Posted by: abusyakirin | 16 Januari 2010

Beralaskan Tanah Beratapkan Langit

Nik..malam ni Tokku kau buka gelanggang silat baru, ayah kau bagi ke kita pergi tengok?. Tanya Fikri sahabat sekampung.

Aku dah minta izin Nda (Bonda) aku..aku menjawab

Malam itu selepas habis mengaji Al-Quran dengan Cik ( Nenek ) ,aku dan rakan ku Fikri terus menuju ke gelanggang silat yang baru di buka di belakang rumah Tokku ( Datuk aku ). Aku rasa teruja sangat untuk melihat upacara pembukaan gelanggang. Namun jauh di sudut hati ku alangkah baiknya kalau aku turut sama menjadi anak gelanggang tersebut.

Langkahan kami semakin laju untuk cepat sampai ke gelanggang tersebut..Kami bernasib baik, sesampainya kami di situ upacara baru bermula. Entah kenapa setiap kali aku mendengar paluan gendang, gong bertingkah dan tiupan serunai diriku akan bersemangat…jijok angin kata ore kelate. Aku menumpukan sepenuhnya kedalam gelanggang melihat dua orang pesilat sedang membuka langkah sembah…selesai langkah sembah 4 tapang atau sembah salam 4 penjuru… entah bila aku melompat masuk ke dalam gelanggang dan membuka langkah terus berpencak..Panjok tujuh pengantin lima.

Mujurlah ayahku ada di situ dia datang dan menepuk bahu ku, barulah aku tersedar dalam fantasi ku. Malu ada..pelik pun ada. Orang ramai kehairanan melihatku berpencak tadi. Setelah meminta maaf pada Tokku, Ayah ku mengajak aku pulang bersamanya..

“Nik  ni buat kucar majlis ..angin tohor ( lemah semangat) mung ni”

aku hanya diam..bagiku aku bukanlah lemah semangat tetapi lebih semangat.

Nok belajar silat ko?

Soalan atau pelawaan yang aku nantikan sejak sekian lama

Nok..spontan aku menjawab

Hemm..nanti ayah royak ko ( beritahu pada ) tokku suruh dia ajar nik.

Alhamdulillah akhirnya terbuka juga pintu hati ayahku untuk membenarkan aku belajar silat. Sebenarnya sudah lama aku meminta izin darinya untuk turun bergelanggang namun dia tidak mengizinkannya. Bonda aku memberitahu ku, Ayah ku dan Tokku tidak mengizinkan aku bersilat lagi kerana dia bimbang sekiranya aku menjadi seorang yang lupa daratan dan menyalah gunakan ilmu yang aku pelajari….

DITERIMA MENJADI MURID

Selepas solat subuh biasanya aku akan mengaji Al-Quran dengan Tokku Setelah selesai mengaji Tokku bertanya tentang hasratku untuk mempelajari silat. Aku menyatakan hasrat hatiku yang selama ini terpendam maklumlah ketika itu aku dah berumur 12 tahun.

“Nik..dulu buke maso dia nik nak belajar, lonih bulehlah..”

“Nik dah buleh mikir.. doh habis mengaji, sembahyang pun tok tinggal, lagu ni baru buleh belajar silat”.

“Tokku harap benar nik belajar silat dengan tokku..nik ni cucu jantan hok sulung..kalu buke nik sapo lagi tokku nok turun ilmu pusako kito nih hok titih zame berzame.

Tokku menjelaskan kepada aku selama ini setiap kali ada latihan dia membawaku ke gelanggang adalah salah satu pembelajaran silat juga. Beliau cuba memperkenalkan silat kepadaku agar aku dapat melihat latihan fizikal yang dipelajari oleh pesilat-pesilat dan dalam masa yang sama ia memupuk semangat dan membuatkan mental aku bersedia untuk menghadapi latihan sebaik sahaja aku menjejakkan kaki ku dalam gelanggang persilatan nanti.

Sebelum  itu dia mahukan aku  khatam AlQuran dan belajar Fardu Ain dengan sempurna dulu, Beliau memberi keutamaan belajar  agama dahulu berbanding apa jua ilmu di dunia ini.

” Ingat Nik Tokku nak pese..petin ko agamo dulu baru mugo lain ( agama di dahulukan baru perkara lain )

“So lagih kito ore silat ni kena banyok sabar..Amanah paling penting”

“Buoh silat ni bahayo..jange pukul ikut sedap hati..Tokku toksir Nik jadi agah ( takbur )

Terharu aku mendengarnya..Aku melihat ayah bonda dan Cik tersenyum melihat kegembiraan yang terpancar dari wajahku..

Malam itu selepas solat isyak aku diterima menjadi anak murid dan bermulalah hidupku sebagai seorang pesilat..beralaskan tanah beratapkan langit

PENGAJARAN

Iktibar dari kisah hidupku tadi ialah sifat seorang guru yang berhati-hati memilih muridnya dan seorang  murid yang perlu menerima amanah yang disampaikan oleh gurunya.

Selain itu Guru dulu  kebiasaanya akan menitikkan  kefahaman Islam sebelum menerima seseorang menjadi muridnya. Walaupun muridnya itu anak cucunya atau darah dagingnya sendiri..

Adakah amalan ini masih lagi diamalkan.Atau Sekadar mengisi borang dan membayar yuran terus saja boleh berguru dan  bergelanggang. Ikhlaskah guru generasi baru sekarang membentuk peribadi muridnya?

Cuba kita renung sejenak mengapa  ada juga yang mengatakan masa dalam gelanggang semua buah dan gerak menjadi bila lawan satu pun tak jadi.

VIRUS RASUAH

Pada pendapat saya ia sedikit sebanyak berkait dengan nawaitu, keikhlasan dan keberkatan antara murid dan gurunya. Ada guru yang mementingkan yuran dan glamour, begitu juga murid yang mengejar kepentingan peribadinya. Saya cukup sedih ilmu pusaka bangsa diperlakukan dengan begitu hina dan tak bermaruah…manakan tidak.. ada sesetengah guru yang MENJUAL sijil, bengkung dan sandang dengan sewenang-wenangnya. Bayar RM250 dapat ni, RM500 dapat ini begitu juga ada yang mengenakan bayaran beratus-ratus ringgit bahkan ribuan agar mendapat sesuatu amalan kebatinan. lagu ni umpama kayu make bubuk..molek diluar kelontong alik dale.

Mengapa perkara ini berlaku? Semuanya berpunca kurangnya kefahaman agama. . Bila Guru tidak amanah Muridnya pasti tidak berhemah.Akan hilanglah keberkatan dan keagungan Seni Silat Melayu ini dek kerana amalan RASUAH ini.

Sesungguhnya Allah menyuruh kamu menyampaikan amanah kepada yang berhak menerimanya dan apabila kamu berhukum di kalangan manusia maka hendaklah kamu berhukum dengan adil. Sesungguhnya Allah memberikan pengajaran yang sebaik-baiknya kepadamu. Sesungguhnya Allah adalah Maha mendengar lagi Maha melihat”. (Surah al-Nisa: 58).

Maka Gurulah yang terlebih dahulu diwajibkan melakukan keadilan dan menunaikan amanah, kemudian barulahmuridnya akan taat. Al-Imam al-Qurtubi menyebut riwayat daripada khalifah Ali bin Abi Talib r.a bahawa beliau menyebut:

“Tanggungjawab imam (pemerintah) adalah memerintah dengan adil dan menunaikan amanah. Apabila dia menjalankan tanggungjawab sedemikian maka wajib ke atas muslimin mentaatinya. Ini kerana Allah menyuruh agar ditunaikan amanah dan melaksanakan keadilan kemudian diperintahkan agar rakyat mentaatinya (pemerintah)” (Al-Qurtubi, al-Jami’ li Ahkam al-Quran, 5/259, Beirut: Dar al-Fikr).

Silat Tumbuh Bagaikan Cendawan

Guru-guru tua dan muda terus tumbuh bagaikan cendawan. Pertumbuhan ini baik sekiranya guru-guru ‘khatam’ dalam perguruan asalnya lalu membuka gelanggang baru sebagai penyambung warisan ataupun membuka perguruan baru dengan garapan ilmu-ilmu beladiri lain yang tersemat di dalam dada. Pertumbuhan yang tidak baik adalah apabila guru-guru itu hanya cukup ‘mengambil rasa’ sesebuah perguruan lalu membuka perguruan baru pada tahap pencapaian yang masih minima. Setakat ini masih belum ada sebarang badan bagi mengawal pertumbuhan perguruan baru dan tiada standard khusus bagi sesebuah perguruan mendaftarkan diri sebagai pertubuhan silat yang baru. Tindakan ini perlu dikawal bagi memelihara kualiti silat dan menjaga maruah silat apabila berdiri di mata dunia.

Gunting Dalam Lipatan

Begitu juga dengan segelintir dikalangan kita yang masih mempunyai sifat denki dan busuk hati…mahukah kita peristiwa fitnah dan hasad seperti Tuah di hukum bunuh kerana jasanya dan Hang Nadim di hukum bunuh kerana kepintaranya terus berulang dan berulang…

Makan makanan yang sama, basah dengan hujan dari langit yang sama, tidur berselimutkan sejuk malam yang sama, kering oleh simbahan bahang mentari yang sama, mengaji di bawah bumbung ilmu yang sama, selepas  bertuhankan Tuhan yang sama dan bernabikan Rasul yang sama. Sukar sekali untuk dibayangkan ada yang mahukan mudarat dan kehancuran pada sahabatnya sendiri.

Jauh benar akhlaq Rasulullah daripada kehendak yang sebegitu, melainkan nafsu dan dendam kesumat sahajalah terbitnya perasaan sedemikian rupa.

Nabi s.a.w bersabda: “Akan menjalar kepada kamu penyakit umat-umat yang terdahulu; hasad dan benci membenci. Itu sebenarnya pencukur. Aku tidak menyatakan pencukur rambut, tetapi ia mencukur agama” (Riwayat Al-Bazzar dengan sanad yang sahih, juga diriwayatkan oleh al-Tirmizi).

Penutup

Wahai muridku semua, apa yang engkau lakukan  ia ditulis di sisi Tuhanmu! Ingatlah suatu masa nanti kita akan beralaskan tanah beratapkan langit iaitu berada di kubur bukan digelanggang dunia ini lagi

..pesan arwah tokku.


aku dan gayong

http://www.khalifahgayong.wordpress.com

nikiznan@gmail.com


Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

Kategori

%d bloggers like this: