Posted by: abusyakirin | 1 Mac 2010

Fairus Bekas TKM1 Pulau Pinang secebis nasihat buatmu

Fairus Khairuddin bersalaman dengan Menteri Besar Negeri Sembilan

Fairus Khairuddin bersama Perdana Menteri

Fairus,Perdana Menteri, MB negeri Sembilan dan SU Agong UMNO

Jawatan kepimpinan adalah amanah dan beban. Ia menimbulkan kegerunan dalam setiap hati yang menyedari besarnya bebanan kedudukan politik pada hari Allah menghitung amalan manusia nanti.

Rupa-rupanya desas desus sahabat saya ingin keluar PKR dan masuk UMNO menjadi kenyataan..Saya tidak ingin pertikai sama ada Fairus perlu kekal dalam PKR ataupun masuk UMNO itu hak dia..dan saya bukanlah insan yang layak membicarakan isu ini.

PSSPGM atau PSSGM

Namun saya tertanya-tanya adakah sahabat saya ini sudah keluar PSSPGM dan mendaftarkan ahli dalam PSSGM pulak.. Kalau dalam PSSPGM dia diberikan Sandang Panglima Singa Malaya takkan dalam PSSGM pun dapat sandang sama jugak..macam mana dengan Cikgu Sazali Sendo selaku Singa Malaya PSSGM..? dan semudah itukah Cikgu Adiwijaya atau saya selalu memanggilnya Pak Ady menerima dan menganugerahkan sesuatu kepada Fairus. Saya menantikan reaksi Cikgu Majid di atas peristiwa ini kerana umum sedia maklum hubungan Cikgu Majid dan Fairus..

Sebagai sahabat  saya ingin menitipkan sepatah kata nasihat buat diri saya dan juga dirinya

ANTARA BERPOLITIK DAN GILA POLITIK

SAYA terbaca Sifat al-Safwah karya Ibn al-Jauzi yang meriwayatkan bahawa ketika Khalifah Harun al-Rasyid menaiki Bukit Safa, seorang tokoh umat bernama ‘Abd Allah bin ‘Abd al-Aziz al-‘Umari berkata kepadanya: “Lihatlah ke arah Kaabah.” Harun al-Rasyid menjawab: “Aku sedang lihat.” Kata beliau lagi: “Berapa jumlah mereka yang kau lihat?” Jawab Harun: “Siapa yang mampu membilangnya.”

Kata beliau pula: “Berapa jumlah manusia yang seperti mereka?” Jawab Harun: “Hanya Allah yang mampu menghitungnya.” Kata al-‘Umari lagi: “Ketahuilah engkau bahawa setiap mereka itu hanya akan ditanya pada hari kiamat tentang diri mereka sahaja, hanya engkau yang akan ditanya tentang diri mereka semua, maka hati-hatilah engkau tentang nasib engkau nanti.”

Maka terduduk dan menangislah Harun al-Rasyid mengenangkan masa depannya di akhirat kelak.

Jawatan kepimpinan adalah amanah dan beban. Ia menimbulkan kegerunan dalam setiap hati yang menyedari besarnya bebanan kedudukan politik pada hari Allah menghitung amalan manusia nanti.

Namun bagi yang tidak insaf, kedudukan politik dan kuasa adalah satu kegilaan buatnya. Sehingga fikiran, harga diri, bahkan agamanya pun sanggup dipertaruhkan untuk mendapatkan kerusi politik. Ini disebabkan pandangan terhadap kuasa politik itu berbeza-beza antara seorang dengan yang lain.

Ada yang melihatnya sebagai amanah Allah dan ada pula yang melihat sebagai kesempatan untuk kemasyhuran, kedudukan dan pengumpulan harta atau pengikut. Jika kita lihat kepada Palestin, apalah sangat yang hendak direbutkan sehingga sanggup bermati-matian antara Fatah dan Hamas. Banyak sangatkah projek mega di Palestin itu? Selesa sangatkah jawatan-jawatan di bumi yang bergolak itu? Namun, begitulah kuasa dan politik, ia menjadi kegilaan tanpa mengira tempat dan waktu.

Sejak dahulu manusia sanggup melakukan apa sahaja; sekalipun membunuh sesama saudara hanya semata kerana kuasa. Kadangkala kegilaan kepada kuasa lebih dahsyat daripada candu atau ganja. Seseorang sanggup memfitnah orang lain dengan berbagai-bagai fitnah kerana kuasa. Ada yang sanggup melupakan jasa orang lain, hanya kerana kuasa. Ada yang bermasam muka, tidak bertegur sapa dan memutuskan saudara hanya kerana politik dan kuasa. Ada pula yang sanggup menjatuhkan, bahkan mengkafirkan sesama Muslim semata-mata kerana kuasa.

Politik kadangkala benar-benar meracun hidup sesetengah orang, sehingga seakan hilang ingatan dan daya tumpuan melainkan hanya politik. Sepanjang waktu segala pemikirannya ditumpukan kepada politik. Apa sahaja tindakan, percakapan atau kebaikan orang lain dinilai dengan nilaian politik. Gila politik ini kadangkala mengenai orang bawahan melebihi orang atasan.

Ada pula yang melelongkan agama secara murahan, sehingga segala nas agama ditafsirkan serasi dengan hasrat politik, sekalipun tafsiran itu menyimpang dari roh syariat yang diturunkan Allah. Ada pula yang menipu orang ramai tentang hasratnya yang sebenar dalam berpolitik. Entah berapa ramai yang menyebut tentang hasrat untuk berkhidmat kepada rakyat, tetapi dalam masa yang sama sebenarnya dia mengidam harta rakyat.

Apabila manusia seperti ini menguasai politik, maka medan politik bukan lagi menjadi ruang tanggungjawab melaksanakan amanah Allah untuk berkhidmat kepada rakyat dan umat, sebaliknya menjadi saluran membina kekayaan dan kekebalan diri serta kebongkakan di atas muka bumi. Kegilaan ini dalam banyak hal tidak mengenal latar negeri, pendidikan atau parti. Hanya yang selamat, mereka yang insaf tentang tanggungjawab kuasa politik pada hari kiamat kelak.

Petunjuk

Justeru itu, petunjuk Nabi s.a.w. begitu jelas dalam hal ini. Daripada Abu Musa katanya: Aku dan dua orang lelaki dari kaumku telah masuk kepada Nabi. Salah seorang daripada dua lelaki berkenaan berkata: Lantiklah kami menjadi ketua wahai Rasulullah! Seorang lagi juga berkata demikian. Lalu baginda bersabda: Sesungguhnya kami tidak melantik dalam urusan ini sesiapa yang memintanya atau bercita-cita untuk mendapatkannya (riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Ketika mengucapkan hadis ini, Nabi adalah pemimpin dalam politik. Dalam menentukan pemilihan calon kepimpinan, baginda memaklumkan bahawa dasar baginda adalah tidak memilih individu yang mempunyai ‘kegilaan politik’. Ini kerana yang menggilai itu kurang atau tidak ada keinsafan terhadap amanah kepimpinan. Dasar seperti ini wajar diberikan perhatian oleh kepimpinan setiap negeri dan negara. Dalam hadis yang lain baginda menyebut: Kamu semua begitu bercita-cita terhadap jawatan kepimpinan, ia akan menjadi penyesalan pada hari kiamat. Ia sesuatu yang nikmat pada permulaannya tapi keburukan pada akhirnya (riwayat al-Bukhari).

Orang yang gila politik ialah individu yang tipis ingatan terhadap akhirat, maka rengganglah hubungannya dengan Allah. Oleh itu dalam hadis yang lain, yang diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim, baginda Nabi menasihati sahabatnya Abd. ar-Rahman bin Samurah: Wahai ‘Abd ar-Rahman! Jangan engkau meminta jawatan pemimpin. Sesungguhnya jika engkau diberikannya dengan permintaan maka engkau ditinggalkan (tidak ditolong). Sekiranya engkau diberikannya tanpa permintaan maka engkau dibantu.

Banyak lagi nas Islam menunjukkan seorang yang gila ingin mendapatkan kuasa politik tidak layak untuk diberikan kepadanya jawatan. Hal ini mesti disedari oleh kepimpinan negara dan rakyat jelata.

Berpolitik itu bukanlah sesuatu yang buruk atau dikeji oleh syariah. Ia termasuk dalam tanggungjawab Islam juga. Ia adalah fardu kifayah. Rasulullah dan para sahabat pun berpolitik demi amanah Islam. Apa yang dikeji ialah gila berpolitik atau tamakkan jawatan sehingga melupai dasar- dasar agama.

Maka bukan semua hasrat dan keinginan mendapatkan kerusi politik itu buruk di sisi Islam. Jika niat seseorang menyertai politik itu untuk menyelamatkan keadaan seperti mengelakkan kezaliman, penyelewengan atau demi keselamatan umat Islam seperti keadaan sesetengah negara, maka hasrat politik seperti itu patut dipuji.

Nabi Yusuf pun pernah meminta jawatan dalam negara Mesir. Firman Allah dalam surah Yusuf ayat 55-56: (maksudnya): Yusuf berkata: Jadikanlah aku mentadbir perbendaharaan hasil bumi (Mesir); sesungguhnya aku sedia menjaganya dengan sebaik-baiknya, lagi mengetahui cara mentadbirkannya.Dan demikianlah caranya, Kami tetapkan kedudukan Yusuf memegang kuasa di bumi Mesir; dia bebas tinggal di negeri itu di mana sahaja yang disukainya. Kami limpahkan rahmat Kami kepada sesiapa sahaja yang Kami kehendaki, dan Kami tidak menghilangkan balasan baik orang-orang yang berbuat kebaikan.

Jelas, Nabi Yusuf meminta jawatan, bahkan menyatakan ciri-ciri kelayakan yang dimiliki olehnya demi membolehkan dia mendapatkan jawatan tersebut. Tindakan ini tidak dianggap salah kerana tuntutan keadaan atau keperluan semasa zamannya.

Kata al-Imam al-Qurtubi (meninggal 671H): “Sesungguhnya Yusuf hanya meminta kuasa setelah dia mengetahui bahawa tiada sesiapa yang setanding dengannya, yang dapat melaksanakan keadilan, pembaikan dan menyampaikan hak-hak fakir miskin. Dia melihat yang demikian itu adalah fardu ain bagi dirinya, kerana tiada siapa lagi selain dia. Demikian juga hukumnya pada hari ini. Sekiranya seseorang insan tahu mengenai dirinya, bahawa dia dapat menegakkan kebenaran dalam kehakiman dan hisbah, sementara tiada seseorang pun yang sesuai dan setanding dengannya maka jawatan itu fardu ain ke atas dirinya. Wajib dia mengendali dan memintanya. Dia juga hendaklah memberitahu sifat-sifat yang melayakkannya iaitu ilmunya, kemampuannya dan lain-lain.” (Tafsir al-Qurtubi, 9/21, Beirut: Dar al-Fikr).

Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah (meninggal 728H) juga menyebut bahawa meminta jawatan atas tujuan kemaslahatan agama bukanlah sesuatu yang dilarang oleh syarak (lihat: Ibn Taimiyyah, Majmu’ah al-Fatawa, 8/68, Riyadh: Maktabah al-Abikan).

Bahkan seseorang itu mendapat pahala jika dia inginkan jawatan itu kerana sedar akan kelayakan dirinya yang mampu memberikan khidmat terbaik untuk umat dan menyelamatkan mereka dari kerosakan atau kezaliman, atau bimbang jawatan tersebut akan dikuasai oleh seseorang yang tidak layak atau zalim.

Jika kita lihat para pejuang sebelum dan selepas kemerdekaan, mereka menuntut jawatan politik, tetapi demi kepentingan umat dan rakyat bukan untuk kemewahan diri. Semoga Allah memberikan ganjaran untuk mereka.

Dari segi teorinya, demikianlah. Namun apabila kita sampai ke pelaksanaan hari ini, hampir semua akan mendakwa niat dan tujuannya adalah untuk berkhidmat kepada rakyat, mengelakkan kezaliman atau memastikan orang yang tidak layak tidak mendudukinya. Namun niat hakiki mereka hanya Allah Yang Maha Mengetahui.

Niat

Pun begitu, dalam banyak keadaan, niat sebenar seseorang akan terpapar juga akhirnya.

Sekalipun yang menggunakan nama Islam, belum tentu bebas dari gila politik. Dahulu saya telah catatkan kata-kata al- Nadwi dalam membicarakan tentang dakwah para Nabi. Di sini saya petik sekali lagi: “Wahai tuan-tuan! Besarnya perbezaan antara matlamat yang dituju dan natijah yang muncul. Perbezaan ini akan zahir dalam jiwa yang bekerja untuk itu. Maka, yang bertujuan mendapatkan kerajaan, akan hilang kesungguhan dan diam apabila tidak memperolehinya, atau hilang harapan mendapatkannya. Dia akan berhenti dari dakwah. Dia juga akan melampau jika berjaya.

“Bahaya bagi setiap jemaah (kumpulan) yang pemikiran mereka dibentuk atas cinta (mendapatkan) kerajaan (kuasa) dan bekerja untuk itu. Kerana ia akan menyebabkan mereka meninggalkan jihad di jalan dakwah atau boleh terpaling dan terseleweng tujuan mereka. “Sebabnya, uslub (cara) untuk mendapatkan kerajaan berbeza dengan uslub dakwah. Wajib kepada kita membersihkan akal dan jiwa kita, semata-mata untuk dakwah. Hanya dakwah, khidmat, pengorbanan, mengutamakan saudara Muslim, mengeluarkan manusia – dengan izin Allah – dari segala kegelapan kepada cahaya (Islam), dari jahiliah kepada Islam, dari kesempitan dunia kepada keluasannya. Dari kekejaman agama-agama yang sesat, sistem-sistem yang zalim, mazhab-mazhab yang tidak menentu, kepada keadilan Islam dan lembayungnya.

“Jika pada satu peringkat dakwah, atau pada satu masa – setelah prinsip-prinsip dakwah dan akidah kukuh dalam jiwa pendakwah – tujuan dakwah tidak dapat dicapai melainkan dengan mendapatkan kerajaan, kita akan berusaha untuk mendapatkannya. Demi kemaslahatan dakwah. Dengan jiwa yang luhur dan bersih, benar dan amanat, khusyuk dan tulus, seperti kita bersungguh dalam tanggungjawab dan rukun agama, juga ibadah-ibadah yang lain. Tiada beza bagi seorang mukmin antara kerajaan dan ibadah yang lain, jika telah ikhlas dan betul niatnya. Kesemua itu dalam reda Allah, kesemuanya pada jalan Allah. Kesemuanya ibadah yang mendekatkan diri kepada Allah.” (rujukan: al-Qaradawi, al- Syeikh Abu al-Hasan al-Nadwi kama ‘araftu, m.s. 122-125, Damsyik: Dar al-Qalam).

Justeru itu, seperti kita berkempen bahaya dadah, bahaya rasuah, bahaya pandu laju, kita juga kena berkempen tentang bahaya gila politik. Ia telah mengorbankan ramai manusia sehingga sanggup menjadi hamba orang lain, melanggar batasan syarak, memutuskan silaturahim, bermusuhan sesama Muslim, mengkhianati agama dan negara, menyalahgunakan nama agama, kafir-mengkafir, pulau-memulau bahkan ke peringkat menumpah maruah dan darah hanya semata kerana kegilaan mendapatkan kerusi politik.

Jika kegilaan ini tidak dikawal ia akan menjadi politik gila yang akhirnya membawa kepada masyarakat disibukkan dengan desus-desas yang berbagai-bagai, umpat- mengumpat, tuduh-menuduh, surat dan e-mel layang bertebaran dan berbagai-bagai sensasi akan menggugat ketenteraman masyarakat. Ketika orang lain sibuk membina kekuatan ekonomi dan pendidikan mereka, umat Islam pula tidak habis-habis menyibukkan diri dengan gosip dan keresahan politik.

Dalam usaha membina modal insan yang cemerlang dan negara yang bahagia, kepimpinan negara dan rakyat hendak bergerak menghapuskan kegilaan politik yang boleh membawa kepada politik gila ini. Kembali kepada firman Allah: Sesungguhnya Allah menyuruh kamu memberikan amanah kepada yang berhak menerimanya dan apabila kamu berhukum di kalangan manusia maka hendaklah kamu berhukum dengan adil. Sesungguhnya Allah memberikan pengajaran yang sebaik-baiknya kepadamu. (an-Nisa’: 58).

Walahualam.

______________________________________________________________________________________________________________________________________

© KHALIFAHGAYONG.COM (AKU DAN GAYONG)

Hak cipta terpelihara. Setiap artikel yang tersiar di Khalifahgayong.com dihasilkan untuk tujuan pendidikan dan bersifat non-komersil. Pembaca bebas menyalin dan menyebarkan artikel yang terdapat di sini, namun alamat Khalifahgayong.com hendaklah disertakan bersama untuk memudahkan proses rujukan. Manakala untuk penerbitan semula dan berorientasikan komersil, setiap bahagian daripada artikel ini tidak boleh diterbitkan semula, disimpan untuk pengeluaran atau dipindahkan dalam bentuk lain, sama ada dengan cara bercetak, elektronik, mekanikal, fotokopi, rakaman dan sebagainya, tanpa izin KHALIFAHGAYONG.COM terlebih dahulu.

“Aku Dan Gayong”

http://www.khalifahgayong.wordpress.com


Responses

  1. Salam,
    Beban jangan dicari, bila dapat jangan lari.
    Amanah diberi harus dilaksanakan sebaik mungkin.

    • terkenangkan ayat AlQuran Surah Al-Hashr ayat 21…berat sungguh amanah

  2. Apa yang berlaku adalah satu cubaan untuk umat manusia…paling penting bukan politik menjadi tunjang kepada gayong..tetapi agama adalah tunjang bagi gayong…Apa yang berlaku ini adalah cubaan untuk melihat setakat mana umat melayu islam mampu berfikir…

    • Pendekar ialah orang yang pandai akal bukan pendek akal

  3. pilihlah watak yang baik lak dalam kehidupan kita…dok jadi sanggora api jah…jadi pok dogol pun xpun dah…biar huduh tapi keramat…lagok bodo tapi besengat…

    • Jangan jadi teganggo juwa nangko sudoh…ko guano adi kito.

    • “Belan ngelik dio main……main sikuuuu…….”

      Abe Nik, ore panggil gapo lagu tu….sambil ngelik, sambil nyiku…..:)

      • Argh..sudoh doh la.. ambo sore gak tok panda nak jawab mugo nih..acu tulong royak gak sikit.

        • Hehehe…yak boktan….abe nik…belan-belan dio ngelik main siku doh ni……hehehhe

          • PedangSakti Pendekar Handalan
            Langkah berseni tutur budiman
            Usah di puji hamba terbilang
            Hamba ibarat budak hingusan

        • Pedangsakti nama gelaran
          Bukan pendekar bukan pahlawan
          Bukan memuji bukan menjulang
          Belajar menghayati kurniaan Tuhan

          Biloo…laaa nk habis pantun ni….. duk main juwa bungo sajo jah ni….. buah takdok ore nok beli lagi…..kesian ko ambo……..

          • Bukan memuji bukan menjulang
            Belajar menghayati kurnian tuhan
            Pendekar Pedangsakti diberi gelaran
            Pendekar Handalan Pahlawan Terbilang…..

            Salam Hamba mengundur diri,
            Buat Pendekar PedangSakti,
            Pendekar Lanang Sejagat cula sakti,
            Madahnya sukar untuk dierti,

  4. mengikut kata guruku, Fairus sebenaarnya meminta jawatan itu dari Pak Andak Majid dalam Pusaka gayong.

    Mungkin orang lain dah tak layak kerana dia meminta?

    • Tanggung jawab tidak perlu diminta…

      Langkah jalan berhati-hati,
      Banyak ranjau onak berdiri,
      Jaga maruh dan harga diri,
      Amanah Allah harus dituruti,

  5. Salam semua,

    Yang jadi persoalannya…..adakah kesanggupan Tok Najib utk hadir ke majlis Gayong itu disebabkan oleh faktor keikhlasan utk bersama org silat atau kerana ada agenda yang lebih utama iaitu MAJLIS penerimaan Fairus dlm UMNO……???????????

    • Mungkin mengkhatamkan ijazah kunci Mati SPRM kepada Fairus..hehehehe


Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

Kategori

%d bloggers like this: