dia bertanya dengan penuh hormat walaupun dalam ketegasan.

“Nama saya Amru al-Masih, tetapi kaum saya memanggil dengan nama Ibnu Baqilah,” jawabnya.

“Berapa tahun umur saudara?” tanya Khalid al-Walid lagi.

 

Dia tidak faham kenapa insan tua seperti itu boleh terlibat dalam perang. Jawatannya sebagai ketua mendatangkan pertanyaan di mindanya dan menimbulkan rasa hairan di hatinya. Matanya masih tertancap pada insan yang sedang berdiri di hadapannya.

“100 tahun,” jawab Ibnu Baqillah.

Khalid tersentak sedikit tetapi dia pandai menyembunyikan rasa terkejutnya.

“Mengapa saudara dilantik menjadi ketua dalam umur begini?” Akhirnya terkeluar juga persoalan yang berlegar-legar di mindanya.

Ibnu Baqillah tersenyum mendengar pertanyaan itu. Memang dia sudah menjangkakan soalan itu pasti terbit dari bibir pahlawan yang digeruni ramai itu.

“Ini kerana saya lebih bijak daripada kaum saya,’ jawabnya tanpa ada perasaan megah. Dalam hatinya, dia baru sahaja berniat mahu berdamai dengan tentera Islam.

“Mengapa saudara membuat benteng?” tanya Khalid.

“Saya mengurung orang bodoh supaya dibuka oleh mereka yang cerdik,” Khalid tersenyum mendengar jawapan itu.

“Adakah saudara ingin menyerah diri atau berperang?” tanya ketua pahlawan Islam itu lagi.

“saya mahu menyerah diri,” katanya dengan yakin.

“Mengapa perlu berperang sekiranya sudah tahu kemenangan pasti menyebelahi pihak musuh? Langkah paling bujak adalah berdamai,” tambahnya lagi.

“Saudara mahu memeluk islam atau membayar jizyah?”

“Saya mahu membayar jizyah,” jawab Ibnu Baqillah.

“Saudara boleh hidup dengan aman dan berpegang kepada agama asal,” balas Khalid bin al-Walid lagi.

 

Tiba-tiba Khalid ternampak botol kecil trejatuh dari saku baju Ibnu Baqilah. Serentak dengan itu, dahinya berkerut sehingga keningnya hampir bercantum dua.

 

“Apa yang terkandung dalam botol itu?” tanya Khalid.

“Sejenis racun yang amat bisa. Sesiapa yang meminumya pasti mati serta merta,” jawab Ibnu Baqilah.

“Mengapa saudara bawa racun ini?” tanya Khalid al-Walid. Dia benar-benar hairan.

“Sekiranya dipenjarakan, saya mahu minum racun ini kerana saya lebih rela mati daripada dipenjarakan. Sekiranya tindakan saya berunding dengan saudara tidak dipersetujui oleh kaum saya, saya lebih rela mati daripada hidup dibenci oleh kaum sendiri,” Ibnu Baqilah memberitahu Khalid dengan jujur tanpa berselindung.

 

Khalid al-Walid mengambil racun itu lalu berkata dengan penuh yakin,”Racun ini tidak boleh membunuh orang selagi belum sampai ajalnya.”

Baginya, seseorang itu tidak akan mati tanpa izin dari Allah.

“Racun itu amat berbisa. Sesiapa sahaja yang meminumya boleh mati serta merta,” Ibnu Baqilah membantah kata-kata Khalid bin Al-Walid.

Beliau kelihatan yakin. Penutup botol dibuka. orang lain memandangnya dengan cemas.

“Jangan minum racun itu. Ia akan memudharatkan tuan,” Yazib cuba menghalangnya.

“Lebih baik buang sahaj racun itu,” kata Muthana.

Namun begitu Khalid tetap bertegas mahu meminumya.

“Saya mahu buktikan racun ini tidak memberi apa-apa kesan kepada diri saya dengan izin Allah,” ujar Khalid.

Kemudian Khalid berdoa yang membawa maksud,

“Dengan nama Allah yang sebaik-baik nama, Tuhan penguasa bumi dan langit yang dengan namanya racun ini tidak mendatang mudharat.”

Selepas membaca doa itu, Khalid mendekatkan botol beracun itu ke bibirnya.

“Jangan minum!” ada suara yang menjerit dnegan tindakannya.

Khalid terus meneguk racun itu dan menelannya.

Orang ramai terpegun. Masing-masing bingung dengan keberanian pahlawan Islam itu. Ibnu Baqilah adalah orang yang paling terkejut kerana Khalid mampu tersenyum dan berdiri selepas menelan racun itu.

“Mustahil tiada apa-apa berlaku selepas meminum racun itu,” bisik hatinya.

Mulutnya melopong kerana kehairanan.

 

“Saya sudah beritahu saudara yang racun itu tidak boleh memudharat sesiapa dengan izin Allah,” Khalid Al-Walid mengulangi kata-katanya.

Hebatnya keyakinan para sahabat. Mungkin kita tidak seyakin Khalid untuk bertindak sedemikian. Dengan tindakannya ini, ramai yang memeluk Islam. Subhanallah!

Khalid al-Walid juga seorang yang pandai mengatur strategi peperangan. Dalam peperangan melawan tentera Rom 240 000 tentera. Manakala tentera Islam seramai 40 000 orang sahaja. Jika dikira secara logik mustahil tentera Rom boleh kalah.

Antara rahsianya yang disebut oleh tentera Rom kepada Maharaja Hercules.

“Tuanku, tentera kita berperang dengan satu kaum yang berpuasa pada siang hari dan beraml ibadat pada waktu malam. Mereka berpegang teguh pada janji, saling berkasih sayang sesama mereka bagaikan saudara sendiri. Mereka sentiasa mengerjakan kebaikan dan tidak melakukan kemungkaran,” katanya dengan jujur.

“Tentera kita pula suka minum arak, melakukan zina, selalu mungkir janji, suka berbuat jahat dan melakukan kezaliman. Disebabkan itulah kita kalah,” tambahnya lagi walaupun suaranya ketakutan dihadapan maharajanya.

Pahlawan Khalid Al-Walid meninggal di atas katil, bukan di medan perang. Kerana beliau digelar Pedang Allah. Pedang Allah itu hebat, mana mungkin orang dapat menewaskan Pedang Allah di medan perang. Allah jua yang berkuasa menewaskannya di pembaringan. Subhanallah. Hikmah tentang kematian Saidina Khalid al-Walid itu adalah berdasarkan kisah yang diceritakan oleh Sheikh Muhammad Idris al-Kandahlawi kepada Sheikh Abd al-Fattah Abu Ghuddah kerana Sheikh Abd al-Fattah Abu Ghuddah adalah berjalur keturunan sampai kepada Khalid al-Walid.

PERSOALANNYA.

Adakah kisah ini boleh dijadikan Hujah untuk beramal dengan berdoa dan membaca ayat alQuran lalu minta ilmu Kebal dan segala ilmu-ilmu kebatinan.  Atau adakah bukti yang kukuh untuk menjelaskannya kepada masyarakat yang bukan berinteraksi dalam dunia persilatan seperti kita ini.

Saya tanya anda jawab.

wallahualam.

_____________________________________________________________

© KHALIFAHGAYONG.COM (AKU DAN GAYONG)

Hak cipta terpelihara. Setiap artikel yang tersiar di Khalifahgayong.com dihasilkan untuk tujuan pendidikan dan bersifat non-komersil. Pembaca bebas menyalin dan menyebarkan artikel yang terdapat di sini, namun alamat Khalifahgayong.com hendaklah disertakan bersama untuk memudahkan proses rujukan. Manakala untuk penerbitan semula dan berorientasikan komersil, setiap bahagian daripada artikel ini tidak boleh diterbitkan semula, disimpan untuk pengeluaran atau dipindahkan dalam bentuk lain, sama ada dengan cara bercetak, elektronik, mekanikal, fotokopi, rakaman dan sebagainya, tanpa izin KHALIFAHGAYONG.COM terlebih dahulu.

“Aku Dan Gayong”

http://www.khalifahgayong.wordpress.com

 

 

Older Posts »

Kategori

Ikut

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 78 other followers