Posted by: abusyakirin | 25 Oktober 2010

BICARA TUAH

Gerak silat Hang Tuah sememangnya mirip tarian tradisional namun langkahnya pantas dan tangkas. Hendak dikatakan silat, liuk lentuknya bagaikan menari, mahu dikatakan tarian, bunganya pula sukar dijejak kerana ada buah dan pukulan. Apa yang jelas dan pasti, langkah persilatannya itu menunjukkan kearifan, tidak ada langkah yang mati dan tidak juga janggal seperti sesetengah persilatan. Difahamkan seni persilatan Tuah dan Jebat adalah berbeza dari segi langkah dan bunga, Tuah itu liut dan waspada namun langkah Jebat agak kasar dan binasa, walaupun kedua-duanya hebat. Hanya terdapat satu persamaan dalam gerak silat mereka iaitu dari segi langkah kaki. Mereka banyak menggunakan hujung kaki untuk melangkah sehingga dikatakan tidak berpijak di bumi yang nyata sewaktu bersilat. "Tuah takut bertikam di bawah istana, dia tidak mahu bertikam di tanah kerana kita tahu akan kelemahannya itu," "Dia mesti mahu naik ke dalam istana kerana pantang ilmunya semasa menuntut di Gunung Ledang dulu tidak boleh menyusup di bawah rumah, segala ilmunya akan tawar." "Kita juga punyai kelemahan - tidak boleh kena kain langsir tingkap atau pintu, kerana itu kita mengajak Tuah bertikam di bilik peraduan Sultan." "Setelah ditikam Tuah, kita balut luka dengan kain cindai dan minta izin Tuah untuk turun mengamuk."

Bila bercakap tentang Hang Tuah, teringat saya akan bagaimana oleh kerana fitnah semata-mata, seorang Laksamana pembela bangsa yang setia kepada raja selama masa diperintahkan supaya dibunuh oleh tuannya sendiri. Hang Tuah menerima hukuman dengan segala rela hati tanpa sedikitpun bantahan. Maka Hang Jebat pun menuntut bela dan Melaka menjadi huru-hara. Raja Melaka menyesal menghukum Tuah supaya dibunuh. Tetapi apakan daya, tangan sudah mencincang. Walaupun seribu sesal Raja Melaka sesalkan, apa yang telah berlaku tetap berlaku. Fitnahlah yang menjadi punca keruntuhan.

Siapakah wira kita, antara Hang Tuah dan Hang Jebat? Ada yang menyanjung Hang Tuah kerana kesetiaannya kepada raja Melaka. Ada yang menyanjung Hang Jebat kerana menunutut keadilan. Siapakah yang sebenarnya menderhaka? Si Jebat yang menderhaka kepada Raja Melaka atau Si Tuah yang menderhaka kepada persetiaan persaudaraannya terhadap Si Jebat? Siapa pula yang belot : Si Jebatkah yang belot kepada Raja Melaka atau Si Tuahkah yang belot kepada saudaranya Jebat? Pendirian kita pula bagaimana? Saya abadikan 2 buah puisi di bawah ini kepada mereka yang ingin memikirkannya. :

BICARA TENTANG TUAH DAN JEBAT

Kalian yang mengutuk Tuah,
kemari!
Kita berbicara.

Apalah ikhtiar Tuah:
Di kanan, hukum Raja berkuasa.
Di kiri, teman yang sudah derhaka.
Jebat tinggal seorang diri.
Kasturi, Lekir, Lekiu bukan sahabat lagi.
Di pinggang
menggeletek Pamong Sari Bukit Siguntang.

Kalau kalianlah Tuah, tertitah
membuang Jebat
apa bisa kalian buat?

Dari riak muka kalian
sudah tahu aku:

Kalian adalah Tuah, Kasturi,
Lekir dan Lekiu.
Kalian patuh pada tuan.
Jebat kan jadi habuan
di tangan kalian.

Usahlah Tuah kalian kutuk
kalau kalian sepertinya mengikut telunjuk.

Kalian yang menjulang Jebat
kemari!
Kita bicara.

Di kanan, Tuah mati ditikam.
Di kiri, Raja berlaku kejam.
Kasturi, Lekir, Lekiu tak ambil peduli.
Jebat, nekad dalam bara api
Mau dibayarnya budi.

Di pinggang
menggelepar keris Taming Sari.
Tiada gentar lagi Jebat pada mati.

Kalau kalianlah Jebat
bersugul kematian sahabat
apa bisa kalian buat?
Dari raut muka kalian
sudah tahu aku:
Kalian adalah Tuah, Kasturi,
Lekir dan Lekiu.
Takkan berani kalian melawan tuan.
Takkan ada pada kalian
semangat setiakawan pada yang
keseorangan.

Usah berpura menyanjung Jebat
Kalau yang kalian ucap, bukan yang terbuat

Laksamana Hang Tuah itu bagaimana orangnya? Apakah dia orang bertimbang rasa selain daripada sifatnya yang setia pada Raja Melaka. Saya tidak dapat memaafkan pahlawan Melayu yang gagah perkasa ini apabila beliau mempermainkan Tun Teja dengan janji palsu bahawa beliau mencintai Tun Teja. Teja yang masih muda belia pada masa itu terus terpedaya, lalu meninggalkan ayahanda, bonda dan seluruh keluarga melarikan diri mengikut Hang Tuah demi cinta. Tidak terlintas di hati Teja bahawa Hang Tuah yang dicintainya itu rupanya menipu dia. Hang Tuah ingin berjasa kepada Raja Melaka dengan melarikan Tun Teja untuk dikahwininya. Saya tidak dapat membayangkan bagaimana besarnya hadiah yang diberikan oleh Raja Melaka kepada Hang Tuah kerana berjasa sedemikian rupa. Ayahanda dan bonda Tun Teja ditimpa kesugulan yang amat sangat kerana kehilangan anakanda mereka. Tunang Tun Teja Megat Panji Alam mati dibunuh pahlawan Melaka. Saya tulis puisi dibawah ini mengenang Teja :

DI MAKAM TUN TEJA

Demi cintamu Teja
pada Si Tuah,
engkau berkorban apa saja
untuk hidup bersamanya.

Belum pun tiba di Melaka
Si Tuah menjampi sirih memutus cinta.
Katanya kau bukan untuknya
Semata dilarikan untuk Paduka.

Remuknya hatimu Teja tiada terhingga
Terkenang kasih yang tak ke mana.

Kerana jasanya pada Paduka
memperdaya kau dengan cinta
Tuahpun diangkat jadi Laksamana.
Tinggallah engkau Teja
tanpa rela berendam air mata
di istana Melaka bersuamikan Paduka

Semalam aku terkenangkan mu.
Dalam tafakkur keayuan Doa
aku terbayang keayuaan wajah
keluhuran cintamu.

Kudoakan kau tidak keseorangan
walau jauh dari keluarga.

Bahagiakah engkau Teja
sewaktu hayatmu di istana,
atau masih kesalkah hatimu
merintih kasih
pada cinta yang tidak kesampaian?
Tuah kekasihmu itu, Teja
Walau dijulang zaman bagai wira,
Kuburnya entah di mana.

Mengenang nasibmu Teja
aku terus khuatir
tentang puteriku Khauthar Hanan.
Biarlah tiada Tuah menghampirinya
kalau manis hanya seketika
tapi cinta bertatahkan dusta.

Bolehkah kita bayangkan apa yang dilakukan oleh Seri Buana iaitu ayahanda kepada Tun Teja apabila mendapati anaknya dilarikan oleh Hang Tuah? Saya cuba membayangkannya melalui puisi Sumpah Seri Buana :

SUMPAH SERI BUANA

Teja, Teja, Teja
kau pergi anakku
diperdaya cinta hulubalang perkasa
mengikut rasa membuang keluarga.
Istana riang kita ini
sudah menjadi tersangat sepi.
Pelita kamarmu tidak lagi menyala.
Mustika hatiku berderai jatuh
ke dalam gelora telaga
airmata bondamu.

Telah datang lagi Hang Tuah
bersama hulubalang Melaka
ke Inderapura
memalit Balairong Seri dengan darah.
Megat Panji Alam tunangmu, Teja
ditikam Si jebat dan Kasturi
dari belakang

Teja,
Hulubalang apakah sedemikian
menipu perempuan
mencuri tikam?

TUAH DAN MELAKA DIMAKAN SUMPAH

Teja anakku,
kita Bendahara Seri Buana
telah menyatu dengan derita.
Kita mahu mengajar Melaka.
Kita seru pada titih
titih tersungkur di telunjuk kita.
Kita jampi di daun sirih
sirih menimpa ke muka Laksamana.
Laksamana berkubur tanpa tanda.

Ini keris ganja iras
parungsari tujuh luknya,
asal ditempa besi melela tujuh bersaudara.
Lidah tiong titi tulang
tulang ditinting tujuh temuan.
Mata keris darah menyembur
tuntung keris padah celaka.
Keris sahabat pada yang setia
seteru pada yang derhaka.
Kita tikam di angin lalu
angin melanda Istana Melaka
Raja berkelana hilang takhta.

Walau apapun Hang Tuah, Hang Jebat, Hang Kasturi, Hang Lekir dan Hang Lekiu adalah pahlawan-pahlawan Melayu yang terbilang. Tun Perak, Bendahara Seri Maharaja Melaka sewaktu hayatnya mempunyai kepercayaan penuh kepada pahlawan-pahlawan ini sehingga Melaka menjadi makmur, aman dan sentosa. Walaupun ada Kerma Wijaya dan Raja Mendeliar yang sering menabur fitnah tetapi Tun Perak berjaya mematahkannya kerana Tun Perak adalah orang yang bijaksana. Tun Perak tidak termakan fitnah kerana Tun Perak mengamalkan prinsip untuk mendengar dahulu segala aduan, segala penerangan, dan segala yang perlu didengar daripada pihak-pihak yang bertelagah. Tun Perak, Bendahara Seri Maharaja Melaka tidak cepat melenting dan menghukum tidak tentu pasal. Mari kita bina negara kita ini dengan segala prinsip yang baik :

BINALAH KEMBALI MELAKAMU

Tun Perak Seri Maharaja,
binalah Melakamu
dengan setia Hang Tuah
bara Hang Jebat
sekata Kasturi, Lekir dan Lekiu.

Kukuh itu puncanya setia
bara penghindar leka
sekata untuk mara.

Kalau datang Kerma Wijaya
membawa fitnah
datang Mendeliar
menghembur seranah,
Berbentenglah kau Tun Perak,
pada Tuah yang setia,
Jebat yang berbara,
Kasturi, Lekir, Lekiu yang sekata.

______________________________________________________________________________________

© KHALIFAHGAYONG.COM (AKU DAN GAYONG)

Hak cipta terpelihara. Setiap artikel yang tersiar di Khalifahgayong.com dihasilkan untuk tujuan pendidikan dan bersifat non-komersil. Pembaca bebas menyalin dan menyebarkan artikel yang terdapat di sini, namun alamat Khalifahgayong.com hendaklah disertakan bersama untuk memudahkan proses rujukan. Manakala untuk penerbitan semula dan berorientasikan komersil, setiap bahagian daripada artikel ini tidak boleh diterbitkan semula, disimpan untuk pengeluaran atau dipindahkan dalam bentuk lain, sama ada dengan cara bercetak, elektronik, mekanikal, fotokopi, rakaman dan sebagainya, tanpa izin KHALIFAHGAYONG.COM terlebih dahulu.

“Aku Dan Gayong”

http://www.khalifahgayong.wordpress.com

Advertisements

Responses

  1. Kehebatan..Kehandalan..Kebijaksanaan Hang Tuah sememangnya jelas dan tidak dinafikan lagi…akan tetapi yang menjadi persoalan disini mengapakah taat setia Tuah pada Sultan lebih dari segala-galanya sehingga sanggup menghukum saudaranya sediri tanpa soal siasat. Dimanakah nilai moraliti Hang Tuah….? Adakah setiap tindakannya dirujuk oleh Nafsu atau Akal? Mengapakah Hak Mutlak Sultan diutamakan Agama dibelakangkan?

    • Dimanakah nilai moraliti Hang Tuah….?
      Adakah setiap tindakannya dirujuk oleh Nafsu atau Akal?
      Mengapakah Hak Mutlak Sultan diutamakan Agama dibelakangkan?
      3 Persoalan yang patut di jawab bersama oleh para pembaca

  2. salam…
    adik bongsu tumpang lalu
    lalu kehilir meniti waktu
    sekadar berkongsi apa yang terbuku
    silap dan salah mohon di bantu…

    apa yang saya di fahamkan…bukan persoalan siapa salah atau benar…kerana masing2 ada benar..juga ada salah…
    tuah dan jebat duduk di level nafsu yang berbeza
    mungkin jebat di level amarah…mungkin juga tuah di mutmainnah…(merujuk kepada level2 nafsu)
    kot ustaz boleh beri pencerahan dalam hal ni…

    • apa yang saya di fahamkan…bukan persoalan siapa salah atau benar…kerana masing2 ada benar..juga ada salah…
      tuah dan jebat duduk di level nafsu yang berbeza

      1 lagi persoalan yang ditimbulkan…mari kita pakat-pakat fikirkan

  3. yang sebenarnya MELAYU itu MISTERI…kita semua tak tahu apa yang sebenarnya berlaku pada saat dan ketika itu..

    Kita orang MELAYU berasa bangga dengan adanya HULUBALANG lima bersaudara yang dapat mewariskan semangat KEMELAYUAN yang HEBAT dan PERKASA untuk diteruskan dan diwarisi oleh orang2 MELAYU pada abad ini dan akan datang…

  4. “yang sebenarnya MELAYU itu MISTERI…kita semua tak tahu apa yang sebenarnya berlaku pada saat dan ketika itu..” <– Saya bersetuju dgn pendapat saudara sawa….

  5. Melayu xhilang di dunia. Siapa yg tuturkan kata2 tu? Hang Tuah. Memang Melayu xhilang.Tapi Hang Tuah sendiri yg hilang.

    Jadi, kata2nya menjadi pegangan dan idealogi kita. Pemimpin datang bersilih ganti, tapi idealogi jgn mati.
    Hilang Melayu kita merana,
    Hilang Islam kita melarat.

  6. lain benar langkah dan tutur bicara bagi seorang pendekar yg telah bersua mata dengan tuah ni

  7. Assalamualaikum wbh.

    Zaman HangTuah dan Kesultanan Melayu Melaka baru berusia sekitar 600 tahun sedangkan zaman Rasulullah sudah lebih 1400 tahun. Akhlak seorang mukmin telah diterapkan jauh lebih lama dari zaman Melaka. Mengapa tidak diambil para Rasul dan sahabat sebagai idola? Rasulullah adalah maksum. Tindak-tanduknya diatur Allah SWT. Sepatutnya setelah hampir 1000 tahun Islam berkembang, Melaka tidak sepatutnya bertuhankan nafsu(bersultan di mata, beraja di hati). Salah siapakah agaknya? Wali Lanang yg kuburnya terdapat di Pulau Besar adalah guru kepada Wali 9 di Tanah Jawa.

  8. KATA TUAH..JEBATKAH YANG BERSALAH ATAU AKU KAH YANG BERSALAH..JAWAPANYA…JENG2,HAHA

  9. Ambil yang jernih, buang yang kotor aje lah.. he he he…

  10. xder yang salah, dua2 betul

  11. Ore lo ni dio ambik yg jernih.hok keruh,dio tapis guna penapis air.hehehe.

  12. tuah merupakan simbol kepada dilemma melayu masa kini..kalau difikirkan balik

  13. sebenarnye tuah x bunuh pn jebat dan mereka bertarung pn ditmpt tertutup.slps itu mereka ghaib di gunung ledang.siapa pernah pergi ke kota gelanggi di jerantut pahang????saudara p’caye x jikalau sy ckp mat kilau skang msih hdup????kun fa ya kun….

    • kalu aku tok caye sket abuk, manusia tak kekal..mu ni mistik dooh la pade2 lah tuh weh

  14. Entahlah…nak komen lebih – lebih susah juga. Tapi kalau difikirkan dalam alam Melayu walaupun Islam sudah diterima sebagai agama rasmi tetapi konsep Sultan sebagai bayangan Allah di muka bumi masih tetap diamalkan yang berubah kalau dahulunya raja adalah wakil dewa dimuka bumi sekarang Sultanlah wakil Tuhan di muka bumi. Di sebabkan itu ada konsep tulah jika durhaka kepada perintah sultan.

    Dalam sejarah Islam pun begitu juga, ketika bani Umayyah memerintah berapa ramai sahabat yang mati dibunuh atas perintah Khilafah. Panglima Hajjaj Yusuf as-Saqafi sendiri membunuh Abdullah Ibn Zubair di Makkah dan Zaid Bin Ali dan ramai lagi. Walhal, ketika itu zaman pemerintahan Al Malik bin Marwan, dan Malik sendiri sudah mengeluarkan perintah yang mereka- mereka itu adalah Ghuluw terhadap pemerintahanya.

    Atas dasar itu maka, hukum bunuh dijatuhkan, walaupun mereka yang dibunuh itu tergolong dekat dengan Nabi s.a.w. Ini sejarah…dan sejarah tidak boleh di ubah dan ditukar. Salahkah tindakan Yusuf tadi kerana mengikut perintah Al-Malik tadi. Salahkah Al-Malik didalam hendak mengekalkan ke kuasaanya ia perlu menumpahkan darah yang banyak? Salahkah Zaid kerana ia menuntut haknya sebagai salah seorang waris Saidina Ali r.a. walaupun bukan beribukan Fatimah r.a.? Salahkah Ibnu Zubair kerana padanya Khalifah sudah lencong dan Makkah harus dibersihkan dari unsur itu?

    Semuanya Allah s.w.t. menghidangkan kepada kita untuk kita ambil iktibar. Bahwa dalam sejarah Islam pasti akan berlaku pertembungan pendapat yang akhirnya membawa pertumpahan darah itu pasti..itu sunnah Allah. Yang disuruh bukan menentukan siapa betul siapa salah, kerana kesalahan itu sudah pun berlalu dan menjadi sejarah. Yang disuruh merenung puncanya mengapa jadi sampai begitu. Yang disuruh berpegang teguh dengan Sunnah Allah dan rasulnya. Yang disuruh patuh dan amal segala perintahNya.

    Begitu juga dalam hal hikayat Tuah Jebat. Tuah menikam Jebat disebabkan ghuluw dan dalam Islam hukum ghuluw adalah bunuh. Tetapi tindakan Jebat menderhaka atas sebab Sultan yang tidak adil, kesilapannya Jebat menghukum semua yang tidak bersalah– itu tidak betul. Dalam Islam jika Sultan tidak adil maka Majlis Syura harus menegurnya..ulama harus menegurnya. Didalam hikayat riwayat mana pun adakah tuan – tuan jumpa Ulama’ atau Makdum menegur tindakan Sultan???? Tidak bukan.

    Kenapa? Situlah sebenarnya letak kelemahanya.

    Wallahu’alam….selebihnya simpan dahulu..tunggu respond dari pembaca lain.

  15. Assalamualaikum, Kalau pemerintah tidak ikut majlis syura atau ulama yang menegur dan terus menzalimi bagi mana pula?

  16. Maka dalam Islam, Ahli Majlis boleh melucutkan jawatan sultan dan melantik sultan baru. Hal ini pernah berlaku di zaman Empayar Uthmaniyyah dimana Ahli Majlis melucutkan jawatan sultan dan melantik anakandanya mengantikan sultan yang baru.W/a

  17. Naga berapi si awan larat
    tembak mari lela rentaka
    seni gayung menjunjung adat
    adat gayung pantang derhaka.

    payung bukan sebarang payung
    payung milik kerajaan lama
    gayung bukan sebarang gayung
    gayung ghaib diberi nama.

    angin bertiup bersama semangat ku! semangat hang jebat! membujur lalu .melintang patah!
    menanti tadah membuka langkah kami pusaka laksamana hang tuah! x melayu hilang didunia!

  18. waktu kau tusukkan taming sari ke dadaku
    kubalut darah dgn langsir istana
    biar hanyirnya tidak hanyut kemuara melaka
    merahnya tidak merubah hijau rimba
    pedihnya tidak mungkin merebahkan aku di hjung kesetiaan mu
    atau gugur bersama bunga putih
    hancur didalam pesta resah
    ketawa kejam dan senyum raja makin terang di mendungi langit hitam
    awan kelabu, api sengketa membakar belantara
    muara melaka mengalirkan darah!
    aku mampu menahan pedih
    tapi tusukan mu itu setelah berabad lama nya kembali menghiris luka manusia
    melepasi zaman melewati masa
    kitab sejarah kembali dibuka
    antara aku yang membela kematian mu atau kau yg x pernah derhaka membunuh kesetiaan ku
    mereka berperang sesama sendiri api benci menyala dimana mana
    maraknya merah membakar maruah pertahankan hak dgn titisan darah mengenangkan sumpah mu!
    x melayu hilang di dunia sdgkn ketuanan melayu lusuh tercela
    bangkitlah tuah..dlm paluan gendang seluruh nusantara..sembahkan tari pendekar mu pahlawan terbilang, jerkah majapahit pernah kau diamkan kenyit tun teja kau tawan asal jadi mu hamba sahaya hukum bunuh mu perdaya kerma wijaya
    mana raja yg kau prthnkan manakah pusara manakah nisan? di ulu melaka kau brsmbunyi,demi setia mengapa tidak kau bunuh diri!
    tangis deritaku rintih pedihku bukan sisa bisa tikamanmu,jerit lolong ku hanya serigala sakit di celah bukit kerana kau tetap hang tuah laksamana setia kerajaan melayu melaka
    tapi kita berbeza,aku mnjadi penderhaka seorg panglima trbilang mnjadh petualang kerabat diraja demi segenggam setia lima saudara dihdpn adiputra muhamad..tidakkah kau ingat?
    ingatlah tuah raja adil raja disembah raja zalim raja disanggah! biarlah titisan darahku menjadi keringat kerana aku lah yg bergelar datuk laksamana hang jebat!

    • Sampai sekarang tiada kubur hang tuah

      • suasana zaman itu memainkan peranan.hendak berhukum kita tiada masa itu.sama spt perjuang kemerdekaan yang berhaluan kanan@kiri?.golongan manakah perjuang kemerdekaan yang sebenar?.bahkan pd zaman s.Ali berlaku kekacauan,sebab apa berlaku spt itu?.jawab s.Ali iman org islm masa itu x sama pd zaman a.Abu Bakr dan s.Umar.kalau nk kata hang tuah benar tp mendahulukan raja dr hukum hakam.nak kata hang jebat benar kenp membunuh megat panji Alam.membunuh keran kesetiaan bkn kerna kebenaran.”kita hanya mampu berhukum perkara yang zahir shj”


Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

Kategori

%d bloggers like this: