Posted by: abusyakirin | 9 September 2010

Ingatan Sempena Aidil Fitri

Kembali kepada Fitrah sebelum kita ke Alam Barzakh

Jubair bin Nufair berkata: Para sahabat Rasululllah bila berjumpa sesama mereka para hari raya, berkata kepada satu sama lain : Taqabbalallahu minna waminkum. (Semoga Allah menerima amalan kami dan kalian).
Berkata al-Hafiz Ibn Hajar dlm al-Fath (2/517) : Sanadnya Hasan
Telah disahihkan oleh al-Albani dlm kitabnya Tamam al-Minnah (…354)

Hari raya sungguh menyeronokkan. Allah mahu hambaNya yang beriman bergembira semuanya.

Hakikat yang Allah mahu kita sedar adalah bahawa hanya yang beriman kepadaNya di dunia ini sahaja yang patut hidup bergembira, sementara yang lain sepatutnya menangis bersedih. Sebabnya, hanya yang beriman yang hidup bersuluh di dunia ini, sedang yang lain meraba – raba tanpa suluhan hidayat. Bolehkah mereka yang meraba di dalam kegelapan ketawa bergembira?

Para ulama menyatakan antara hikmat golongan miskin juga wajib menunaikan zakat fitrah di hari raya eidul fitri adalah demi mewujudkan rasa seronok memberi di dalam hati mereka selepas asyik dan selalu menerima dan meminta – minta. Orang yang memberi, membantu dan menyumbang akan mengecapi kemanisan dan kemuliaan yang tak akan dirasai dan dikecapi oleh orang yang menerima. Pada hari raya, golongan miskin bergembira kerana mereka juga memberi sebagaimana mereka juga menerima. Mereka tidak merasa tersisih untuk turut bergembira di hari raya.

Slogan kegembiraan adalah ‘Allahu akbar’. Bertakbirlah di malam dan pagi raya sekuat – kuatnya dan sebanyak – banyaknya. Mengapa bertakbir? Supaya setiap muslim sentiasa dalam ingatan mereka bahawa tiada kegembiraan hakiki dalam kehidupan kecuali beroleh hidayat Allah.Justeru besarkanlah Allah. Kemudian, biarlah kerja dakwah dan mengajak kepada Allah itu menjadi satu tugas yang menyeronokkan, bukan membebankan.

Ah, berseronoklah dalam membesarkan nama tuhanmu..

Gembira kita bukan kerana kedatangan Syawal. Gembira kita adalah kerana kedatangan Ramadhan. Kerana kejayaan memperolehi taufik dan hidayat yang pelbagai di sepanjang bulan Ramadhan, kita digalakkan bergembira kerananya di bulan Syawal. Tiada indah Syawal tanpa Ramadhan.

Tidakkah kesedihan di pagi Syawal adalah kerana pemergian Ramadhan? Tetapi ketepikanlah kesedihan itu dan gantikanlah ia dengan kegembiraan kerana Ramadhan tidak pergi kecuali dengan meninggalkanmu sejambak hidayat yang sangat berharga.

Marilah kita mengambil ingatan di Syawal yang mulia ini dengan mengingati hidayat Ramadhan:

1) Ramadhan bulan al Quran – hidup tanpanya adalah hampa walau dipenuhi segala nikmat dan kesenangan. Al Quran adalah ubat dan penawar kecelaruan kehidupan.

2) Ramadhan bulan ketaqwaan – Setiap yang beriman mesti mengimpikan untuk semakin mendekati dan mendampingi tuhannya di setiap masa dan langkah. Tiadalah jalan untuk mendekatiNya selain taqwa. Memperolehi taqwa adalah pemburuan setiap hamba yang beriman.

3) Ramadhan bulan al jihad – Jihad adalah berkerja keras dan bersungguh – sungguh. Jihad adalah berkeringat menahan diri daripada godaan duniawi, berpeluhan melonjakkan diri ke alam samawi yang lebih tinggi dan bersembur darah mempertahankan iman dan agama. Bermula dengan melawan serakah nafsu dan memuncak dengan melawan musuh Islam dengan segenap harta dan kepunyaan. Setiap muslim adalah mujahid semestinya. Hidupnya dipenuhi episod perjuangan.

4) Ramadhan bulan kesabaran – Sabar adalah sifat paling mulia didamba muslim. Ramadhan menemukan kita dengan keindahan memiliki sifat sabar. Ramadhan menjadikan kita teruja dan kepinginan untuk mencontohi mereka yang bersabar ( as saabirin ). Janji Allah adalah menggiurkan sekali untuk mereka.

5) Ramadhan bulan kebaktian – Berbakti adalah pengenalan diri setiap muslim. Hidup berbakti adalah diari setiap muslim. Seawal kebaktian adalah beriman kepada Allah dan mendirikan solat. Ia memanjang dengan menyumbang segala kepunyaan demi kebahagiaan semua insan dan mkhluk ciptaan Allah. Ramadhan mengajar kita untuk hidup penuh pemurah.

6) Ramadhan bulan kemenangan – Ramadhan mengajar kita bahawa setiap kita adalah pemenang di dunia ini. Kekalahan adalah perjalanan, sementara kemenangan adalah destinasi. Dengan Allah, tiada musuh yang tak akan kalah.

7) Ramadhan bulan puasa dan bulan qiamul lail – Puasa adalah tiang rukun agama. Puasa adalah perisai setiap muslim. Justeru di dalam menempuh badai ujian, setiap muslim harus menjadikan ibadah puasa sebagai senjatanya yang tak lekang. Manakala solat dan beribadah di malam hari adalah cahaya. Kegelapan malam adalah menakutkan. Dalam kegelapan itulah setiap yang bangun beribadah membina keberanian. Mereka kekal dalam kecerahan 24 jam. Ibu malam adalah Lailatul Qadr.

Begitulah ingatan hidayat Ramadhan yang mesti disimpul kejap di dalam ingatan setiap kita.

Hari raya memberikan kita satu kekuatan untuk membina keazaman baru dalam meneruskan kehidupan yang lebih mulia dan bermaruah. Justeru bersamalah menjadikan setiap bulan adalah Ramadhan.

Allahu Akbar… Allahu Akbar… Allahu Akbar…

Laa Ilaaha Illallaah wallaahu Akbar…

Allahu Akbar wa Lillaahilhamd…

Di kesempatan ini, saya Nik Iznan Musyahmi B Mohamed ( Abu Syakirin ) bersama Siti Norjamilah (Ummu Syakirin ), Nik Abdul Syakur dan Nik Khauthar Hanan, mengucapkan Selamat Menyambut Hari Raya Aidilfitri, Kullu ‘Aam wa Antum bi Alf al-Khair, Taqabbalallaahu minna wa minkum ajma’een.

Khusus buat warga pengunjung blog Aku Dan Gayong.Com dan saudara Segayong.

Juga buat Guru-guru saya, teman rakan Facebook dan  sahabat handai dan jiran tetangga.

Serta seluruh mereka yang bertaut persaudaraan dengan kami atas ikatan Laa Ilaaha Illallaah.

Semoga Allah Subhanahu wa Ta’aala menerima baik segala amal ibadah dan kebajikan yang dilakukan di sepanjang bulan Ramadhan kali ini dengan sebaik-baik penerimaan serta ganjaran. Mudah-mudahan kita semua dipertemukan lagi dengan Ramadhan berikutnya, ameen.

Saya menyusun sepuluh jari, memohon maaf atas segala ketidak sempurnaan pada tutur kata yang tidak enak didengar telinga, laku perbuatan yang tidak manis di penglihatan, serta segala cacat cela diri yang nyata mahu pun tersembunyi… agar benar-benarlah Aidilfitri ini disambut sebagai orang yang pulang kepada asalnya yang fitrah (al-’aaideen) dan berjaya (al-faaizeen).

___________________________________________________________________________________

© KHALIFAHGAYONG.COM (AKU DAN GAYONG)

Hak cipta terpelihara. Setiap artikel yang tersiar di Khalifahgayong.com dihasilkan untuk tujuan pendidikan dan bersifat non-komersil. Pembaca bebas menyalin dan menyebarkan artikel yang terdapat di sini, namun alamat Khalifahgayong.com hendaklah disertakan bersama untuk memudahkan proses rujukan. Manakala untuk penerbitan semula dan berorientasikan komersil, setiap bahagian daripada artikel ini tidak boleh diterbitkan semula, disimpan untuk pengeluaran atau dipindahkan dalam bentuk lain, sama ada dengan cara bercetak, elektronik, mekanikal, fotokopi, rakaman dan sebagainya, tanpa izin KHALIFAHGAYONG.COM terlebih dahulu.

“Aku Dan Gayong”

http://www.khalifahgayong.wordpress.com


Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

Kategori

%d bloggers like this: