Posted by: abusyakirin | 9 November 2010

Yang Mana Penting Kuasa atau Pengaruh

Seseorang yang berpengaruh, menjadikan setiap manusia yang berhubung dengannya, terasa istimewa. Beliau melakukan MODELLING, MOTIVATING, MENTORING dan mudah-mudahan pengaruhnya berjaya menghasilkan MULTIPLYING.

Setiap manusia ada pengaruh. Pengaruh itu bermaksud, dirinya berhubung dengan seseorang dan hubungan itu memberi bekas. Ada yang memberi pengaruh positif, ada yang memberi pengaruh negatif. Tetapi jika kita mahu perlakuan dan perkataan kita memberi impak kepada orang lain, ia mesti datang dengan pengaruh.

Soal PENGARUH inilah yang sukar untuk dilihat kepentingannya oleh kita, dalam konteks kehidupan yang luas ini.

KEPIMPINAN DAN PENGARUH

Saya pinjam huraian yang dibuat oleh John C. Maxwell di dalam bukunya Becoming A Person of Influence. Apa yang dipaparkan ini adalah berkaitan dengan soal kepimpinan. Kepimpinan adalah salah satu cara mengaplikasikan pengaruh.

Kepimpinan yang paling lemah, adalah kepimpinan yang bergantung kepada kuasa dan jawatan.

Ada kedudukan, ada jawatan baru boleh memimpin. Ini adalah pemimpin yang paling lemah. Seorang pemimpin yang seperti ini sentiasa berada di dalam keadaan tidak tenteram dan tidak selamat. Beliau akan menggunakan sepenuh keupayaan yang ada untuk mempertahankan kedudukannya, lebih daripada usaha membangunkan dirinya sebagai seorang pemimpin.

Kepimpinan yang bergantung kepada jawatan dan kedudukan ini, boleh melanda kepimpinan semuda kepimpinan di sekolah, Gelanggang,Pertubuhan dan sampailah kepada kepimpinan di sebuah kerajaan dan negara.

PERINGKAT KEPIMPINAN

Kepimpinan lazim bermula dengan kedudukan dan jawatan (POSITION). Jawatan dan kuasa, adalah lesen yang memudahkan laluan seseorang berperanan. Akan tetapi, lesen itu hanya pengiktirafan kepada kualiti asasnya sebagai ketua dan pemimpin. Justeru ia mestilah ditingkatkan ke tahap yang lebih tinggi. Apabila seorang ketua berjaya memperlihatkan bibit-bibit kewibawaan pada dirinya, maka pengikut akan mula membenarkan diri mereka dipimpin dan diterajui oleh ketua tersebut. Inilah yang dimaksudkan dengan tahap PERMISSION.

Di sini, mungkin pengikut akan membenarkan seorang ketua melaksanakan lebih dari skop kerjanya semata-mata. Pengikutnya akan bertanya lebih dari soal kerja, meminta pandangan tentang satu dua masalah peribadi, dan membolehkan kumpulan atau organisasi tersebut maju setahap lagi ke peringkat PRODUCTION.

Kerjasama yang meningkat di antara seorang pemimpin dengan mereka yang dipimpin, akan membolehkan mereka bersinergi. Dengan cara ini, hasil kerja mereka akan jadi lebih PRODUKTIF.

Dalam suasana yang seperti ini, seorang pemimpin itu mungkin selesa bekerja dengan pengikutnya. Tetapi kehilangannya mungkin tidaklah begitu dirasakan. Mengeluh sehari, dan cepat mencari pengganti. Mungkin ramai ADUN yang menerima nasib begini. Kubur masih merah, orang dah berpesta mencari pengganti.

Tetapi jika seorang pemimpin yang sudah elok bergaul dengan pengikutnya, berjaya memberikan impak dan mengubah kehidupan pengikutnya kepada yang lebih baik, maka kepimpinannya sudah naik ke tahap yang keempat iaitu PEOPLE DEVELOPMENT. Pemimpin di tahap ini akan membantu pengikutnya membangunkan potensi diri.

Akan tetapi, seorang pemimpin yang benar-benar cemerlang adalah pemimpin yang berjaya sampai ke peringkat kelima. Kepimpinannya bukan hanya memberikan kesan kepada soal taraf kehidupan pengikut, atau kejayaan karier mereka, malah berjaya membentuk pengikutnya menjadi insan yang cemerlang, hasil pengaruh dirinya sendiri ke atas mereka yang dipimpin (PERSONHOOD). Ia sukar untuk dicapai, kecuali selepas seseorang itu menghabiskan seluruh umurnya untuk membangunkan manusia mencapai potensi terbaik mereka.

Inilah ukuran yang mendorong Michael H. Hart meletakkan Nabi Muhammad S.A.W di tempat pertama dalam senarai 100 orang paling berpengaruh dalam sejarah manusia, mengalahkan Isaac Newton dan Jesus Christ sendiri. Bukunya The 100: A Ranking Of The Most Influential Persons In History, memperkatakan soal PENGARUH, dan faktor inilah yang menjadikan kehidupan seseorang itu sangat signifikan kepada manusia yang lain.

Baginda S.A.W. adalah insan yang berpengaruh, sebelum baginda diberi Kenabian, sebelum beroleh kuasa dan kerajaan. Pengaruh baginda S.A.W. adalah pada kualiti dirinya. Kualiti Al-Amin, kualiti integriti dan kualiti kompetensi.

SIRAH PENGARUH DAN KUASA

Lihat sahaja sirah Baginda SAW semasa di Mekah. Ketika kabilah-kabilah Arab berbalah tentang kelayakan untuk meletakkan kembali Hajar al-Aswad ke Kaabah, mereka akhirnya mencari seorang anak muda yang tidak berjawatan KETUA PEMUDA, tetapi PEMUDA yang berkualiti KETUA, iaitu Muhammad SAW. Biar pun tanpa jawatan dan kedudukan, pengaruh Baginda sudah sedia terserlah, dek kualiti yang ada pada dirinya.

Malah Muhammad SAW yang tidak berjawatan itu, menggelisahkan seluruh pembesar Mekah yang ada jawatan dan kuasa. Kepimpinan dengan pengaruh hasil kualiti, mengancam seluruh jawatan dan kuasa yang cuba dipertahankan tanpa kualiti kepimpinan.

Kerana itu, Madinah terus memacu kejayaan, apabila kepimpinan Rasulullah SAW yang berteraskan pengaruh itu, dilengkapkan dengan kuasa dan kedudukan!

Untuk memimpin dengan pengaruh, seseorang itu akan menumpukan perhatian kepada membangunkan kualiti dirinya sebagai aset terbesar dalam kepimpinannya. Dia akan terus menjadi pusat, sama ada dengan jawatan, atau tanpa jawatan. Jatuh naiknya kepimpinan beliau tidak bergantung pada kemenangan pertandingan dan kekuatan lobi orang lain untuk dirinya. Pengaruh bukanlah sesuatu yang dicari. Apabila kualiti diri dibangunkan, pengaruh datang sendiri.

“PENGARUH BUKANLAH SESUATU YANG DICARI. APABILA KUALITI DIRI DIBANGUNKAN, PENGARUH DATANG SENDIRI”

Ciri-ciri inilah yang mesti dibangunkan oleh setiap kita sebagai seorang individu Muslim & ahli Gayong yang cemerlang.

Seseorang yang berpengaruh, menjadikan setiap manusia yang berhubung dengannya, terasa istimewa. Beliau melakukan MODELLING, MOTIVATING, MENTORING dan mudah-mudahan pengaruhnya berjaya menghasilkan MULTIPLYING.

Mereka yang berpengaruh, mereka itulah yang menguasai. Mereka yang berkuasa, belum tentu berjaya mempengaruhi.

______________________________________________________________________________________________

© KHALIFAHGAYONG.COM (AKU DAN GAYONG)

Hak cipta terpelihara. Setiap artikel yang tersiar di Khalifahgayong.com dihasilkan untuk tujuan pendidikan dan bersifat non-komersil. Pembaca bebas menyalin dan menyebarkan artikel yang terdapat di sini, namun alamat Khalifahgayong.com hendaklah disertakan bersama untuk memudahkan proses rujukan. Manakala untuk penerbitan semula dan berorientasikan komersil, setiap bahagian daripada artikel ini tidak boleh diterbitkan semula, disimpan untuk pengeluaran atau dipindahkan dalam bentuk lain, sama ada dengan cara bercetak, elektronik, mekanikal, fotokopi, rakaman dan sebagainya, tanpa izin KHALIFAHGAYONG.COM terlebih dahulu.

“Aku Dan Gayong”

http://www.khalifahgayong.wordpress.com

 


Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

Kategori

%d bloggers like this: