Aksi Seni Cindai oleh Kak Jie dan Abang Bat
Berlayar kapal bertimbang arus,
Patah kemudi sepanjang pantai;
Tuan laksana cindai yang halus,
Alah membeli menang dipakai
Kain cindai merupakan kain tenunan sutera halus yang amat bermutu dan mewah. Pada zaman dahulu, hanya golongan raja dan bangsawan sahaja yang memiliki kain cindai kerana kain cindai mahal harganya. Cindai menjadi masyhur di serata dunia kerana ia ditenun dengan teknik ikat ganda atau ‘double ikat’ dalam Bahasa Inggeris. Teknik ini merupakan suatu teknik yang sangat unik dan sukar dilaksanakan. Pembuatan kain cindai memerlukan kepakaran menenun yang tinggi sehingga menyebabkan jumlah yang dihasilkan terhad.
Kain cindai adalah kain yang berasal dari negeri Gujerat. Dipercayai, pedagang-pedagang Gujerat dan India yang membawa masuk kain cindai ke alam Melayu sekitar tahun 1450. Semenjak itu penyebaran dan pemakaian kain cindai meluas ke Asia Tenggara, Pantai Sumatera, Pulau Bantam di Jawa dan Pegu di Burma. Negeri-negeri ini juga merupakan pelabuhan-pelabuhan yang menerima kapal-kapal asing berdagang di negeri mereka.
Pada abad ke 17, orang Belanda yang menguasai perdagangan di Indonesia telah mengenal pasti bahawa kain cindai turut dihasilkan oleh penenun tempatan. Kain itu dikatakan seakan-akan kain patola dari Gujerat. Namun di Indonesia, kain itu dikenali sebagai cindai, cinde, gerinsing dan limar. Di Selatan Sumatera, ‘limar’ membawa maksud memberi warna pada benang. Namun apabila disebut ‘kain limar’, masyarakat sudah dapat mengenali bahawa apa yang dimaksudkan adalah kain cindai.
Songket limar awannya cemerlang,
Pakaian raja zaman dahulu;
Tuan laksana bulan mengambang,
Cahaya menusuk ke dalam kalbu.”
Pemakaian kain cindai bukan hanya oleh golongan istana dan bangsawan. Kain cindai turut dipakai sebagai ikat pinggang atau bengkung pahlawan. Dalam Hikayat Hang Tuah, dikatakan Hang Tuah memakai kain cindai semasa pertarungannya dengan Hang Jebat.
“…ikat pinggang kesumba murup bersurat doa besar-besar.”
Walaupun ‘cindai’ tidak disebut, pengertian ikat pinggang selalu membawa maksud penggunaan kain cindai yang panjang sehingga dapat membelit tubuh tujuh kali. Kain cindai dijadikan bengkung pahlawan kerana kain cindai merupakan kain yang mempunyai tenunan benang yang tinggi setiap inci dan dikatakan mempunyai keistimewaannya tersendiri. Jumlah tenunan ikat berkembar yang tinggi ini menjadikan kain cindai amat kukuh dan dianggap mampu menahan tikaman senjata. Kain ini boleh dianggap setanding dengan penggunaan baju sutera oleh pahlawan Mongol yang menyebabkan panah yang menusuk badan mereka tidak mempu menembusi alas baju sutera mereka sehinggakan mata panah mampu ditarik keluar.
Dalam pertarungan itu, setelah Hang Jebat ditikam oleh Hang Tuah dengan keris tamingsari, dia telah membalut lukanya dengan kain cindai sebelum turun ke bawah dan mengamuk lagi. Hang Jebat hanya mati setelah Hang Tuah membuka balutan kain cindai itu.
Begitulah juga gambaran pakaian Malim Dewa dalam Hikayat Malim Dewa.
“Berkat pinggang kain cindai, panjang tengah tiga puluh / tiga puluh
dengan rambunya..”
Kain cindai menjadi unsur penting dalam adat dan budaya Melayu baik dalam majlis perayaan, menjadi kain dipakai penari tarian Jawa, seluar adat di keraton Jogjakarta, wayang wong, wayang topeng, upacara keagamaan di Bali, hadiah hantaran utama di Riau dan banyak lagi.
Dalam budaya Melayu dahulu, anak dara yang bakal mendirikan rumah tangga perlu bertangas wangi tiga hari sebelum menjelang hari bahagia. Ramuan tangas wangi adalah seperti daun pandan, bunga melur, mawar, daun cendana dan gaharu serta dibalut dengan kain cindai. Tangas wangi dikatakan mampu membuang bau badan termasuk ketiak.
CINDAI JANTAN DAN CINDAI BETINA
Cindai dibahagikan kepada dua jenis iaitu cindai jantan dan cindai betina. Cindai Betina dipakai khusus oleh raja atau pahlawan seperti gambaran kain cindai yang dipakai Hang Tuah dan Malim Dewa. Cindai jantan pula dipakai oleh kaum wanita seperti berikut;
“Maka ia masuk ke dalam peraduan membuka peti kesaktian, mengambil
cindai jantan, corak kuning panjang sepuluh/sebelas dengan rambunya…”
Begitu juga dikatakan tentang pakaian Cik Siti Wan Kembang di Kelantan;
“Cik Siti Wan Kembang berkembang jantan…. Kain limar melekat di kulit
Songket bertabur merah pulasan, Ikat seribu pancung ke bawah..”
Jika diperhatikan kata-kata yang tertera dalam kitab hikayat, kain cindai dikaitkan dengan kesaktian. Penggunaan kain cindai boleh menghalang kesan tusukan senjata tajam atau dikatakan juga boleh membuat seseorang menjadi kebal. Kain cindai dikatakan mempunyai ‘berkat’ dan disimpan pula dalam peti sakti. Maksudnya, kain cindai benar-benar dipelihara dengan baik kerana kepercayaan bahawa kain cindai ini punya ‘roh’ dan ‘hidup’. Tidak hairanlah, sehingga kini, kain cindai dicari dan sanggup dibayar beribu-ribu dolar walau hanya cebisan kain cindai.
Cindai betina dikatakan boleh menjadi pelaris dan pengasih. Cindai betina juga dijadikan pendinding supaya musuh menjadi gerun. Minyak cindai pula dikatakan boleh menjadi pengasih yang ampuh dan ubat yang mujarab. Ada orang tua-tua mengatakan, minyak cindai perlu menggunakan minyak zafron. Minyak ini dikatakan makin bertambah apabila bulan mengambang penuh. Justeru minyak itu tidak pernah luak. Minyak zafron dibuat dari bunga zafron yang terdapat di Arab Saudi. Minyak itu dikatakan hidup. Walaupun hanya setitik, makin lama minyak itu akan bertambah seumpama darah. Mengikut sumber di Terengganu, dikatakan harga minyak zafron boleh mencapai RM$500 setitik.
Masyarakat Melayu percaya bahawa pembuatan kain cindai tidak mudah dan penuh syarat serta pantang larang. Pembuatan kain cindai memerlukan 6 tukang yang mahir. Mereka adalah tukang tenun raja, pawang raja, hulubalang raja, ahli falaq, ahli agama dan tukang seni. Ada juga yang mengatakan bahawa pembuatan kain cindai bersama-sama dengan tukang yang ketujuh yakni yang berasal dari kaum jin. Sebab itulah, kain cindai dianggap keramat dan banyak faedah mistiknya.
Walaupun cindai hanyalah kain tenunan, cindai digelar Seekor Cindai kerana masyarakat Melayu percaya bahawa kain cindai ‘hidup’. Buktinya, biar beratus-ratus tahun umurnya, kain cindai tetap utuh, warnanya tidak pudar dan baunya tetap wangi. Justeru kain cindai mempunyai nilai tinggi dalam adat dan budaya Melayu serta menjadi lambang contoh perilaku orang Melayu yang baik.
PERMAINAN SENI CINDAI
Di dalam permainan Silat Seni Gayong dikatakan Seni Cindai ialah permainan tertinggi dan terbahagi kepada 2 bahagian iaitu permainan cindai jantan yang berbentuk libasan dan tamparan manakala permainan cindai betina berbentuk jerutan, jerat menjerat, belitan dan ikatan maut.
Menurut Allahyarham Haji Buang Bahar, Gurulatih lama, Perguruan Silat Seni Gayong, dan digelar Crazy Horse oleh ADMAR, dalam sembang silatnya di Sekolah Melayu Kota Raja pada akhir 1960-an:
‘Perkataan cindai ini digunakan bagi ijazah tahap tertinggi permainan seni silat yang menggunakan selendang atau bengkung; silat cindai namanya.
‘Tak ramai pesilat yang dapat menguasai atau mahir ke peringkat silat cindai ini.’
Daripada fakta yang terpapar, bolehlah kita membuat kesimpulan bahawa cindai tidak sahaja merupakan kain sutera yang bermutu atau tahap seni silat yang terunggul tetapi juga boleh diibaratkan sesuatu yang istimewa dan bermutu.
Apa guna orang bertenun
Untuk membuat kain cindai
Apa guna orang berpantun
Untuk membaiki laku perangai
____________________________________________________________________________________________________________
© KHALIFAHGAYONG.COM (AKU DAN GAYONG)
Hak cipta terpelihara. Setiap artikel yang tersiar di Khalifahgayong.com dihasilkan untuk tujuan pendidikan dan bersifat non-komersil. Pembaca bebas menyalin dan menyebarkan artikel yang terdapat di sini, namun alamat Khalifahgayong.com hendaklah disertakan bersama untuk memudahkan proses rujukan. Manakala untuk penerbitan semula dan berorientasikan komersil, setiap bahagian daripada artikel ini tidak boleh diterbitkan semula, disimpan untuk pengeluaran atau dipindahkan dalam bentuk lain, sama ada dengan cara bercetak, elektronik, mekanikal, fotokopi, rakaman dan sebagainya, tanpa izin KHALIFAHGAYONG.COM terlebih dahulu.
“Aku Dan Gayong”
http://www.khalifahgayong.wordpress.com
ish ish ish, abe nik ni dah tahap pengkaji ilmu budaya melayu ni. banyak ilmu, banyak maklumat berguna diperolehi. masyaAllah! ni kalu gi dumoh abe nik, mahu abes sebutir note pad dok nyalin ilmu! heheheheh
By: hakim on 5 Mei 2010
at 12:25 pm
Mari la dirumah ambo..naik keretapi turun di merapoh..nak bincang untuk buat kursus di taman negara pahang sg relau.
By: abusyakirin on 5 Mei 2010
at 1:07 pm
kawe nak g umoh demo lagu mana nik?
By: LELOH on 6 Mei 2010
at 3:20 am
Demo dok mano lonih…kawe dok merapoh. demo sapa di merapoh call lah kawe.Hok molek nyo sehari dua sebelum mari sms lah dulu. Send no demo kawe..013-992 3535
By: abusyakirin on 6 Mei 2010
at 3:26 am
Cikgu nanti nak buat kursus jgn lupa jemputlah ye…
By: hazil on 8 Mei 2010
at 10:32 am
insya Allah.
By: abusyakirin on 8 Mei 2010
at 12:11 pm
bes nya dpt tau pasal cindai ni…ade ape2 lg info pasal cindai tak..sbb pak ngah tu tulis lirik bukan main lagi
By: lovE iS ciNta on 4 Disember 2010
at 4:07 pm
salam gayong…
cikgu nik…ambo tertarik dengan artikel ini mengenai “minyak cindai”…ambo raso keluarga ambo memiliki minyak ini kerana ciri2 yg disebutkan oleh cikgu nik ada pada minyak tersebut dan terdapat kain didalam minyak tersebut…minyak ini diwarisi turun temurun oleh keluarga kami…
By: Abi azhad on 27 Jun 2012
at 2:42 am
wmslm wbt..molek tuh..buleh ambo gi tengok dan ambik gambar
By: abusyakirin on 28 Jun 2012
at 1:27 am
salam..saya merupakan plajar Silat Gayong dibawah pusat kokurikulum di universiti saya dan baru2 ini saya mndapt task untuk mmbuat artikel mgenai seni silat gayong.klau x keberatan boleh tak saya nak jadikan artikel tuan sbgai rujukan tmbahan saya?artikel itu mungkin akan diedit dan digabungkan skali dgan maklumat2 lain mgenai snjata dalam seni silat gayong.dan kmungkinan besar artikel itu mungkin akan dicetak dalam mjalah atau surat khabar..mohon tuan dpat mmbantu saya
By: syira94 on 20 April 2014
at 1:31 pm
silakan..
By: abusyakirin on 9 Mei 2014
at 8:05 am
Daus ada kain cindai wali
By: Daus on 20 Februari 2015
at 4:55 pm