Posted by: abusyakirin | 1 November 2010

Perpecahan Gayong Perpecahan Sayang

Alhamdulillah..semalam saya sempat menghadiri Perjumpaan dengan Waris Mutlak Silat Seni Gayong,Para Waris Beradat dan juga Para Wakil Mutlak Silat Seni Gayong dari pelbagai Pertubuhan Gayong, kecuali Pertubuhan Silat Seni Gayong Malaysia

Pertemuan itu begitu bersejarah buat hidup saya kerana dijemput dan diarahkan oleh Ayahanda YM Dato Raja Abd Majid b Raja Mat Isa (Pak Ndak) ke majlis yang agak ISTIMEWA di mana saya menjadi wakil PSSPGM dan juga selaku salah seorang Waris Beradat dan Wakil Mutlak Pertubuan Silat Seni Pusaka Gayong Malaysia. Saya merasakan diri saya ini cukup kerdil dan begitu mentah untuk duduk bersama-sama mendengar Guru-guru lama Gayong berbicara. Bicara mengenai Perpaduan..Penyatuan..menjadi Ummatun Wahidah

SEJARAH DIPANDANG  PERJUANGAN DIKENANG


Pengkisahan semula Sejarah Gayong ole Pak Ndak cukup menyentuh perasaan keseluruhan anak Gayong yang mendengarnya..kelihatan beberapa orang guru lama sebak dan ada yang menitis kan air mata. Terasa diri ini cukup kerdil bila mengenangkan liku-liku perjuangan dan ranjau berduri yang Pak Ndak lalui. Pak Ndak sendiri disuatu ketika sebak dan kelu untuk meneruskan bicara…Kisah bagaimana dia lulus ketika diuji oleh ADMAR cukup menunjukkan yang beliau seorang yang berhati Kental dan Tulus dalam memperjuangkan Silat Seni Gayong ini. Bayangkan semasa Khatam Lembing beliau pernah diuji dengan terjun dari puncak Air Terjun Kota Tinggi dengan kepala ke bawah terus menuju ke batu..namun alhamdulillah dia diselamatkan oleh Allah swt.

PENDERHAKA

Secara jujurnya anak Gayong perlulah mengetahui bahawa tuduhan yang mengatakan Pak Ndak adalah penderhaka kepada ADMAR dan Silat Seni Gayong adalah TIDAK BENAR. Bukan beliau yang menubuhkan Pertubuhan Silat Seni Pusaka Gayong Malaysia ( PSSPGM ) sebaliknya ia ditubuhkan oleh anak-anak Gayong Kedah di bawah Menteri Besar Kedah pada ketika itu serta disokong oleh Timbalan Menteri Dalam Negeri yang mana mereka ini adalah anak Gayong. Ini berikutan ADMAR tidak ingin menarik balik arahan pelucutan Pak Ndak ekoran fitnah yang dilemparkan kepadanya. Itu sejarah yang perlu kita selaku anak Gayong perbetulkan dan perjelaskan kepada generasi baru Gayong. Buangkan persepsi bahawa PSSPGM adalah golongan Penderhaka kepada ADMAR. Sebaliknya kita Kembali kepada penyatuan. Bersatu lah diatas perjuangan yang sebenar. Bersatu diatas landasan Islam, Iman dan Taqwa.

BERSAMA MEMANFAATKAN PERBEZAAN PERTUBUHAN

Ketika berdepan dengan ujian dan masalah kehidupan, mungkin ada sesetengah kita mengimpikan sebuah dunia yang semuanya sama seperti kita. Biar sependapat, sepemikiran, satu selera dan kemahuan, malah mungkin satu bangsa, satu bahasa bahkan satu jantina.

Tetapi semua itu adalah impian yang mustahil. Bukan sahaja mustahil malah tidak perlu. Manusia tidak perlu kepada semuanya serupa dan satu. Malah manusia sebetulnya perlu kepada kepelbagaian dan perbezaan.

Justeru Allah SWT menyebut di dalam al-Quran:

Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu Dengan Yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang Yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan Yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha mendalam pengetahuannya (akan keadaan dan amalan kamu). [Al-Hujuraat : 13]

Yang menjadikan manusia itu ada lelaki dan ada perempuan adalah Allah.

Yang menjadikan manusia itu berbeza bangsa dan berbeza bahasa juga adalah Allah.

Jika segala perbezaan antara lelaki dan perempuan, serta kelainan antara bangsa-bangsa yang wujud di dunia ini, kita anggap ia sebagai punca masalah, apakah kita mahu menisbahkan masalah kita kepada Allah? Jika hidup jadi sulit kerana suami gagal memahami isteri kerana dia seorang perempuan, seorang yang berbangsa Melayu hidupnya jadi sulit kerana gagal memahami jirannya kerana beliau berbangsa lain, apakah kesulitan itu salah Tuhan?

Naudhubillahi min dhaalik!

Harusnya kita semua tidak lupa, mengapa perbezaan itu diciptakan Allah.

Allah menciptakan manusia itu berbeza jantina, berbeza bangsa dan budaya, bukan untuk mereka berbalah dan tenggelam dalam khilaf dan masalah. Sebaliknya atas satu tujuan yang besar:

Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan Yang lain).

Ya, segala perbezaan itu tujuannya adalah supaya manusia mengecam dan mengenal. Belajar antara satu sama lain. Kerana manusia sering menjadi musuh kepada apa yang dia tidak tahu.

PERBEZAAN DALAM DUNIA RUMAHTANGGA

Sulit sekali sebuah rumahtangga mahu dikendali dengan bahagia, jika suami tidak dapat mengecam perbezaan cara berfikir dan bekerja sang isteri yang merupakan seorang perempuan. Apa yang mahu dinikmatinya, hanyalah pada perbezaan fisiologi, perbezaan tubuh badan antara lelaki dan perempuan. Tetapi perbezaan akal, emosi, dan pertimbangan, suami sering sahaja mahu isterinya berfikir seperti dia, faham seperti fahamnya dia dan membuat keputusan seperti keputusan dia.

Itu mustahil.

Lelaki dan perempuan berbeza pertimbangan.

Wanita itu kekuatannya adalah pada emosi dan perasaan. Kerana itu biar pun tubuhnya tidak segagah seorang lelaki, Allah menjadikan wanita sebagai pihak yang hamil mengandungkan anak ditumpang 9 bulan di dalam perutnya. Itu memerlukan kekuatan perasaan lebih daripada sekadar kekuatan fizikal menanggung berat 10 atau 20 kilogram selama 9 bulan. Lelaki tidak layak untuk hamil kerana perasaan lelaki tidak sekuat perempuan.

Justeru jangan dimusuhi perasaan wanita. Kerana perasaan itulah ibumu lulus melahirkan kamu dan adik beradikmu.

Namun wanita juga harus belajar untuk faham. Ketika perasaan menjadi kelebihan dirinya, perasaan juga sering menimbulkan kesulitan kepada suami, yang diciptakan Allah pertimbangannya lebih kepada akal. Jangan sering membebankan suami dengan kehendak perasaan. Sebaliknya hargai suami yang biar pun kurang menunjukkan emosi, tetapi sering panjang akal fikirannya.

Allah melantik suami sebagai pemegang amanah menguruskan TALAQ kerana suami sebagai lelaki harus panjang akal. Hitungannya mendalam. Fikirnya tidak mengikut keadaan dan perasaan. TALAQ musnah jika dikendalikan dengan emosi. Justeru suami harus menyedari akan hal ini, demikian juga sang isteri.

Kedua-duanya mesti belajar menguasai ilmu untuk kenal perbezaan di antara lelaki dan wanita.

Di dalam al-Quran ilmu itu ada. Di dalam Sunnah ilmu itu luas. Di dalam ilmu-ilmu moden juga panduan sudah banyak dirumus dan dibukukan. Hanya tinggal kemahuan untuk belajar. Supaya jangan suami dan isteri terus bermusuhan dengan perbezaan yang dia tidak tahu, dan tidak bisa mengendalikannya.

PERBEZAAN DALAM SEBUAH KOMUNITI

Demikian juga dengan perbezaan bangsa, bahasa dan budaya.  Jika kita melihat kewujudan masyarakat majmuk ini sebagai punca masalah, maka ia akan terus memberi masalah kepada kita. Tetapi sebagai Muslim, kita sedar bahawa kemajmukan itu Allah yang mengadakannya. Dan Allah tidak mencipta apa sahaja hatta seekor lalat sekali pun, tanpa sebab dan sia-sia. Justeru  kita harus kembali kepada tujuan tersebut dan mengambilnya sebagai tanggungjawab.

Apa sahaja ilmu yang bisa membantu kita untuk lebih kenal dengan siapa jiran, siapa rakan dan siapa manusia yang berada di sekitar kita, mesti diangkat sebagai ilmu yang fardhu untuk dipenuhi.

Lihat sahaja bagaimana kepelbagaian bangsa memberikan pelbagai manfaat apabila ia diambil secara positif di dalam catatan Sirah. Umat Islam mengambil idea bangsa Parsi daripada Salman al-Farisi untuk menjaga keselamatan Madinah yang bakal diserang Tentera Ahzab, dengan membina parit besar di Timur Laut kota itu. Idea yang tiada dalam pemikiran bangsa Arab ketika itu, tetapi biasa di kalangan bangsa Parsi.

Demikian juga selepas berlakunya Perang Badar, tawanan-tawanan perang  ditawarkan pembebasan dengan syarat kemahiran mereka membaca digunakan untuk mengajar anak-anak umat Islam kemahiran yang penting itu. Selain anak-anak Muslim mendapat manfaatnya, pengalaman mengajar itu juga pasti memberikan kesan positif kepada diri tawanan perang tersebut.

Perbezaan juga bukan hanya pada soal perbezaan jantina dan bangsa, malah berbeza agama itu juga berlaku dalam lingkungan hikmah dan aturan Allah.

Renungi firman-Nya:

Dan kalaulah Tuhanmu (Wahai Muhammad) menghendaki, tentulah ia menjadikan umat manusia semuanya menurut ugama Yang satu. (tetapi ia tidak berbuat demikian) dan kerana itulah mereka terus-menerus berselisihan. [Hud : 118]

Allah SWT mahu manusia mengambil peranan mengurus dan mentadbir perbezaan itu.  Menggunakan akal fikiran, ilmu dan segala kemudahan yang ada untuk mewujudkan suasana yang harmoni, hidup dalam kepelbagaian dan aliran. Bukankah ini, cara kerja Nabi SAW? Tidakkah ini yang menjadi sebahagian langkah awal tatkala berlangsungnya HIJRAH ke kota Madinah itu?

Oleh yang demikian, menjadi tanggungjawab kita untuk bertindak bijak mengendalikan perbezaan-perbezaan kecil dan besar yang berlaku di antara agama.

KEPAHLAWANAN MENURUT ISLAM

Mungkin ada yang berkata, “mengapa kita sahaja yang harus berusaha secara positif? Tidakkah itu suatu perkara yang tidak adil? Kita kalah jika kita tidak bertindak balas?”

Perkataan-perkataan itu memang berbunyi pahlawan. Tetapi Islam mempunyai caranya yang tersendiri dalam memberikan maksud kepahlawanan.

Kembalilah kita kepada hadith Baginda s.a.w:

“Bukanlah dikatakan gagah itu orang yang kuat bergusti. Akan tetapi yang dikatakan gagah itu orang yang dapat memiliki (mengawal) dirinya ketika marah” [Muttafaq ‘alayh]

Pandangan ramai mungkin melihat juara bertumbuk dan bergaduh sebagai orang yang gagah.

Tetapi Rasulullah SAW menegaskan bahawa, kegagahan sebenar adalah pada keupayaan seseorang itu mengawal dirinya, terutamanya ketika marah. Marah boleh membuatkan seorang manusia bertindak menghancur binasakan dunia. Manusia yang mampu mengawal diri kita diri terbakar disambar api kemarahan, itulah manusia yang gagah.

Justeru Islam berani menawarkan bentuk penyelesaian yang luar biasa.

Jika kebanyakan manusia melihat kekerasan mesti ditumpaskan dengan kekerasan, Islam berformula sebaliknya. Kekerasan dan onar perlakuan manusia yang melampaui batas, memang boleh dikawal dengan kekerasan, tetapi ia hanya benar-benar tumpas apabila kita mendatangkan tindak balas yang lebih baik dan bijaksana.

Lupakah kita kepada janji-Nya:

Dan tidaklah sama (kesannya dan hukumNya) perbuatan Yang baik dan perbuatan Yang jahat. Tolaklah (kejahatan Yang ditujukan kepadamu) Dengan cara Yang lebih baik; apabila Engkau berlaku demikian maka orang Yang menaruh rasa permusuhan terhadapmu, Dengan serta merta akan menjadi seolah-olah seorang sahabat karib. [Fussilat : 34]

Jahat dibalas jahat, keras dibalas keras, sering menjadi seumpama batu dihentak dengan batu. Bukan sahaja salah satu atau keduanya pecah, bahkan turut menyalakan api yang membakar. Tetapi batu kalah dengan air.  Batu tenggelam ke dalam air. Batu juga akhirnya menjadi licin dan terbentuk oleh air yang lembut.

Hebatnya kuasa air.

Kerna itu Allah tidak memerintahkan kita agar perbuatan jahat yang dikenakan oleh orang jahat kepada kita, jangan dibalas dengan kejahatan. Sebaliknya Muslim harus bertindak dengan sesuatu yang lebih baik.

Bagaimana di suatu ketika seorang lelaki kafir bernama Dzu Thur datang kepada Rasulullah SAW yang sedang berbaring di bawah sepohon pokok. Dzu Tsur mengambil pedang baginda dan menghunuskannya ke leher Nabi sambil bertanya dengan ancaman, “siapakah lagi yang bisa menyelamatkan kamu?” Nabi menjawab, dengan lembut tetapi tegas, “ALLAH!”

Kata-kata yang penuh isi dan makna itu menyebabkan Dzu Thur gementar hingga terlepas pedang itu. Baginda SAW mengambil pedang tersebut dan menghunuskannya kepada Dzu Thur lalu memulangkan soalan yang sama, “siapakah lagi yang bisa menyelamatkan kamu?”

Dzu Thur terdiam.

Nabi bisa membalas dendam.

Tetapi Baginda memaafkannya. Dzu Thur pulang dengan hati yang berkecamuk terhadap kejadian luar biasa itu. Kemampuan Nabi SAW mengawal diri, tegas dalam kelembutan, dan mampu memberi maaf ketika mampu membalas dendam, telah menumpaskan sombong seorang kafir bernama Dzu Thur. Beliau akhirnya melafazkan Syahadah memeluk Islam.

Itulah kehebatan membalas kejahatan dengan kebaikan dan kebijakan.

Benar sekali janji Allah SWT di dalam ayat yang saya bacakan tadi:

Dan sifat Yang terpuji ini tidak dapat diterima dan diamalkan melainkan oleh orang-orang Yang bersikap sabar, dan tidak juga dapat diterima dan diamalkan melainkan oleh orang Yang mempunyai bahagian Yang besar dari kebahagiaan dunia dan akhirat. [Fussilat : 35]

Kehidupan ini mempunyai rahsianya yang tersendiri. Banyak perkara yang kita rasa pahit dan membencinya pada masa tertentu padahal ia manis pada masa yang lain. Banyak perkara yang kita rasa baik, ia buruk apabila berubah masa dan keadaan. Allah Maha Mengetahui apa yang bakal terjadi, apa yang sedang dan telah terjadi. Kita selalu tergopah-gapah menilai sesuatu keadaan. Sehingga kadang-kala kita berdoa hendak sesuatu, sedang Allah mengetahui ia tidak baik untuk kita. Allah menggantikan dengan perkara lain, kita mungkin tidak perasan atau sedar.

BERSAMA-SAMA KITA BERDOA


Sabda Nabi s.a.w :

« Sentiasa doa dimustajabkan untuk seorang hamba Allah selagi mana dia tidak berdoa untuk membuat sesuatu dosa, atau memutuskan silaturrahim, selagi dia tidak tergopah-gapah ». Ditanya baginda : « Apa itu tergopoh-gapah ? ». Sabda baginda : «Apabila dia berkata : aku telah pun berdoa ! aku telah pun berdoa !, tetapi aku tidak nampak pun dimustajabkan untukku, lalu dia berhenti ketika itu dan meninggalkan doa » (Riwayat Muslim).

Seseorang mungkin merasakan doa yang dikehendaki belum Allah mustajabkan, tetapi dia terlupa apa yang sedang dinikmatinya itu sudah mencapai harapannya. Maka, janganlah cepat kita berputus asa dengan rahmat Allah dan terus menghukum bahawa doa kita belum dimustajabkan.

Dukacita dan keperitan hidup menghapuskan dosa dan menaikkan darjat seseorang di sisi Allah. Ia juga membawa insan membanyakkan doa. Dalam detik menunggu kemustajaban doa, ramai yang kembali menjadi soleh, tunduk, tawaduk dan membanyakkan ibadah. Penangguhan doa mempunyai berbagai hikmah dalam kehidupan muslim. Dunia ini amat kerdil dan tidak dibandingkan dengan akhirat. Doa merupakan amalan yang membawa kebahagian insan di akhirat. Menanti kemustajaban doa dengan iman dan penuh tawakal merupakan tempoh yang menyebabkan banyak insan kembali menemui jalan Allah yang hakiki.

Marilah kita teruskan doa, baiki diri dan nilailah apa yang telah berikan kepada kita dalam kehidupan hari ini. Keperitan hari ini, mungkin kemanisan hari esok. Kemanisan hari ini, belum tentu kenikmatan hari esok. Maka, sentiasa bertawakal kepada Allah dan jangan putus asa berdoa kepadaNya.

Dan Bersabarlah (Wahai Muhammad terhadap perbuatan dan telatah golongan Yang ingkar itu); dan tiadalah berhasil kesabaranmu melainkan Dengan (memohon pertolongan) Allah; dan janganlah Engkau berdukacita terhadap kedegilan mereka, dan janganlah Engkau bersempit dada disebabkan tipu daya Yang mereka lakukan. [al-Nahl : 127]

Dengan sifat sabar itu, kita Insya Allah akan mampu mengekalkan kewarasan dan pertimbangan, dan itulah intipati TAQWA.

Dalam segala perbezaan yang berlaku di dalam aman dan kepayahan, Allah menegaskan di dalam ayat yang dinukilkan tadi:

Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang Yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan Yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha mendalam pengetahuannya (akan keadaan dan amalan kamu). [Al-Hujuraat : 13]

___________________________________________________________________________________________________________

© KHALIFAHGAYONG.COM (AKU DAN GAYONG)

Hak cipta terpelihara. Setiap artikel yang tersiar di Khalifahgayong.com dihasilkan untuk tujuan pendidikan dan bersifat non-komersil. Pembaca bebas menyalin dan menyebarkan artikel yang terdapat di sini, namun alamat Khalifahgayong.com hendaklah disertakan bersama untuk memudahkan proses rujukan. Manakala untuk penerbitan semula dan berorientasikan komersil, setiap bahagian daripada artikel ini tidak boleh diterbitkan semula, disimpan untuk pengeluaran atau dipindahkan dalam bentuk lain, sama ada dengan cara bercetak, elektronik, mekanikal, fotokopi, rakaman dan sebagainya, tanpa izin KHALIFAHGAYONG.COM terlebih dahulu.

“Aku Dan Gayong”

http://www.khalifahgayong.wordpress.com


Responses

  1. seluruh anak gayong semestinya berbangga memilik guru dan orang lama seperti pak andak majid dan rakan seperjuangannya.kalau nak di kira anak angkat,pak ndak juga anak angkat ADMAR,tapi ramai yang tidak jelas akan hal itu.di uji dan diuji.seperti kata waris amanah pn fadilah,cikgu majidlah orangnya yang sabar dan tekun melalui titian cabaran dalam gayong.sebak demi sebak yang terpacul dari wajah dan suara mereka di majlis tersebut,bukti betapa mereka sayang dan cintakan gayong,adat dan istiadatnya yang masih mereka pelihara dan jaga.apa bezanya antara waris amanah dan wakil amanah.jelas keikhlasan pak ndak memberitahu,dirinya hanyalah wakil,waris sebenar mestilah yang berhaq.adakah sesiapa yang berani mengaku atau bersaksi bahawa ADMAR mengatakan pak ndak majid derhaka?yang selalu di kata orang,ADMAR berbangga keran menjadi mahaguru kepada dua pertubuhan silat(pada masa dan ketika itu)marilah bersatu di bawah panji gayong(suara hati dari peminat gayong yg kerdil)

    • Bila baca komen LeLoh pun sudah sebak dan bergenang air mata…

      • Allah….Allah…Allah…
        bila mana manusia itu berdengki…berbusuk hati…maka berpaling2 lah semburan fitnah dan cerita2 tidak elok dari mereka….
        kembali lah semula kepada islam…hadirkan ikhlas dalam diri…bukan utk diri..kerana gayong adalah hak bersama….
        pada pendapat kerdil saya ni ustaz…jika semua orang ikhlas dalam perjuangkan gayong…tak ada berlaku hal gini…mmg sebab kepentingan diri jadinya begini..ya Allah..nauzubillah…=(

  2. salam ckgu nik, mjlis ni buat kt mane?

    • Wmslm…majlis di buat di rumah Dato Wan Fauzi

  3. kalaulh saya dpt hadir sama😥
    cg, uploadkan lg gambar2, x puas rasanya hanya menatap 2 keping gambar sahaja dlm post yang bersejarah ni

    • Insya Allah

  4. Apa yang dikatakan saudara leloh tu ada betulnya~anak gayong perlu mengambil iktibar dan bersatu hati dalam mempelajari dan mengembangkan ilmu silat seni gayong ini~ perlu faham dan hayati sejarah~bukan menghafal dan malu untuk bertanya~sedih rasanya bila sesetengah anak2 gayong sesuka hati ‘mencampakkan’ hukuman kepada sesetangah guru2 lama kononya mereka menderhaka~apabila d tegur dan d ceritakan kembali sejarah gayong~ada yang menganggap ia sebuah cerita dogengan.dengan menganggap ia adalah satu rekaan oleh pihak2 tertentu~ subahanallah~apa yang perlu kita lakukan sekarang adalah meyatukan kembali perpaduan gayong demi kebaikan generasi yang akan datang~tak rugi rasanya kalau ia terus d lakukan secara efektif dan berterusan demi perjuangan gayong bersama~ketepikan segala syak wasangka~hasad dengki dan dendam yang tidak tahu bila ia berkesudahan~inilah masanya untuk kita megorak langkah berganding bahu dalam menyatu dan berganding bahu dalam silat seni gayong~sebak rasanya bila melihat foto2 yang d ambil oleh anak2 gayong~orang2 lama gayong mampu duduk satu meja dan berbincang mengenai hala tuju dan merapatkan lagi ukhuwah silaturrahhim~~ini yang dikatakan perjuangan dan kenal serta faham apa yang mereka perjuang kan… wallahualam~~mohon maaf andai terkasar bahasa~

  5. Semoga kito bersatu. Walaupun xleh bersama. Ambo pun sero sekok sebok dale dada bilo tgk. Bilo la agaknya jemaah ambo pulok dapat join.

  6. Hah tulah che det duduk jauh nun di NZ nak buat cam na. Walaubagaimana pun, awal tahun depan kita sedang merangka perhimpunan Agong anak – anak gayong. Mungkin Nik, Leloh dan Jebat kita nak jemput untuk duduk sama – sama menjayakan program ini.

    Setuju tak. Kita buat lebih besar dari Perdana Gayong. Maklumat lanjut nik boleh e-mail kat saya. Sekian

  7. Untuk majlis ni kita dah war – warkan di mailing list PSSGM. Lagi pun perjumpaan tu lebih menumpukan kepada Pimpinan Gayong sahaja. Jika yang atas boleh semeja, boleh bersatu dan berganding bahu. Saya fikir yang bawah ikut aje…tak gitu.

  8. molek benarlah abe wan kancil.kecik tapak tangan nyiru kami tadahkan.kita bukan sapa sapa pun,hanya pengikut murid kepada pengikut murid yang mencintai gayong.

    • supo lah kito ni..ibarat kusina wok long duo pok dogol

  9. Assalamualaikum…
    saya adalah antara anak gayong yang melalui beberapa pertubuhan. saya pernah belajar dalam PSSGM kemudian belajar pula PSSPGM dan kemudian belajar pula di PSSGM dan disini sempat pula belajar dengan guru yang mengambil pelajaran gayong pasak singapura..sebenarnya kita semua adalah sama, sedarah sekendi, seperigi, dan saya sempat belajar dan grading di gelanggang pusat gurun banyak perkara kita perlu perjelaskan tentang kesilapan dan fitnah yang ditabur kepada pakndak majid. ramai org tak tahu.malah saya juga pernah diberitahu nama-nama org yang terlibat tapi ada yg dah meninggal ada juga yg hidup malas nak ingat nama2 mereka…semoga kita kembali bersatu paling tidak berkasih sayang antara satu sama lain.

    • Waalaikummussalam wbt..
      Terlebih dahulu saya mengucapkan terima kasih kerana sudi melawat blog saya yang tak seberapa ini dan sudi memberikan komen buat saya dan pembaca yang lain..
      Memang benar apa yang saudara KIAISEPUH katakan iaitu

      “semoga kita kembali bersatu paling tidak berkasih sayang antara satu sama lain.”

      Namun sebelum itu kita semua harus menegakkan kebenaran dan berani memperjuangkan keadilan. Buangkan saja pengkhianat dan individu yang tidak jujur dalam Gayong…Kembalikan Hak kepada yang BERHAK. Beranikah kita menegur Pimpinan Gayong sekarang…ada lagi kah semangat Jebat…

      Raja Adil Raja Disembah, Raja Zalim Raja Disanggah..

      Kita selaku anak Gayong harus bangkit menyatakan Kebenaran….Berkatalah Benar walaupun ianya Pahit dan sebesar-besar jihad ialah menyatakan perkara yang benar di depan PEMIMPIN.

  10. Usaha yg baik..insyaAllah satu masa gayong akan bersatu kembali….. ambo teringin nk tahu keputusan mesyuarat tu.. apekah langkah seterusnya??? ape peranan kite selaku anak gayong utk sokong usaha2 ini ?

    • Saya serahkan kepada Saudara saya Cg Azhar dan Cg Wan utk jelaskannya

  11. Keputusan rasmi belum keluar lagi tetapi secara dasarnya,

    1) Semua yang hadir bersetuju untuk bergabung tetapi dibawah pentadbiran masing – masing.

    2) Sebagai permulaan perpaduan itu dibentuk dengan terbentuknya Lembaga Waris Amanah (LWA) dimana setiap wakil pertubuhan mempunyai tempat tetap didalam lembaga ini. Tujuannya supaya kita satukan dahulu hal adat istiadat seperti pemberian sandang, wakil perlimau tapak dan wakil adat.

    3) Sebelum terbentuknya LWA terbentuk satu jawatan kuasa teknikal yang berbentuk ad-hoc di tubuhkan bagi menentukan siapakah yang patut duduk didalam LWA.

    Selebihnya kita senyapkan dahulu sehingga 1 – 3 dah terbentuk.

    W/a

    P/s – Saya bukan SU, SU ialah Cg Kamal Hassan dan Mesyuarat di pengerusikan oleh Datuk Wan dan kemudiannya di teruskan oleh YDP Serantau Tn Haji Suhaimi.

    • Terima Kasih Cikgu Wan kerana memberikan sedikit ulasan.

  12. GAGAH TIADA DALAM KUAT…TETAPI KUAT ADA DIDALAM GAGAH,,,,,,
    PERBEZAAN ANTARA SYAIDINA HAMZAH DAN SYAIDINA ALI
    (sebagai renungan fikirkanlah)

  13. sy stuju dgn perkara yg di atas bab ada dan istiadat, sandag bengkung, perlimau harus diselaraskan … jika ada berita terbaru harap dapat di sampaikan…

  14. banyak sungguh maklumat yang diperolehi dari blog ini..terima kasih dan tahniah di ucapkan..berbalik pada fitnah kepada pakndak majid pernah juga saya nyatakan kepada guru2 dan kawan2 di dalam gayong malaysia ada yang terkesima ada yang terkejut kebanyakkan mereka tak tahu. maka saya pun berkata ” sekarang kita dah tahu tak perlu lah heboh2 apa yang penting kita tahu keadaan sebenarnya malah pada kita yang dok bawak cerita yg bukan2 dulu kalau boleh pi la minta maaf kat pakndak yg masih hidup itu”

    org kita selalu cepat percaya tanpa usul periksa sama juga kisah bila ada org kata semasa hang tuah melarikan tun teja “hang tuah dah pakai dah tun teja” dah pakai? apa maksud cikgu maksudnya dah berzina mendengar ayatnya itu saya bagai mahu melompat terkejutnya bukan kepalang saya tak bersetuju. dia masih mahu memperatahankan hujahnya katanya ada dalam buku sejarah, saya pun bertanya kembali buku yang mana dan siapa yang tulis dia terdiam ah! ini mesti buku Inggeris jahanam yang tulis kata saya. Baik! apa kata kita balik pada Islam dalam hukum islam untuk sabit kesalahan mengenai jenayah zina kita mesti tanya ada 4 org saksi ada org melihatnya..melihat yg bagaimana melihat yg betul2 sebagaimana unta masuk ke dalam kandang sebagaimana benang masuk kedalam lubang jarum ada nampak? ada saksi? CiS! nampaknya tuan telah membuat fitnah…..

    • 😀

  15. setiap anak gayong perlu mengetahui sejarah dan perjuangan org2 lama untuk memupuk sikap cintakan seni silat itu sendiri dan khususnya orang MELAYU….namun mungkin disebabkan banyaknya hiburan pada zaman ini menyebabkan mereka tidak cenderung ke arah menjaga warisan bangsa mereka sendiri…begitu sedih memikirkan semula perbezaan anak melayu dahulu dan sekarang….bahkan bagi anak2 gayong..sumpah taat setia y dilafaz sewaktu perlimau tapak bkn sebarang sumpah y blh dimain-mainkan…kita bersumpah di depan al-quran….ingatlah…..

    • Benar sekali

  16. terima ksih krna b’kongsi…kalau boleyh sya ingin thu dgn lbih m’dlm lagi..sbagai org mlayu,,sya m’minti seni silt sejk kcil lg..hrp dpt kongsi lebih lag..


Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

Kategori

%d bloggers like this: