Posted by: abusyakirin | 28 Mei 2010

Persilatan dan Sejarahnya

SILAT – Asal & Usulnya

Silat adalah khazanah warisan budaya Malaysia. Ia merupakan seni beladiri Melayu yang sudah bertapak di rantau Nusantara ini sejak kurun ke-4 iaitu kerajaan Jambi di Sumatra.

Beladiri itu mulanya berasal dari istana yang mana ilmu itu memenuhi dada Raja dan pengikut-pengikut baginda dalam penghijrahan dan mewujudkan pemerintahan.

Sehubungan itu wujud kerajaan-kerajaan Melayu antaranya Langkasuka, Pura, Pasai, Acheh, Champa, Majapahit, Temasik dan Melaka. Diperakui kini, kerajaan Melayu asal meliputi Selatan Thailand iaitu Fatani, Kemboja, Filipina, Brunei, Malaysia, Indonesia dan Singapura.

Di Malaysia, catatan bertulis dalam sejarah silat bermula zaman Paramesrawa pada kurun ke-12 sebelum membuka kerajaan Melaka. Disusuli cerita kehebatan Sultan Melaka, Sultan Alauddin Riayat Shah menangkap pencuri-pencuri ketika rondaan waktu malam di kota Melaka.

Kisah lima hulubalang Melayu Melaka iaitu Hang Tuah, Hang Jebat, Hang Kasturi, Hang Lekir dan Hang Lekiu dari episod awal remaja menentang lanun, orang amuk, kemudian menuntut ilmu di Gunung Ledang hingga Hang Tuah menjadi Laksamana Melaka menggambarkan perjalanan penjurit-penjurit Melayu dalam dunia persilatan.

Suntikan dari ilmu persilatan turut dapat dilihat apabila pahlawan-pahlawan Melayu tidak gentar menentang Portugis yang bersenjatakan meriam dan senjata api. Tentera Eropah itu pernah ditewaskan dalam percubaan pertama menakluk Melaka pada tahun 1509 sebelum berjaya dua tahun kemudian dengan jumlah armanda seganda iaitu hampir 20 buah kapal.

Dalam Perang Dunia Kedua, ketika Jepun menakluk Tanah Melayu, pendekar-pendekar Melayu turut mempertahankan daerah dan kampung-kampung mereka. Apabila tentera komunis atau dikenali Bintang Tiga memerintah selepas pengunduran Jepun, pahlawan-pahlawan  Melayu bangkit untuk menentang tentera itu yang bersikap tidak  berperikemanusiaan.

Pahlawan-pahlawan yang tersohor menentang penjajah Inggeris dengan ilmu persilatan antaranya adalah seperti Datuk Dol Said, Datuk Bahaman, Tok Gajah, Mat Kilau, Mat Lela dan Tok Janggut. Manakala tentera Jepun dan komunis pula Lt Adnan, Kiyai Salleh dan Pak Hamid Jah.

Perkembangan silat di luar istana sudah lama berlaku dan kisah Hang Tuah bersama teman-temannya berguru di Gunung Ledang menjadi bukti.  Penaklukan dan pencerobohan penjajah turut menyumbang ilmu beladiri Melayu keluar dari istana dan aktif dengan penduduk-penduduk kampung.

Silat terus dipelihara seperti di negara Indonesia, Brunei dan Singapura selain Malaysia dan dikembangkan ke luar negara terutama melalui sukan tempur iaitu silat olahraga.

Di Malaysia, silat bukan sahaja berkembang di sekolah-sekolah dan di pengajian tinggi kerana sudah terdapat perguruan-perguruan tertentu turut mengembangkan ilmu mereka hampir semua pelusuk dunia sepertimana beladiri-beladiri lain yang sudah terkenal.

Disiplin beladiri itu seperti adab hormat-menghormati, penggunaan akal, tenang, sabar, pergerakan fizikal yang berstruktur dan sebagainya telah dikenalpasti satu riadah yang baik untuk kesihatan dan menjalinkan hubungan rakyat tanpa kira kaum dan agama.

SILAT – Beladiri & Falsafah

Silat menjadi sebutan rasmi kepada beladiri Melayu. Sebelum itu di kepulauan Jawa, ia lebih dikenali dengan “Pencak”. Ada juga orang Melayu Bugis, Acheh dan Fatani menyebut Gayung.

Umum yang tidak tahu mengenai dunia beladiri atau masih berstatus hijau atau belum masak, akan berkata, silat seperti beladiri lain. Ia seni mempertahankan diri.

Namun bagi yang sudah masak akan berkata silat atau mana-mana beladiri hanya nampak sama tetapi tetap tidak serupa. Ada beladiri mengakui konsep mereka mempertahankan diri kerana tidak menyerang. Mereka menanti. Berbeza dengan silat atau sikap Melayu bila hendak diserang, mereka boleh bertahan dan menyerang sekali gus atau menyerang dalam bertahan.

Falsafah silat tersembunyi dalam sebutan “silat” iaitu elak dan elat (ilat) atau dalam mengelak – mengilat.  Dalam latihan, silat dilihat sepertimana beladiri lain menggunakan mental dan fizikal tetapi pada hakikatnya ia tetap berbeza dalam penyampaian dan pengisian mengikut budaya adab.

Hasilnya silat atau perguruan juga dicerita lisan dengan pelbagai hasil:

1.    Silat sendiri diceritakan secara lisan dari orang yang pandai mengilat ketika  diserang,

2.    Hasil pergerakan tangan seorang imam mengambil air sembahyang (wuduk)  di telaga,

3.    Seorang wanita melihat dua binatang (monyet melawan harimau),

4.    Menggayakan pergerakan binatang-binatang tertentu seperti harimau,

5. Pergerakan-pergerakan mengepung dan membunuh harimau yang  mengganas di kampung,

6.    Hasil dari persembahan atau teater,

7.    Menggabungkan menjadi satu perguruan-perguruan yang telah dituntut.

SILAT – Pakaian & Senjata

Pakaian Silat adalah longgar untuk mudah bergerak. Dalam sejarah peperangan, orang-orang istana memakai sebegitu dan ada juga baju rantai untuk elak panahan, memakai sangga rotan di pergelanggan tangan dan bengkung di perut untuk tegap badan dan juga untuk menahan dan mengalih tikaman senjata tajam. Kesimpulannya, pakaian perlu sesuai dengan tujuan dan matlamat.

Dalam latihan, pakaian perlu lengkap menutup badan atau aurat jika lelaki bercampur dengan wanita.

Ikut sejarah lisan dan bertulis, orang-orang istana dalam bertempur menggunakan senjata-senjata tertentu seperti antaranya keris, sundang, lembing, badik dan tumbuk lada. Keris menjadi senjata utama.

Kerana itu, pakaian perlu sesuai dengan ‘kehadiran’ senjata-senjata berkenaan supaya ia boleh diselit di bahagian-bahagian tertentu badan serta tidak menghalang pergerakan bila bersenjata.

Ada juga menggunakan senjata-senjata rahsia seperti lawi ayam, kerambit dan anak badik yang disembunyikan dalam ikatan pakaian.

Namun sekarang, parang, kapak, buluh dan pelbagai lagi peralatan tertentu telah dijadikan senjata dalam beladiri.

Pakaian dalam persembahan adalah mengikut perguruan dan kesesuaian majlis. Kerana penampilan ‘pertarungan’ hulubalang yang hendak dipersembahkan, pakaian yang menampakkan ciri-ciri orang istana dizahirkan seperti bersetanjak, baju layang, bersamping dan keris.

Apa jua, penampilan pakaian guru atau orang silat yang dijemput hadir dalam majlis tertentu, bentuk rupa (fesyen) atau potongannya berbaju Cekak Musang dan Teluk Belanga. Warnya hitam.

Potongan dan warna ini bagai pemakaian rasmi silat kerana dipakai oleh majoriti perguruan. Secara tidak langsung, ia juga dipakai oleh pesilat-pesilat beriadah iaitu dalam latihan dan bersukan. Ada juga perguruan mempunyai potongan pakaian yang berbeza serta senjatanya.

SILAT – langkah & tari

Ilmu silat pada zaman dahulunya sangat dirahsiakan. Sepertimana dikatakan dan diketahui, ia berasal dari istana dan ilmu itu hanya untuk orang-orang istana untuk mempertahankan kota mereka atau mengembangkan jajahan.

Tidak semua orang boleh diajar terutama luar kota yang mungkin pengintip atau bakal pembelot. Malah tiada siapa mengenal atau ‘menampakkan’ guru silat yang dahulunya digelar Pendita.

Dalam Hikayat Hang Tuah, dicatatkan untuk menjadi penjurit istana seseorang itu terlebih dahulu perlu menuntut ilmu. Hang Tuah dan empat sahabatnya Hang Jebat, Hang Kasturi, Hang Lekiu dan Hang Lekir terpaksa memanjat Gunung Ledang untuk berguru dengan Pendita Adi Putra.

Seterusnya mendapat perkenan bekerja dalam istana sesudah Hang Tuah dapat membunuh seorang amuk yang cuba membunuh Tun Bendahara. Atas keberanian itu, Tun Bendahara telah membawa Hang Tuah mengadap Sultan Melaka sebelum diperkenan sebagai hulubalang negeri itu.

Hang Tuah tidak belajar begitu lama dengan Pendita Adi Putra, namun selain membunuh orang amuk itu, Datuk Laksamana itu juga berjaya menumpaskan pahlawan-pahlawan Jawa sebelum membunuh Taming Sari di Majapahit. Juga membunuh pahlawan-pahlawan Jepun di Siam.

Apa yang boleh dijadikan sandaran ‘langkah’ orang istana dalam persilatan zaman dahulu adalah ia berpaksi kepada budaya adab sepertimana tidak mengangkat kaki, memberi punggung dan senjata berlaga bila mengadakan persembahan depan Raja Melayu. Mengangkat sedikit kaki dibenarkan depan pembesar-pembesar istana manakala pergerakan bebas bila penontonnya khalayak ramai.

Ertinya silat untuk dimahirkan perlu berguru dan seterusnya mengenal dan mengamal adab budaya Melayu yang mana ia tidak bercanggah dengan agama Islam.

Jika dulu, silat itu ilmu rahsia, hanya diajar kepada keturunan dan orang-orang tertentu sahaja. Kini, silat melalui perguruan termasuk bergerak mengikut syarat-peraturan persatuan telah membuka pintu.

Setiap perguruan ada logo dan Sembah Perguruan tersendiri. Begitu juga dengan  sukatan pelajaran mereka yang mana ada berlangkah dan ada tidak berlangkah. Ada bertari dan ada yang tidak bertari.

Apa yang pasti, silat menyampaikan rahsia ilmu mengenai akal dan jati diri dalam membentuk jiwa berperanan dan bertanggungjawab sebagai Pendekar Negara.

Rujukan:

1. Sejarah Melayu,

2. Hikayat Hang Tuah,

3. Malacca Towards New Horizon,

4. Perkembangan Dunia Islam – Dr Hamka,

5. YDH Dato Sri Wan Haji Abdul Wahid Wan Haji Hassan,

6. Wan Yahaya Abdullah,

7. majalah PENDEKAR,

8. majalah SENI BELADIRI dan

9. petikan Pencak & Silat: Sultan Zainol Abidin (Arkib Negara).

___________________________________________________________________________________

© KHALIFAHGAYONG.COM (AKU DAN GAYONG)

Hak cipta terpelihara. Setiap artikel yang tersiar di Khalifahgayong.com dihasilkan untuk tujuan pendidikan dan bersifat non-komersil. Pembaca bebas menyalin dan menyebarkan artikel yang terdapat di sini, namun alamat Khalifahgayong.com hendaklah disertakan bersama untuk memudahkan proses rujukan. Manakala untuk penerbitan semula dan berorientasikan komersil, setiap bahagian daripada artikel ini tidak boleh diterbitkan semula, disimpan untuk pengeluaran atau dipindahkan dalam bentuk lain, sama ada dengan cara bercetak, elektronik, mekanikal, fotokopi, rakaman dan sebagainya, tanpa izin KHALIFAHGAYONG.COM terlebih dahulu.

“Aku Dan Gayong”

http://www.khalifahgayong.wordpress.com


Responses

  1. Assalam….Cikgu,
    Menarik sekali…..satu saya nak tambah….dalam ‘langkahan’ istana tu….dikatakan juga, tari itu dalam tngn terbuka, tidak boleh di kepal…..kerana genggaman itu kurang sopan adabnya dan tanda ‘menjual’…….

    maaf kerana ‘menambah’….. W.A

    • Wmslm..Pendekar PedangSakti,

      Akhirnya Pendekar sendiri yang menyampaikan rahsia dan adab tari tangan terbuka. Beginilah yang saya harapkan perkongsian Maklumat. Semoga dengan kemunculan Pendekar PedangSakti akan menambah seri lagi Dunia Blog Aku Dan Gayong ini…

  2. salam abu syakirin berkmbang dan tersebar sejak zaman Nusantara satu(srivijaya) lagi yang berpusat di bukit siguntang dan jambi sumatera…dipercayai disebar oleh seorang sami melayu bernama budhi dharma sehingga ke jepun dan china, kmudia majapahit mengambil alih…banyak budaya terutama budaya kelantan yang dikatakan berasal dari jawa dan sumatra, dari batik ,wayang, cerita rakyat dan lain-lain termasuk bahasa kelantan yang 95 peratus menyerupai bahasa melayu palembang sumatra yang dpercayai juga peninggalan tentera srivijaya.

    • Wmslm..
      Terima kasih di atas perkongsian maklumat. Inilah seronoknya bila bersahabat.yang kurang pakat2 tolong. Bulat air kerana pembentung..kuat manusia kerana muafakat

  3. salam..wah….menarik sungguh topik kali ni.. hurm…perkataan silat mempunyai maksud2 tertentu..klu di susun mengikut huruf jawi sin-silaturrahim,ya-yakin,lam-lembut,dan ta-tawaduk, silat ada elat dan ilat,memang mudah mencari elat..tapi payah mencari ilat,ilat permainannya amat sukar untuk dikesan,kerana setiap permanan ilat mengunakan kemahiran,akal yang tinggi dan bijak,lazimnya ilat permainan yang tersembunyi..elat dan ilat lazimnya mencari silap dan sumbang musuh dalam melangkah,menyampaikan buah dan melancarkan serangan,mahupun kuncian,junsteru, dalam bersilat,elat dan ilat selalu beriringan..

    sejarah melayu banyak menceritakan tentang orang melayu yang bersilat,dan orang-orang tua yang sudah lama bersilat banyak menceritakan erti silat dan mengapa melayu bersilat..pelbagai versi dan cerita yang didengar..namun walau apa pun,ia tetap warisan kita.hak kita.

    tari silat amat penting,sebab itu menunjukkan bahwa silat adalah permainan yang beradab,permainan yang merendah diri,ada nama2 tertentu dalam tari silat,seperti helang berlegar,lenggang janda,cacak racik,naga berlabun, rimau sulung dan sebagainya, setiap tari silat ada senjatanya..terpulang pada penari..bagaimana unutk menyampaikan senjata tersebut.. wallahualam..ana hanya ingin berkongsi sedkit ilmu yang ada…kalau salah tolong tegur…

  4. Dari cerita guru – guru tua, asalnya dulu bersilat bermula dari main senjata. Dari mainan senjata di kupas baru tangan kosong.

    Kalau dulu bersilat menggunakan senjata itu biasa, tapi kalau tangan kosong itu mainan pendekar. Kalau mahir selok belok hutan dan daratan itu pegangan panglima. Tapi kalau mahir selok belok lautan dan daratan itu pegangan Laksamana.

    Zaman beralih…apabila senjata diharamkan penjajah. Silat berubah corak dari senjata tukar ke tangan kosong akhir sekali baru bersenjata.

    Mula – mula senjata mainannya simbat pendek mengantikan parang,golok, pedang dan seumpamanya. Tongkat panjang pula mainan gantian untuk serampang, tombak, lembing dan segala senjata yang seumpama denganya.

    Begitulah hal nasib silat..belum lagi masuk seni beladiri asing TKD, Karate dan sebagainya.

  5. wan kancil@ mmg benar kata awak, saya pernah lihat semasa bumur 6 tahun-7tahun satu perguruan silat di kampong saya, bermula permainan tongkat-tongkat, tongkat- pedang, kmudian tongkat dkerat sikit demi sedikit sampailah cuma sejengkal untuk hadapi serangan tongkat, pedang, kelewang dan lainnya, kmudian hanya tinggal tangan kosong untuk hadapi senjata.

    • “orang yang bersenjata panjang adalah cetek permainannya”,

  6. Lari tajuk sikit. Cuba lawat blog ini, baru diterbitkan jan 2010:

    http://alamjin-tuankelarias.blogspot.com

    Cerita alam mistik, gambar hang tuah etc

    Apa komen tuan-tuan?

  7. dari sepanjang senjata sampai dbuang, sehebat gerak sampai lah diam, pernah mengungkap sang arif bahwa tahap tertinggi persilatan ialah yang tak punya gerak zahir yang tinggal gerak zikir berterusan dan tawakkal pada ilahi.

  8. para sohabat…
    ada yang tahu tak
    lokasi tepat nya
    bukit siguntang dan gunung mahameru itu
    atau hanya sekedar nama
    penyedap kata
    penghias bicara

  9. Kedua – duanya di Sumatera..di daerah Palembang.

  10. sekarang masih di panggil dengan nama itu ke saudara wan kancil

  11. rasanya masih lagi. Daerah sumatera ni sumbu Melayu sungainya Sungai Melayu, pekannya Pekan Melayu, bahasanya Bahasa Melayu.

    Cuba google kut adalah.

  12. Adapun mengikut hikayat persejarahan lama dalam kitab khazanah persilatan Melayu di Tanah Melayu, Kitab Pusaka Sri Gayong Panglima Ulung ada menyebut tentang sejarah Silat Melayu Tanah Melayu adalah dibawa daripada amalan Ulama Sufi Islam dari benua Arab. Adapun tokoh utama mereka ada dua orang, walaupun yang lain tidaklah ditonjolkan nama mereka itu kerana mereka berdua itu dan rombongan adalah Ketua Panglima Besar Islam dan sahabat Rasulullah S.A.W yang datang ke Tanah Melayu melalui dua jalan utama dunia perdagangan antara Dua Benua, iaitu Benua Timur Tengah dengan Benua Asia (Sebelum dibuka terusan Suez). Adapun mereka berdua itu bernama Panglima Saad. Satu yang melalui jalan pelayaran laut melalui Laut Arab, Tanjung Pengharapan dan Gujerat India/ Serindib (Sri Lanka), datang dari Habsah bernama akan dia Panglima Saad bin Lubaid. Kerana Hubungan Dagangan Utama dengan Canton di Tenggara di China, Tanah Melayu telah menjadi persinggahan penting ditengah-tengah perjalanan dan utama jalan antara Arab-China.

    Walaupun Kerajaan Melayu Melaka belum dibuka oleh Parameswara (Megat Iskandar Syah) dari Palembang, tetapi kerajaan Melayu tua telah wujud di beberapa tempat di sebelah utara iaitu Langkasuka, Patani ( Selatan Thailand), Bruas/ Manjung (Gangga Negara) di Perak, Kelantan Tua (Tanah Merah) dan Terengganu Tua (Besut/ Setiu). Di Melaka, walaupun masih belum wujud kerajaan tetapi telah ada perkampungan nelayan orang Melayu dan menjadi persinggahan perahu dan kapal layar penduduk tempatan, Nusantara dan pedagang antara Arab-China. Pedagang Islam membawa barangan daripada benua Asia untuk dijual di pasaran Eropah oleh Orang Itali. Tanah Melayu telah menjadi popular dikalangan orang Arab, China, India dan Nusantara sebelum kerajaan Melayu Melaka lagi. Adapun kedatangan Panglima Saad menyebarkan Islam ke alam Nusantara sehingga China pada abad ke-5 dan 6 Masihi. Ramai dikalangan mereka aliran mazhab Maliki. Orang-orang melayu di Perkampungan Nelayan mula tertarik dengan peribadi mulia dan persahabatan mulia rombongan Arab dan mula menganut Islam, walaupun kebanyakan pemimpin dan ketua negara mereka masih belum menerima Islam. Orang-orang Melayu mula mempelajari Islam dan amalan kerohanian/ kesufian daripada mereka itu secara bersembunyi-sembunyi. Kedua-dua Panglima Islam r.a mendidik mereka tentang ilmu mempertahankan diri sebagai persiapan mereka ke arah berkerajaan dan bernegara untuk masa akan datang.

    untuk mengetahui lebih lanjut….sila lah layari laman web perguruan hamba di
    http://panglimaulung.yolasite.com

  13. Asslmkm boleh x Tuan punya blog tulis tentang satu perguruan yang dah lame hilang iaitu perguruan silat pancang 12 yang dibawa oleh Mokhtarudin pemilik Rumah penyayang ar raudah digombak.perguruan tersebut sudah senyap Tanpa berita selama bertahun tahun.


Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

Kategori

%d bloggers like this: