Posted by: abusyakirin | 16 Mei 2010

Menjawab Pertanyaan Tok Dukun Pun Pengsan ( tdpp )

MERAIH KEBERKATAN DENGAN IMAM DAN TAQWA

Pernahkah kita terfikir untuk mendapat rezeki dan kurniaan yang banyak dan mungkin melimpah ruah? Atau sekurang-kurangnya memiliki rasa sangat-sangat mencukupi dengan penuh syukur? Atau mungkinkah sebaliknya iaitu rezeki yang diperolehi sering tidak kecukupan dan tidak memuaskan perluan seharian? Lalu sering membangkitkan rasa tidak senang dan kegelisahan?

Mungkin ada sesuatu yang perlu dilihat dan diperhatikan semula. Ada sudut-sudut yang mungkin perlu diteliti semula. Memuhasabah diri jika ada silap di mana-mana bahagian diri ini. Bagaimana agaknya kedudukan iman dan taqwa kita hari ini, masa ini, dan ketika ini? Apakah berada dalam keadaan yang baik dengan penuh praktikal dan dibina atas kefahaman ilmu yang jitu yang sewajarnya?

Apa kata kita renung-rengungkan semula firman Allah ini (maksudnya),

“Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu disisi Allah ialah orang yang paling taqwa diantara kamu.” (al-Hujuraat, 49: 13)

Pertamanya, dapat dilihat secara zahirnya melalui ayat ini menunjukkan bahawa orang paling mulia dan mendapat tempat di sisi Allah adalah orang-orang yang bertaqwa. Bagaimanakah ketaqwaan kita kepada-Nya setakat hari ini, ketika ini, dan saat ini? Apakah dalam keadaan yang baik atau sebaliknya?

Lihat pula ayat ini (maksudnya),

“Niscaya Allah akan meninggikan orang-orang yang beriman di antaramu dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan beberapa darjat.” (al-Mujadilah, 58: 11)

Ayat ini pula menjelaskan perihal betapa Allah meninggikan darjat orang-orang yang beriman yang memiliki ilmu pengetahuan. Jika mungkin kita memiliki ilmu perkomputeran, computer language programming, kejuruteraan genetic, atau pakar microorganisma (microbilogist), maka Allah akan meletakkan kita tinggi dengan kelebihan berkaitan dengan bidang kepakaran kita dalam kedudukan ilmu tersebut. Namun, apa yang lebih utama adalah kedudukan kefahaman kita terhadap pengertian iman dan juga praktik agama kita dalam setiap penghambaan kita kepada Allah ‘azza wa jalla. Dengan ilmu sains dan teknologi yang begitu hebat, namun tiadanya walau secebis iman di dalam hati, apalah gunanya, kerana kita kehilangan ciri kriteria yang lebih utama bagi menjaga ilmu tersebut sebenarnya. Malah, tidak menepati ciri yang membolehkan ia duduk dalam jajaran orang yang dipandang mulia oleh Allah s.w.t. jika tanpa diletakkan ciri taqwa dan iman. Oleh sebab itulah Allah s.w.t. meletakkan ilmu dan iman dalam jajaran ayat yang sama sebagai renungan kepada kita semua yang mendakwa memiliki ilmu dan betapa keutamaan iman itu sendiri yang perlu kepada iringan ilmu kefahaman. Masing-masing ciri tersebut saling memandu pemiliknya…

Pembinaan iman mestilah dengan ilmu. Tanpa ilmu, dapatkah iman terhasil? Tanpa iman pula, apalah gunanya ilmu? Kerana dengan ilmu, ia membolehkan kita melihat bukti dan tanda kekuasan-Nya dari pelbagai sudut, lalu mampu membuahkan iman yang baik dengan izin rahmat dan hidayah petunjuk-Nya. Dengan ilmu juga berupaya membuahkan kefahaman, lantas mampu membawa diri kita beramal dengan sahih.

Berbalik kepada topik, sedar atau tidakkah kita… iman dan taqwa sebenarnya saling mengait di antara satu sama lain bagi meraih, menuai, dan mencapai keberkahan serta kenikmatan hidup bagi kita semua. Dengan iman dan taqwa, Allah menjanjikan pelbagai ganjaran buat kita. Malah, bukan itu sahaja, tetapi pelbagai lagi akan dimudahkan untuk diberikan kepada kita sebagai kurniaan dan kenikmatan yang membuah rasa kecukupan dengan izin-Nya.

“Barangsiapa bertaqwa kepada Allah niscaya Dia akan mengadakan baginya jalan keluar. Dan memberinya rezeki dari arah yang tiada disangka-sangkanya. Dan barangsiapa yang bertawakkal kepada Allah niscaya Allah akan mencukupkan (keperluan)nya. Sesungguhnya Allah melaksanakan urusan yang (dikehendaki)Nya. Sesungguhnya Allah telah mengadakan ketentuan bagi tiap-tiap sesuatu.” (ath-Thalaq, 65: 2-3)

Namun, ingin disentuh sedikit berkenaan fenomena aneh lagi pelik sekitar penyalah-gunaan ayat ini dari kalangan kebanyakan masyarakat kita hari ini. Mereka menggunakan ayat dari surah ath-Thalaq ini sebagai tangkal dan pelaris di kedai-kedai, gerai-gerai, rumah-rumah, dan restoran-restoran mereka bagi tujuan meraih rahmat dan kemurahan rezeki. Walhal, jika diteliti dan difahami dengan sempurna akan maksud ayat tersebut ianya sangatlah jelas menunjukkan Allah akan memberikan rezeki sekiranya mereka bertaqwa. Dan bukanlah sebagaimana yang mereka lakukan iaitu dengan menjadikannya sebagai tangkal dan meinggalkan keutamaan terhadap usaha memahami ayat tersebut.

Namun, sungguh mendukacitakan kita, bukan itu yang mereka laksanakan, bahkan mereka menggunakan ayat tersebut dengan cara yang menuju ke arah yang menyesatkan dan menjerumuskan diri mereka ke arah kancah kesyirikan. Iaitu dengan menggunakan ayat tersebut sebagai tangkal, pelaris, dan mungkin juga sebagai perhiasan semata-mata. Entah dari mana agaknya panduan dan kaedah yang begitu sempit ini mereka perolehi. Bagaimana pula dengan dalil dan sumber rujukannya? Apakah mereka beramal dengan ilmu atau sekadar mengikut kehendak hawa nafsu semata-mata?

Kepada yang bertanya, ayat tersebut adalah sebagaimana di atas bermula dari penghujung ayat kedua dan sehingga habis ayat ketiga surah ath-Thalaq. Sebenarnya tidak juga terhad kepada ayat itu yang saya maksudkan, kerana ada juga dari kalangan mereka yang menggunakan ayat al-Kursi untuk digantung bagi mencapai maksud mereka. Namun, hanya saja ayat dari surah ath-Thalaq ini yang mana mereka gelarkan sebagai “Ayat Seribu Dinar” cukup mendapat tempat bagi tujuan dan maksud mereka.

Ayat ini sering disalah guna oleh pelbagai pihak dengan tujuan semoga perniagaan dan jualan yang mereka jalankan sentiasa beroleh keuntungan dan jauh dari kerugian. Kaedah yang mereka gunakan adalah dengan menggantungkannya di sebahagian tempat-tempat tertentu dari bahagian kedai atau restoran-restoran mereka. Malah ada sebahagiannya yang sanggup berhabis ratusan ringgit bagi mendapatkan struktur ayat yang lengkap dengan frame dan seni tulisan tertentu.

Walhal, apa yang sebenarnya mereka lakukan itu adalah suatu perbuatan yang menyalahi sama sekali tujuan penurunan al-Qur’an kepada kita. Dalam banyak tempat, Allah menyatakan bahawa al-Qur’an itu adalah sebagai huda (petunjuk), al-Furqon (pemberi peringatan), penjelas (mubin), busyro (berita gembira) dan juga rahmat? (Rujuk: Pengantar Studi Ilmu al-Qur’an, m/s. 19-23) Bukannya sebagai penangkal dan pelaris. Jika benar perbuatan itu adalah suatu yang haqq, maka bawakan contohnya (bukti/penjelasan) dari Rasulullah s.a.w. dan sahabat-sahabat beliau yang memperlakukan hal seperti itu.

Tidakkah mereka memahami maksud ayat yang mereka ambil tersebut? Ia tidak lain adalah ditujukan kepada orang yang bertaqwa atau yang hendak bertaqwa. Bukan mereka yang cuba berlaku syirik dengan percaya kepada karut-marut dan tangkal-tangkalan. Manakala penisbahan kalimat “Ayat Seribu Dinar” ke atas ayat tersebut itu sendiri, entah dari mana datangnya. Kalau ada rujukan hadisnya, nak tahu juga saya.

Berikut saya utarakan beberapa hadis yang melarang keras mereka yang cuba bermain dengan tangkal dan azimat. Tidak kira sama ada tangkal itu dijadikan daripada al-Qur’an atau pun bukan al-Qur’an ianya tetap bernama tangkal dan tetap haram dan syirik menurut maksudnya.

“Sesungguhnya jampi mentera (tamaim), tangkal dan guna-guna itu perbuatan yang syirik”. (H/R Ibn Majah (3521) at-Tibb. Ahmad (3433) Musnad. Abu Daud (3385) at-Tibb)

“Sesiapa yang memakai (mengantung) tangkal, maka ia telah melakukan kesyirikan”. (H/R Turmizi (1998) at-Tibb. Nasaii (4011) Tahrimul ad-Dam)

“Sesiapa yang memakai (bergantung kepada) sesuatu (tangkal, azimat pendinding) maka dia telah bertawakkal dengannya. Allah akan menyerahkan urusannya kepada sesuatu itu”. (H/R Turmizi dan al-Hakim)

“Barangsiapa yang memakai sesuatu (tangkal, azimat atau pendinding) maka ia telah mewalikan atau bertawakal kepadanya”. (H/R Ahmad (18035) Musnad al-Kufiyyin)

“Dari Isa bin Abdulrahman berkata: Kami melawat Abdullah bin ‘Ukaim dan dia sedang sakit maka dikatakan kepadanya: (Ada baiknya) jika engkau memakai sesuatu (tangkal). Maka beliau berkata: Apakah aku akan memakai sesuatu (tangkal) sedangkan Rasulullah saw telah bersabda : Sesiapa yang telah memakai sesuatu (dari jenis tangkal) maka dia telah bertawakkal kepadanya”. (H/R Ahmad (18030) Musnad. Turmizi (1998) at-Tibb)

“Sesiapa yang menggantung (memakai) tangkal maka ia telah melakukan kesyirikan.” (H/R Ahmad (16781) Musnad)

Islam telah mengharamkan setiap mukmin menyeru selain Allah untuk meminta pertolongan yang melibatkan perkara-perkara yang ghaib. Begitu juga Islam mengharamkan para mukmin dari menggunakan tangkal, azimat, pendinding atau yang seumpamanya kerana benda-benda tersebut tidak akan memberi faedah atau sebarang kesan kepada penggunanya sebagaimana penjelasan Allah Subhanahu wa Ta’ala melalui firman-Nya:

“Katakanlah! Serulah mereka yang kamu anggap (sebagai pelindung) selain Allah mereka tidak memiliki (kekuasaan) seberat zarrah di langit dan di bumi dan mereka tidak memiliki suatu saham pun dalam (urusan) langit dan bumi dan sekali-kali tidak ada di antara mereka yang menjadi pembantu bagi-Nya”. (Saba’, 34: 22)

Sekiranya Allah Subhanahu wa Ta’ala menurunkan bahaya, kemudaratan dan bala ke atas mereka yang memakai tangkal, azimat atau pendinding, mereka tidak akan dapat menjadikan benda-benda tersebut sebagai pelindung sebagaimana yang mereka sangkakan.

Firman Allah:

“Jika Allah menimpakan sesuatu kemudaratan kepada kamu, maka tiada yang berkuasa menghilangkannya melainkan Allah dan jika Dia mendatangkan kebaikan kepada kamu, maka Dia Maha Kuasa di atas sesuatu”. (al-An’am, 6: 17)

Kesimpulan:

1 – Beramal-lah dengan ayat-ayat al-Qur’an dengan cara yang betul, dengan ilmu, membaca, dan berusaha memahami serta mempelajarinya.

2 – Apa yang disarankan melalui ayat surah ath-Thalaq, 65: 2-3 itu sendiri meminta kita untuk bertaqwa dan Allah akan memberi ganjaran rezeki dari jalan yang tidak disangka-sangka serta akan membantu mereka yang bertaqwa dengan mencukupkan keperluannya.

3 – Ayat al-Qur’an bukan bahan untuk dijadikan sebagai tangkal dan alat pelaris. Malah perbuatan mempercayai tangkal itu sendiri termasuk ke dalam hal yang syirik dan berdosa besar.

4 – Langkah terbaik untuk meminta pertolongan adalah dengan cara berdoa kepada Allah Subhanahu wa Ta’ala yang Maha Pemurah, Maha Penyayang, dan Maha Pemberi Rezeki. (Rujuk al-A’raaf: 180, az-Dzariyat: 58, dan al-Baqarah: 186) Di samping sentiasa berusaha menggandakan usaha dan mempelbagaikan strategi pemasaran/perniagaan yang betul.

Terlepas Pandang

Mungkinkah mereka lupa atau terlepas pandang perihal peringatan Allah yang menyatakan bahawa al-Qur’an itu adalah sebagai huda (petunjuk), al-Furqon (pemberi peringatan), penjelas (mubin), busyro (berita gembira) dan juga rahmat? (Rujuk: Pengantar Studi Ilmu al-Qur’an, m/s. 19-23) Bukannya sebagai penangkal dengan cara yang sangat-sangat dangkal sepertinya itu!

Seterusnya, pernahkah kita mendengar kisah perihal negeri Saba’ yang begitu aman, makmur, dan penuh dengan rezeki yang melimpah ruah? Hal tersebut adalah antanranya disebabkan oleh para penduduknya yang sentiasa bertaqwa dan beramal soleh.

“Sesungguhnya bagi kaum Saba’ ada tanda (kekuasaan Tuhan) di tempat kediaman mereka iaitu dua buah kebun di sebelah kanan dan di sebelah kiri. (kepada mereka dikatakan): “Makanlah olehmu dari rezeki yang (dianugerahkan) Tuhanmu dan bersyukurlah kamu kepada-Nya. (Negerimu) adalah negeri yang baik dan (Tuhanmu) adalah Tuhan Yang Maha Pengampun.” (Saba’, 34: 15)

Namun, akhirnya tetap Allah hancurkan dan menarik semula keberkahan yang dikecapi mereka atas sebab keingkaran dan kekafiran yang berlaku.

“Tetapi mereka berpaling, maka Kami datangkan kepada mereka banjir yang besar dan Kami ganti kedua kebun mereka dengan dua kebun yang ditumbuhi (pohon-pohon) yang berbuah pahit, pohon Atsl (cemara) dan sedikit dari pohon Sidr.” (Saba’ 34: 16)

Begitulah Allah menggambarkan kepada kita perihal orang yang berpaling dari kebenaran, meninggalkan sikap taqwa, dan iman.

Malah, hal ini juga dijelaskan dalam ayat-ayat-Nya yang lain sebagaimana berikut (maksudnya),

“Dan sekiranya mereka sungguh-sungguh menjalankan (hukum) Taurat dan Injil dan (Al-Quran) yang diturunkan kepada mereka dari Tuhannya, niscaya mereka akan mendapat makanan dari atas dan dari bawah kaki mereka. Di antara mereka ada golongan yang pertengahan. Dan alangkah buruknya apa yang dikerjakan oleh kebanyakan mereka.” (al-Ma’idah, 5: 66)

Menurut Sheikh Abdur Rahman as-Sa’di, “Sekiranya mereka melaksanakan perintah-perintah Allah, menjauhi larangan-larangan-Nya, seperti yang dianjurkan dan diperintahkan oleh Allah, dan termasuk perlaksanaannya adalah beriman kepada apa yang diserukan oleh Taurat dan Injil untuk beriman kepada Muhammad s.a.w. dan kepada al-Qur’an, niscaya mereka akan mendapat makanan dari atas mereka dan dari bawah kaki mereka. Yakni, Allah akan melimpahkan rezeki kepada mereka, langit dijadikan menurunkan hujan, bumi pula menumbuhkan tanaman.” (Rujuk: Tafsir as-Sa’di, jil. 2, m/s. 378-379) Hal ini juga adalah sebagaimana yang dijelaskan dalam ayat yang lain dari surah al-A’raaf, 7: 96 sebagaimana berikut:

“Jikalau sekiranya penduduk negeri-negeri beriman dan bertaqwa, pastilah Kami akan melimpahkan kepada mereka berkah dari langit dan bumi.”

Melalui ayat ini dapat kita perhatikan juga bahawasanya iman dan taqwa itu adalah salah satu kriteria dan keutamaan untuk Allah menurunkan berkah, rezeki dan kenikmatan bagi satu-satu penduduk kawasan tertentu. Sebelum itu, saya nukilkan dari imam an-Nawawi berkenaan maksud keberkahan yang mana menurutnya, “Asal makna keberkahan, ialah kebaikan yang banyak dan berpanjangan.” (Syarh Shahih Muslim, oleh an-Nawawi, 1/225. Dinukil dari Majalah as-Sunnah, Kolum Baituna, m/s. 1)

Menurut Ibnu Katsir rahimahullah di dalam tafsirnya sekitar ayat ini, katanya:

“Allah memberitahukan tipisnya keimanan penduduk yang kepada mereka diutus para Rasul. Di antaranya seperti firman-Nya, “Dan mengapa tidak ada (penduduk) suatu kota yang beriman, lalu imannya itu bermanfaat bagi mereka, selain kaum Yunus. Tatkala mereka (kaum Yunus itu) beriman, Kami hilangkan dari mereka azab yang menghinakan dalam kehidupan dunia, dan Kami beri kesenangan kepada mereka sehingga pada waktu yang tertentu.” (Yunus, 10: 98)

Yakni, tidak ada suatu negeri yang beriman seluruh penduduknya, kecuali kaum Yunus. Keimanan yang merata itu terjadi ketika mereka melihat azab dengan mata kepala mereka, sebagaimana firman-Nya, “Dan Kami utus dia (Yunus) kepada seratus ribu orang atau lebih. Lalu mereka beriman, kerana itu Kami anugerahkan kenikmatan hidup kepada mereka hingga waktu yang tertentu.” (ash-Shaffat: 147-148)

Dan firman-Nya di surah Saba’ pun, menunjukkan betapa tipisnya iman suatu negeri yang kepada mereka diutus para Rasul. Allah berfirman, “Dan Kami tidak mengutus kepada suatu negeri, seorang pemberi peringatan pun, melainkan orang-orang yang hidup mewah di negeri itu berkata: “Sesungguhnya kami mengingkari apa yang kamu diutus untuk menyampaikannya”.” (Saba’, 34: 34)

Firman-Nya, “Jikalau sekiranya penduduk negeri-negeri beriman dan bertaqwa.” Yakni, hati mereka beriman kepada ajaran yang dibawa oleh para Rasul, membenarkannya dan mengikutinya, serta bertaqwa dengan melaksanakan ketaatan dan meninggalkan perkara yang diharamkan, “Pastilah Kami akan melimpahkan kepada mereka berkah dari langit dan bumi.” Yakni, hujan dari langit dan tumbuhan dari bumi. Allah berfirman, “Tetapi mereka mendustakan, maka Kami siksa mereka disebabkan perbuatannya.” Yakni, tetapi mereka mendustakan Rasul-Rasul Kami, maka Kami hukum mereka dengan kebinasaan akibat perbuatan dosa dan perbuatan haram yang mereka lakukan. (Rujuk: Shahih Tafsir Ibnu Katsir, Jil. 3, 635-636) Kemudian Allah berfirman, untuk mengancam dan memperingatkan siapa saja yang menyelisihi perintah-Nya dan berani melanggar larangan-Nya pada ayat-ayat yang seterusnya dari ayat 97-99, surah al-A’raaf ini.

Kisah keberkahan yang menakjubkan pada zaman keemasan umat Islam juga pernah diungkapkan oleh imam Ibnul Qayyim rahimahullah: “Sungguh, biji-bijian dahulu, sama ada gandum mahupun yang lainnya adalah lebih besar berbanding dengan yang ada sekarang, sebagaimana keberkahan yang ada padanya biji-bijian ketika itu lebih banyak. Imam Ahmad telah meriwayatkan melalui jalur sanadnya, bahawa telah ditemukan di gudang sebahagian kekhilafan Bani Umawi sekantung gandum yang biji-bijinya sebesar kurma, dan bertuliskan pada kantung luarnya: “Ini adalah gandum hasil penuaian pada zaman keadilan ditegakkan”.” (Rujuk: Za’dul Ma’ad, 4/363, dan Musnad Ahmad, 2/296. Dinukil dari Majalah as-Sunnah, Kolum Baituna, m/s. 2)

Dapat kita singkap dari beberapa situasi di atas bahawasanya betapa iman dan taqwa itu sangat-sangat mempengaruhi akan perihal turunnya keberkahan, kesenangan, dan kenikmatan kepada kita semua.

Maka, apakah kita masih tidak mahu lagi untuk kembali melakukan amalan-amalan taqwa dan keimanan? Apakah sebahagian kelompok yang di luar sana masih berasa senang dengan keadaan mereka masing-masing yang meninggalkan aspek taqwa, iman dan kefahaman yang sewajarnya dalam menjalani kehidupan seharian?

wallahualam..
AlFaqir Ila Afwi Rabbihi
AbuSyakirin

__________________________________________________________________________

© KHALIFAHGAYONG.COM (AKU DAN GAYONG)

Hak cipta terpelihara. Setiap artikel yang tersiar di Khalifahgayong.com dihasilkan untuk tujuan pendidikan dan bersifat non-komersil. Pembaca bebas menyalin dan menyebarkan artikel yang terdapat di sini, namun alamat Khalifahgayong.com hendaklah disertakan bersama untuk memudahkan proses rujukan. Manakala untuk penerbitan semula dan berorientasikan komersil, setiap bahagian daripada artikel ini tidak boleh diterbitkan semula, disimpan untuk pengeluaran atau dipindahkan dalam bentuk lain, sama ada dengan cara bercetak, elektronik, mekanikal, fotokopi, rakaman dan sebagainya, tanpa izin KHALIFAHGAYONG.COM terlebih dahulu.

“Aku Dan Gayong”

http://www.khalifahgayong.wordpress.com


Responses

  1. Kita dituntut supaya berdoa,berikhtiar dan bertawakal.Perajurit memakai baju besi dan ketopong untuk melindungi diri dari senjata musuh. Kita berpakaian untuk melindungi badan dari sejuk atau panas. Kita bersepatu supaya kaki kita tidak luka jika terpijak duri atau batu tajam. Kita memakai payung supaya tidak basah jika kehujanan.Bukan bererti kita percaya baju besi, pakaian dan sepatu itu berkuasa.Itu semua hanyalah ikhtiar kita.Setelah kita berikhtiar dan bertawakal,baru kita pasrah kepada ALLAH SWT.

    • setuju sangat dengan pendapat Abg Ismail… semua benda adalah majazi yang Haq adalah Allah s.w.t

  2. Assalamualaikum
    Terima kasih kerana sambung fasal taqwa dengan tawakkal. (Yang lain tu memang sensitip la ek??)

    • Assalamualaikum
      oop x leh padam yang dalam kurungan..
      Ayat seribu dinar ni ado dongeng nyo tapi yang penting nya ialah mesej dari Nya..
      Baco kek sini ajo dan bergantung kepado apo kito ni.. Apo niat eh.. wakaka

      dan
      http://darulsaka.blogspot.com/2009/08/mengenal-jin-islam-atau-tidak.html

  3. dengan nama ALLAH yang maha berkasih sayang. kesejahteraan buat seluruh alam serta segala puji-pujiaan bagi ALLAH seru sekalian alam.
    tahniah pujian kasih sayang untuk khalifah gayong semoga kesejahteran bersama saudara serta angkatan saudara.bersiap-siaga kerana ALLAH.


Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

Kategori

%d bloggers like this: