Posted by: abusyakirin | 10 Mei 2010

Berguru Simbat pusaka di Gunung Jerai

Hamba di tengah di apit oleh Cg Shams dan Ikhwan

Tinggal di kawasan Merapoh yang dikelilingi bukit dan gunung ini mengingatkan aku tentang Gunung Jerai.

Banyak Kenangan pahit manis yang aku dan rakan-rakan lalui dalam mengharungi hidup sebagai Anak Gayong.Terutama sekali semasa Kursus untuk mengambil Bengkung Merah. Kenangan yang tak dapat dilupakan ialah semasa berlatih di Gunung Jerai.

Setelah beberapa hari bersilat di gelanggang Pusat Gurun, kami di bawa untuk berlatih di sebuah lokasi di Gunung Jerai. Pagi itu kami di arahkan jogging dari Gelanggang Pusat ke Gunung Jerai.Sampai di kaki Gunung kami di suruh berlari menaiki Gunung tersebut. Allah s.w.t  sahaja yang mengetahui betapa kami semua keletihan, baru saja sampai ke kaki Gunung Jerai dah di suruh berlari naik ke atas pula.Bayangkan dalam keadaan kami yang dah keletihan dan sakit segala urat-saraf akibat kesan latihan kunci mati dan pecahannya serta pukulan maut, kami sekali lagi di uji dengan bentuk ketahanan fizikal dan mental yang agak mencabar. Lokasinya bukanlah dekat boleh dikatakan pertengahan gunung Jerai. Kalau sesiapa biasa ke sana lokasinya atas lagi dari ladang Rusa.

Yang mengerunkan lagi kami dipaksa berlari ke atas sambil di kejar oleh Abg Bat dan Cg Brahim. Kita semua berlari, mereka berdua pakai Motor, Cg Brahim yg bawa motor, Abg Bat kat belakang yang tibai kami dengan tongkat jika kami lambat dan letih.Ibarat di depan kandang harimau di belakang kandang singa…ditelan mati mak diluah mati bapak..

Mahu tak mahu kami terpaksa berlari sekuat yang mampu kerana semangat untuk mendapatkan Bengkung Merah. Sakit dan Letih sudah tiada dalam kamus hidup ketika itu. Otak seolah-olah diprogramkan tiada yang penting melainkan lulus ujian bengkung Merah. Lagi pun aku teringatkan kata-kata arwah Mak Ndak Enah iaitu Isteri pertama Cg Majid

Mak Ndak disebelah kanan Abg Bat dan aku yang memakai kopiahMak Ndak disebelah kanan Abg Bat dan Hamba yang memakai kopiah

“Nik kalau nak ambil bengkung Merah mesti tahan di uji dan kena lasak baru boleh jadi komando Gayong”

Latihan Simbat.


Sampai ke lokasi kami di arahkan untuk bermain simbat. Bayangkan kami disuruh bermain di atas jalan raya yang agak curam kira-kira 80 darjah. Yang paling sukar ialah bila kena main pentas..memang agak sukar kerana sebelum ini kami biasa bermain di atas tanah yang agak rata. apatah lagi digelanggang Pusat yang semuanya simen. Di sini betul-betul menguji tahap penguasaan Tapak Pusaka Gayong dan bagaimana kami mengimbangkan badan. Pendek kata bukan sekadar perlu menguasai permainan simbat semata-mata, malah perlu menguasai kemahiran lokasi dan geografi tempat perlawanan.

Kata Abg Bat dan Cg Brahim, kami semua perlu menyiapkan diri untuk menghadapi segala cabaran yang akan kami tempuhi suatu hari nanti. Kita tak tahu bila dan di mana kita akan bersua dengan musuh.. Musuh jangan dicari bersua jangan dielakkan.

Semasa berlatih partner saya  kena tendang di dada terus jatuh dan tenggiling ke bawah..yang lucunya dia tak dapat nak berhentikan tenggilingnya, terus menjunam kebawah dan bila bangun dia kata dunia berpusing laju sangat.

Satu lagi Abg Nor Geting mendapat cenderahati dari Gunung Jerai iaitu sebentuk batu permata yang ditemuinya di bawah sebatang kayu besar yang terbalik di tempat kami melepaskan lelah. Sebenarnya sebelum kami ke Gunung Jerai, malam itu dia dah bermimpi lokasi tempat dia akan berjumpa dengan batu permata tersebut. Nak tahu cerita lanjut bolehlah tanya dia, terutama pesilat KSSG.

Alhamdulillah sessi latihan berpencak simbat di Gunung Jerai berjaya kami semua lalui dengan jayanya. Banyak ilmu yang kami perolehi samada yang jelas dan yang tersembunyi.Bila direnung kembali kisah silam ini..terasa cukup indah dan bermakna sekali. Kerana semua ujian ini mampu dilalui berbekalkan semangat dan keyakinan yang ada pada diri ini dan sahabat.

Isteriku pernah bertanya bagaimana aku mampu hadapi semua ini..beliau kadang-kadang terasa pelik bila mendengar cerita kenangan ujian yang aku tempuhi semasa aku berbual dengan Cg Awang dan Cg Majid. Lantas aku menjawab TAQWA.

IBRAH KISAH BANI ISRAEL


Di belakang mereka maut, di depan juga maut.

Musa dan Bani Israel yang beriman itu dikepung maut. Di belakang mereka adalah Firaun dan bala tenteranya, manakala di hadapan mereka adalah laut yang luas terbentang. Jika dihitung pada upaya helah akal manusia, tiada lagi jalan keluar.

“Matilah kita hari ini”

Tetapi putus asa dari rahmat Allah itu bukan sifat golongan yang layak dibantu. Kerana segala kesempitan dunia itu, tidak terbanding oleh kuasa Allah untuk menghulur keselamatan.

“Barangsiapa yang bertaqwa kepada Allah nescaya akan dijadikan untuknya jalan keluar (dari belenggu masalah) dan dikurniakan rezeki dari sumber yang tidak disangka-sangka” (Al-Thalaq: 2-3)

Laut itu terbelah, membentangkan jalan keselamatan dan pertolongan yang tidak disangka-sangka buat Musa dan Bani Israel. Mereka yang kerdil itu terselamat dan meneruskan perjalanan, Firaun yang gagah, lama berkuasa lagi mencengkam rakyatnya itu tenggelam, binasa… kerana mereka terlalu kerdil di sisi Allah yang Maha Gagah lagi Perkasa.

Syaratnya adalah TAQWA.

SYARAT TAQWA

Taqwa itu bukan slogan.

Taqwa adalah kayu ukur Allah terhadap kualiti insan. Sebaik-baik kamu adalah yang paling tinggi nilai taqwanya.

“Apa itu taqwa?”, tanya Umar al-Khattab kepada Ubai bin Ka’ab Radhiyallahu ‘anhuma.

“Pernah kamu susuri jalan yang penuh duri?”, balas Ubai dengan suatu pertanyaan yang menduga.

“Pernah saja”, jawab Umar.

“Apa yang kamu lakukan?”, pintas Ubai.

“Aku angkat sedikit pakaianku, dan melangkah dengan hati-hati”, jawab Umar lagi.

“Itulah TAQWA!”, simpul Ubai bin Ka’ab terhadap soalan Umar al-Khattab tentang TAQWA.

TAQWA itu adalah kualiti manusia yang merentas jalan berliku. Ada manfaat ada mudarat, ada yang boleh ada yang jangan… seorang ahli taqwa itu akan mengambil kira semuanya. Melangkah dengan penuh kesedaran, bijak mengawal pergerakan, dan peduli kepada setiap yang menjadi cabaran di sepanjang perjalanan itu. Itulah taqwa.

Orang bertaqwa bukan orang hidup ikut suka.

Pejuang bertaqwa bukan pejuang yang berjuang ikut suka.

Mereka mengambil kira segala peraturan Allah, perkara yang memenangkan, dan perkara yang membinasakan.

“Jangan engkau percaya melihat kegagahan seorang lelaki. Tetapi jika mereka teguh memegang amanah dan menahan tangannya daripada menganiayai sesamanya, itulah lelaki yang sebenarnya. Khalifah Umar al-Khattab”

Nostalgia di kenang, Pengalaman dijadikan panduan,Buat tatapan pendekar terbilang, sebagai bekalan di hari kemudian,Beroleh syafaat rasul junjungan.

Kerana Aku adalah Islam dan Ahli Gayong…

_______________________________________________________________________

© KHALIFAHGAYONG.COM (AKU DAN GAYONG)

Hak cipta terpelihara. Setiap artikel yang tersiar di Khalifahgayong.com dihasilkan untuk tujuan pendidikan dan bersifat non-komersil. Pembaca bebas menyalin dan menyebarkan artikel yang terdapat di sini, namun alamat Khalifahgayong.com hendaklah disertakan bersama untuk memudahkan proses rujukan. Manakala untuk penerbitan semula dan berorientasikan komersil, setiap bahagian daripada artikel ini tidak boleh diterbitkan semula, disimpan untuk pengeluaran atau dipindahkan dalam bentuk lain, sama ada dengan cara bercetak, elektronik, mekanikal, fotokopi, rakaman dan sebagainya, tanpa izin KHALIFAHGAYONG.COM terlebih dahulu.

“Aku Dan Gayong”

http://www.khalifahgayong.wordpress.com


Responses

  1. Kata guru saya (Cg Rosni Ahmad anak murid Pendita Mufti) bila kita belajar silat ni — kita belajar benda nak mati. katanya, orang dulu belajar kerana nakkan mati syahid di medan perang — itu pasal katanya tak perlu pada kebal, pasal becita – cita untuk syahid di medan perang.

    Jika kebal taruhannya takdelah Raja Haji digelar orang marhum syahid Teluk Ketapang, takdelah Daeng Celak terbelah dada dibedil oleh Raja Kecil ketika berperang di Kedah.

    Katanya lagi, kebatinan paling tinggi adalah apabila kita dapat menundukkan keangkuhan dan kesombongan diri kita ketika sujud dihadapan Allah s.w.t. 5 kali satu hari. Itulah kebatinan yang paling tinggi. Allah…mengenang zaman budak – budak hmmm..mengamit bermacam perasaan sedih, gembira bercampur baur.

    Semoga Allah merahmati guru – guruku yang mendidik aku sehingga menjadi orang.

    • Katanya guru hamba cikgu awang daud…pelajaran gayong yang tertinggi ialah YAKIN.
      Yakin kepada Allah
      Yakin kepada Ilmu anugerah Allah ini.
      Yakin Kepada Qada dan Qadar
      Kalau nak kata cindai yang tertinggi dia kata tengok dalam kungfu pun ada permainan seakan cindai..tengok jet li main kain..tengok Jackie Chan main baju, tali pinggang, neck tie dan lain-lain lagi. Semua senjata kebanyakkan perguruan senibeladiri adalah sama. Beliau menegaskan Silat adalah untuk dilatih bukan setakat untuk dipelajari semata-mata.Pesilat tersebutlah yang akan mencorak kehebatan Gayong tersebut

      Selain itu sentiasalah Istiqamah.

      Saya yakin dengan Gayong kerana Saya adalah Islam..ilmu Gayong hebat kerana kita adalah Islam.. Kenapa kita tak Yakin kerana kita umat Islam adalah umat terbaik, maka ilmu beladiri yang kita ada adalah yang terbaik.

      Ana abdullahi walan yudhi’ani – Aku Hamba Allah, DIA tidak akan mengecewakanku.

      • salam tuan yg mulia,
        alhamdulillah, syukran atas asas ringkas dalam gayong iaitu YAKIN. benar tuan, tak perlulah kita terlalu membangga2kan @ membandingkan seni bela diri luar dgn silat. kita sendiri telah ada seni bela diri sejak dilahirkan lagi iaitu kalimah tauhid kpd Yang Maha Esa. cuma silat telah diterjemahkan dalam bentuk perbuatan namun pengisiannya tetap berpaksikan syariat Islam. moga silat tidak diperlekehkan oleg bangsa kita sendiri, Insya Allah…🙂

    • Salam.. Saya pernah jd anak murid Cg Rosni Ahmad a.k.a Pak Ngah dari 91 – 96 gelanggang Central Market n Kia Peng.. Camner nak contact balik ayahanda pak ngah.. Mohon pertolongan.. (P/S- Dulu ada gak dok belajar ngan abg wan, yatim, zuber dll)…

      • Skrg die dgn tualang tiga..ade di flat sri semarak

  2. kata guru hamba kita adalah saudara seagama,segayong
    walau hamba tak pernah rapat atau berbual-bual dengan nik
    hamba pernah satu kursus dengan dia masa asas asas dulu
    pernah tengok dia berbelat bengkung putih 7 calit tu
    hari ini bila hamba baca aku dan gayong
    hamba rasa cukup dekat dihati
    pendekar gayong di kelantan sama ada yang terdahulu atau terkemudian adalah dari susur galur yang sama
    perpecahan sayang
    alangkah kalau dapat bersatu semula
    arwah guru hamba adalah orang yang terbuang
    tapi keaslian gayongnya masih terpelihara
    alfatihah

    • Begitulah loh…Orang Islam ini semuanya bersaudara. Berat sama dipikul, ringan sama dijinjing. Bulat air kerana pembentung, bulat manusia kerana muafakat….Loh sapo guru demo. Insya Allah kita perkenalkan sejarah dan perjuangannya di blog ini. Kita sampaikan sejarah yang tak di dendangkan…. ada masa tel kawe gak 013-992 3535

  3. haaa… sebab tu red belt pusaka hebat2. tengok dia punya ujian! gayong kuantiti banyak.. tapi yg sedih banyak yg kualiti kurang. sepatutnya kita kna takut juga, kerana berbengkong tinggi2, tapi permainan alah pada orang baru. patut kembalikan tahap permainan mcm orang dulu2. merah ni sudah mahir dengan kuncian, pecahan, pukulan , senjata2. apakah tahap merah kita zaman sekarang??? (lagi2 yg berbengkung “up” sket…) ***peringatan untuk diri sendiri juga…huhuuhuhu

    • Samalah dengan tuan yang komen…banyak ilmunya

  4. Bengkung bukan ukuranya…mungkin dia banyak pelajaran maklumlah silibus collector. Tapi persoalan besar ialah kemahiran atau skill individu.

    Jadi nasihat saya kalau dah pakai hitam tu seni belebat atau tangan kosong dah kira tahap yang boleh di banggakan. Senjata pilih satu atau lebih sesuai dengan kemampuan yang betul – betul kita menguasai dengan jiwa, kenal asal usulnya, kenal rajuknya, kenal ragamnya barulah senjata tak makan tuan. Lebih hebat senjata orang senjata kita, senjata kita – senjata kita. W/a

    • Satu pandangan yang bernas.Terima kasih di atas nasihat ini. anak murid pendita mufti memang berisi

  5. Salam,
    Taqwa = Takut kepada ilahi.. Koko orang sekarang kalau jumpa mayat pesakit Aids susah nak buat fardhu kifayah sebab takut penyakit walaupun selalu cakap “Allahu Akbar”

    • kalau semua dah takut kena serah kepada saudara lah ye…baru jadi tok dukun pun pengsan tdpp…huhuhu

      • Boleh tapi den kono studi protokol untuk mandikan orang ada penyakit boleh berjangkit. Ikhtiar untuk mengelak penyakit mesti dilakukan tapi kalau nak kena juga tu dah qadar maka jadila qada’.. Cuma hati ni x sampai redha, asyik pasrah je isy isy.. Inna Lillah..

        • itulah yang sebaiknya…

  6. Cikgu Nan,
    Bilo nak sambung pasal tawakkal lak. Surah Thalaq 2&3 ni orang selalu tampal kek rumah sobab namo eh Ayat Seribu Dinar tapi x sumo orang dapek hayati..

  7. Salam kpd smua ank2x gayong..
    Salam pknln dr aku anak gayong from sandakan,sabah..


    Sent on a phone using T9space.com

  8. Assalamualaikum… tuan abu syakirin,

    saya dulu pernah belajar gayong pusaka di kampung batu 17, guar chempedak, gurun pada tahun 1993/1994… boleh saya tahu, bagaimana boleh menghubungi saudara (cikgu) pak lah bukit besar, kota sarang semut… kalau dapat la, emel kan saya :

    gymkhana.pwd@gmail.com

    terima kasih…


Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

Kategori

%d bloggers like this: