Posted by: abusyakirin | 20 Mei 2011

Nabi Khaidir

Salamun alaik,

Tatkala Musa dan pembantunya melepasi (majma’ Bahrain) tempat pertemuan 2 laut, Musa berkata kepada pemudanya: “datangkan makan tengahari kita sesungguhnya kita telah ditimpa kepenatan akibat perjalanan kita ini.” Iaitu perjalanan yang telah merentasi had yang sepatutnya sedangkan perjalanan mencari Khaidir itu tidaklah penat, akan tetapi tatkala Musa sudah terlepas dari tempat yang sepatutnya maka dia merasakan kepenatan itu. Maka berkatalah pembantunya kapada Musa: “tahukah engkau tatkala kita berhenti rehat waktu malam berhampiran satu batu itu, aku sebenarnya telah terlupa perihal ikan(ikan yang menjadi tanda untuk pertemuan Musa dan Khaidir itu telah hidup melompat ke laut dan meninggal kesan lubang pada laut itu) dan hanyasanya aku ini dilupakan oleh syaitan. Maka Musa menjawab, itulah tempat yang kita mahukan lantas kedua-duanya berpatah balik ketempat tersebut. Bertemulah Musa dengan salah satu di antara hamba kami iaitu Khaidir yang merupakan seorang hamba soleh dan dia bukanlah seorang Nabi menurut pendapat yang soheh. (kami (Allah) kurniakan kapada beliau (khaidir) rahmat dari sisi kami) iaitu rahmat Allah yang khas kepadanya dan ditambahkan lagi dgn ilmu dan amal berpandukan ayat “dan kami ajarkan kepadanya ilmu dari sisi kami”.

Khaidir dikurniakan ilmu yang tidak ada pada Musa sekalipun sebenarnya musa lebih banyak ilmu berbanding khaidir dari banyak sudut. Khasnya ilmu-ilmu keimanan dan usul agama kerana Musa adalah salah seorang ulul azmi yang dikurniakan dengan kelebihan yang banyak berbanding hamba-hamba Allah yang lain. Maka tatkala bertemu, Musa berkata dengan penuh adab dalam bentuk perbincangan serta menyatakan hasrat hatinya itu: ” bolehkah aku mengikutimu supaya engkau dapat mengajariku ilmu yang benar diantara ilmu-ilmu yang telah diajarkan kepadamu itu?” Dan Khaidir ini telah dikurniakan ilham dan juga karamah yang mana dengannya beliau dapat mengetahui perkara-perkara yang terlindung dan tersembunyi hakikatnya oleh manusia sekalipun keatas Musa. Khaidir menjawab:” aku tak larang niatmu itu tapi,,kamu tak mampu bersabar sekiranya bersama aku”. Kerana engkau belum tentu dapat bersabar jika melihat perkara yang pada pandangan zahirmu adalah mungkar sedangkan hakikatnya tidak. Sebab itulah Musa menjawab:” dan bagaimana kamu dapat bersabar diatas sesuatu yang belum cukup sempurna pengetahuannya tentang hal tersebut?” Musa berkata lagi: ” insyaallah engkau akan dapati aku ini sabar dan aku takkan menentang kamu dalam apa-apa urusanpun.” Ini merupakan azam sebelum berlaku sesuatu yang menjadi ujian kepada Musa, keazaman adalah lain dan wujudnya sabar adalah perkara lain. Sebab itu Musa tidak dapat bersabar ketika berlaku kisah-kisah yang tersebut. Tatkala itu berkata khaidir kepada Musa: “jika kamu ikut aku jangan kamu bertanya kepadaku sesuatu perkarapun (maknanya diam sahaja) sehinggalah aku sendiri menerangkan kepadamu.”

Maka bertolaklah keduanya sehingga menaiki sampan, lalu khaidir mencabut sekeping papan perahu tersebut -dengan sengaja dan nanti dia akan menerangkan kepada Musa tetapi Musa tidak bersabar lantas mengingkari dengan katanya-“mengapakah kamu merosakkan sampan ini yang akan meneggelamkan penumpangnya? Sesungguhya kamu telah melakukan kesalahan yang besar!” maka Khaidir menjawab: “bukankah telahku katakan bahawa kamu tidak akan dapat bersabar ketika bersamaku?” iaitu telah berlaku apa yang aku duga terhadapmu seperti yang aku sebut, dalam hal ini Musa terlupa maka dia menjawab:” janganlah kamu hukum aku kerana kelupaanku dan janganlah kamu membebani aku dengan sesuatu kesulitan dalam urusan.” Iaitu janganlah kamu ambil kira kesalahanku tadi dan maafkanlah aku sebab telah terlupa, harapnya engkau tidak ambil kira kesilapan pertama aku. Musa menyertakan sekali antara pengakuan silapnya dan minta maafnya, dan sesungguhnya wahai Khaidir tak sepatutnya engkau bertegas dengan sahabatmu ini, maka Khaidirpun memaafkan.

“Bergeraklah mereka berdua sehingga mereka bertemu dengan seorang anak kecil lantas Khaidir membunuhnya “. -bilamana Musa melihat hal itu bertambahlah kemarahannya dan sensitiviti agamanya melonjak ketika Khaidir membunuh anak kecil yang tidak berdosa itu lantas berkata-: “mengapakah kamu membunuh jiwa yang suci sedangkan dia tidak membunuh orang lain? Sesungguhnya kamu telah melakukan sesuatu yang mungkar!”. Kes pertama adalah kerana Musa terlupa adapun pada kali ini beliau tidak dapat bersabar. Maka berkatalah Khaidir menyangkal dan mengingati Musa dengan apa yang disebut Musa itu:” bukankah sudahku katakan padamu bahawa kamu sesungguhnya tidak akan dapat bersabar bersamaku!”.

Musapun berkata kepada Khaidir:” baiklah, jika aku bertanya kepadamu tentang sesuatu perkara selepas ini, maka jangan kamu benarkan aku menemanimu sesungguhnya aku sudah cukup memberikan uzur padamu.” Iaitu engkau telah memberi uzur yang banyak kepadaku dan engkau tidak berbuat kekurangan dalam dalam soal ini”. Maka berjalanlah lagi mereka berdua, hinggalah sampai ke satu kampong lantas mereka meminta kepada penduduk tersebut untuk menjadi tetamu dan diberikan makanan, tetapi penduduk tersebut menolak permintaan mereka. Kemudia mereka berdua mendapati satu tembok dinding rumah di kampong itu hampir roboh, lantas Khaidirpun menegakkan dan membina semula tembok dinding tersebut. Lalu Musa berkata: “jika kamu mahu, sudah pasti kamu mendapat upah dari pekerjaan itu”. Iaitu penduduk kampong tidak mahu menjamu kita sedangkan apa yang kamu lakukan ini adalah kewajiban mereka, sementara kamu pula membina tembok ini tanpa mendapat apa-apa upahpun! Ketika itulah Khaidir meminta izin dari Musa untuk berpisah dan beliau berkata: “inilah perpisahan antara aku dan kamu, dan aku akan memberitahu kamu tentang maksud tujuan dari perbuatan-perbuatan yang kamu tidak dapat bersabar itu.” Iaitu aku akan beritahu kamu akan apa yang kamu protes terhadapku dan tujuan disebalik perbuatanku itu serta penghujung kisah kepada perkara-perkara tersebut.

“Adapun bahtera yang aku rosakkan itu, ianya merupakan milik orang-orang miskin yang berkerja di laut dan aku sengaja merosakkan bahtera itu kerana di hadapan mereka ada seorang raja yang merampas setiap bahtera”. Iaitu mereka akan lalu di hadapan raja yang zalim yang pasti akan merampas setiap behtera yang elok secara zalim maka aku mahu merosakkan bahtera itu supaya ada keaibannya, yang dengan itu akan selamatlah dari dirampas raja yang zalim”. Adapun anak kecil yang aku bunuh itu, kedua ibubapanya adalah mukmin dan kami khuatir anak tersebut akan mendorong ibubapanya kepada kesesatan dan kekafiran.” Anak kecil itu telah ditakdirkan bahwa jika sampai akil baligh maka dia akan menyebabkan kepada kekafiran dan kemaksiatan ibubapanya samada disebabkan oleh kecintaan ibubapanya terhadap anak itu ataupun disebabkan oleh hajat dan keperluan ibubapa terhadap anak tersebut. Iaitu aku bunuh anak itu kerana aku mendapat pengetahuan akan perkara itu. Untuk menyelamatkan agama ibubapanya maka aku bunuh dia, apakah faedah dan maslahah yang lebih besar dari apa yang aku lakukan? Sekalipun apa yang aku lakukan itu menyakiti ibubapanya dan memutuskan zuriat mereka sesungguhnya Allah akan mengurniakan zuriat yang lebih baik dari anak kecil tersebut. Kerana itu Khaidir berkata: “maka kami menghendaki supaya tuhan menggantikan bagi mereka zuriat yang lebih baik dari anak itu dan lebih dalam kasih sayangnya terhadap ibubapanya” iaitu anak yang soleh, cerdik dan menyambung silaturrahim. Sesungguhnya anak yang dibunuh itu jika telah baligh maka dia akan menderhakai ibubapanya dengan dahsyatnya iaitu dengan membawa mereka kearah kekufuran dan perkara-perkara Toghut”.

Adapun tembok dinding yang aku bangunkan atau bina itu ianya adalah milik dua kanak-kanak yatim dikota tersebut. Dibawahnya ada harta benda simpanan bagi mereka, sementara ayahnya adalah seorang yang soleh”. Iaitu hal keadaan dua anak itu menyebabkan aku mengasihani dan kasihkan mereka, disebabkan mereka yang masih kecil dan tidak punya ibubapa dan Allah juga memelihara mereka dengan kebaikan ibubapa mereka. “Maka tuhan kamu (Allah) menghendaki agar mereka berdua sampai kepada kedewasaan mereka dan mengeluarkan harta simpanan itu sebagai rahmat dari tuhan kamu”. Iaitu apa yang aku lakukan ini merupakan rahmat daripada Allah, dengan cara Allah mengutuskan hambanya (Khaidir). “Dan bukanlah aku lakukan itu mengikut kemahuanku”. Iaitu aku tidak lakukan ini semua mengikut hawa nafsuku bahkan ianya merupakan rahmat Allah dan perintahnya. “yang demikian itu” Iaitu apa yang aku tafsirkan kepadamu itu, “takwilan kepada maksud apa yang engkau tidak mampu bersabar terhadapnya”

IBRAH

Di dalam kisah yang amat pelik dan agung ini terdapat banyak faedah dan hukum-hakam yang sangat banyak. Antaranya ialah :

1)kelebihan ilmu, bermusafir untuk menuntut ilmu, ianya merupakan perkara yang amat penting. Sesungguhnya Musa alaihissalam telah bermusafir dengan jarak yang jarak bersama penatlelah dalam perjalanannya dan meninggalkan majlis-majlis Bani Israil untuk mengajar dan menyampaikan petunjuk dengan memilih bermusafir bagi menambahkan ilmunya.

2)Antara faedah lain ialah; memulakan atau mendahulukan perkara paling penting keatas perkara yang penting. Sesungguhnya menambahkan ilmu lebih penting dari mengajari manusia ilmu tanpa ada penambah ilmu, tetapi menggabungkan kedua-duanya adalah lebih sempurna.

3)Antara faedah lain; boleh mengambil pembantu samada ketika bermukim mahupun bermusafir untuk mendapatkan bantuannya bagi mendapatkan kerehatan seperti yang dilakukan oleh Musa.

4)Seseorang yang bermusafir untuk ilmu, jihad mahupun lain-lainnya jika dia mendapati maslahat dengan memberitahu maksud perjalanannya, maka ianya lebih sempurna berbanding menyembunyikan maksud. Dengan memberitahu maksud dan tujuannya ia dapat bersedia dan mendatangi sesuatu dengan keilmuan selain memperzahirkan kemulian dari ibadah yang suci ini(menuntut ilmu). Sepertimana Musa berkata;”aku tidak akan berhenti berehat dalam perjalanan ini sebelum sampai ke satu tempat pertemuan antara dua laut atau aku akan berjalan bertahun-tahun.” Demikian juga sepertimana yang dilakukan oleh Nabi bilamana pergi ke medan perang Tabuk, sekira-kira baginda memberitahu sahabat-sahabatnya dengan jelas tentang maksud pemergian mereka ke Tabuk sedangkan kelaziman baginda adalah merahsiakan maksud.

5)Menyandarkan keburukan dan sebab-sebabnya kepada syaitan dalam bentuk perhiasan yang mempesonakan, sekalipun semua perkara di bawah qado’ dan qadar Allah. Berpandukan kepada kata-kata pemuda kepada Musa; “dan aku tidaklah terlupa kecuali syaitan adalah sebab yang menghalangiku dari mengingatinya”

6)Harus memberitahu manusia apa yang dirasai oleh tabiat dirinya seperti rasa penat, lapar atau haus, sekiranya ia tidak membawa kepada kemarahan dan dia berkata benar. Berpandukan kata-kata Musa; “Sesungguhnya kita telah kepenatan akibat perjalanan kita ini.

7)Dituntut pembantu itu adalah seorang yang cerdik dan bijak supaya urusannya menjadi sempurna menurut kemahuannya.

8)Dituntut seseorang itu memberikan makanan kepada pembantunya seperti apa yang dimakan dan makan bersama-sama.

9)Pertolongan(mau’nah) diturunkan kepada hamba Allah mengikut kadar ketaatannya terhadap apa yang diperintahkan Allah. Orang yang mendapat taufik dalam melaksanakan suruhan Allah akan dibantu lebih berbanding orang-orang yang lain.

10)Hamba yang ditemui oleh Musa bukanlah seorang Nabi, bahkan beliau merupakan hamba soleh kerana dia (Khaidir) disifatkan dengan penghambaan. Khaidir juga menyebutkan nikmat Allah keatasnya dengan rahmat dan juga ilmu, tidak disebutkan perutusannya dan tidak juga keNabiaannya. Jika beliau seorang Nabi sudah pasti dinyatakan sebagaimana dinyatakan keNabian para Nabi yang lain.

11)Beradab dengan guru dan berbicara dengan penuh sopan santun.

12)Sifat Tawadu’; iaitu sikap merendah diri seorang yang lebih alim dengan orang yang rendah tarafnya, sesungguhnya Musa tanpa diragui lebih afdhal berbanding Khaidir.

13)Suruhan supaya bertenang (tidak tergesa-gesa) dan mendapat kepastian, kemudian tidak tergopoh-gopoh menghukum keatas sesuatu sehinggalah dia mengetahui apakah tujuan dari yang dimaksudkan.

Banyak lagi faedah-faedah ayat yang disebutkan oleh pengarang Rahimahullah, beliau telah menyebutkan 26 faedah ilmiah dari kisah ini, tetapi ana hanya sekadar mengambil 13 faedah sahaja kerana kesuntukan masa. Wallahu a’lam.

Masih hidupkah Khaidir?

Antara persoalan yang sering ditimbulkan; masih hidupkah Khaidir sehingga hari ini? Selain dari khilaf ulama adakah beliau seorang Nabi atau tidak? Dalam kitab tafsir yang muktabar dan dalam hadis-hadis yang boleh dijadikan hujah, belum lagi kedapatan nas sahih serta nyata bahawa Khaidir masih hidup. Dalam al-Quran, surah anbiya’ ayat 34, Allah berfirman mafhumnya: “Dan Kami tidak menjadikan seseorang manusia sebelummu dapat hidup kekal (di dunia). Maka jika engkau meninggal dunia (wahai Muhammad), adakah mereka akan hidup selama-lamanya”? “Tiap-tiap diri (yang bernyawa) akan merasai mati, dan Kami menguji kamu dengan kesusahan dan kesenangan sebagai cubaan dan kepada Kamilah kamu semua akan dikembalikan.” (Surah al-Anbiya, ayat 34-35)

Imam ibnu Kathir menyebut dalam tafsirnya; “sebahagian ulama telah menjadikan ayat ini dalil bahawa Khaidir Alaihissalam telah wafat dan beliau tidak hidup lagi hingga sekarang, kerana beliau hanyalah manusia samada beliau seorang wali, nabi ataupun rasul, sesungguhnya Allah Ta’ala telah berfirman yang bermaksud: “dan kami tidak jadikan seorang manusiapun sebelum kamu (Muhammad) yang dapat hidup kekal”. 

Atas hujah dan alasan bahawa Khaidir seorang Nabi, maka tentulah yang lebih utama untuk hidup kekal ialah Nabi Muhammad s.a.w. kerana baginda adalah Nabi dan Rasul akhir zaman, tiada Nabi lagi selepasnya. Sekiranya Khaidir masih hidup, mengapakah beliau tidak bersama-sama Nabi Muhammad ketika berdakwah di Mekah dan Madinah? Mengapakah beliau tidak ikut serta dalam peperangan Badar yang turut disertai oleh Malaikat? Mengapakah beliau tidak bersama baginda ketika Bai’ah ar-Ridwan? Mengapakah beliau tidak tampil kekhalayak menerangkan kepada sahabat-sahabat Nabi bahawa Muhammad telah wafat? Dan begitulah seterusnya lain-lain persoalan yang mempertikaikan hidupnya Khaidir sehingga hari ini.

 __________________________________________________________________________

© KHALIFAHGAYONG.COM (AKU DAN GAYONG)

Hak cipta terpelihara. Setiap artikel yang tersiar di Khalifahgayong.com dihasilkan untuk tujuan pendidikan dan bersifat non-komersil. Pembaca bebas menyalin dan menyebarkan artikel yang terdapat di sini, namun alamat Khalifahgayong.com hendaklah disertakan bersama untuk memudahkan proses rujukan. Manakala untuk penerbitan semula dan berorientasikan komersil, setiap bahagian daripada artikel ini tidak boleh diterbitkan semula, disimpan untuk pengeluaran atau dipindahkan dalam bentuk lain, sama ada dengan cara bercetak, elektronik, mekanikal, fotokopi, rakaman dan sebagainya, tanpa izin KHALIFAHGAYONG.COM terlebih dahulu.

“Aku Dan Gayong”

http://www.khalifahgayong.wordpress.com

Bolehkan berlaku bahawa masih kedapatan Nabi yang masih hidup selepas kewafatan Nabi Muhammad s.a.w.? Jawapannya tidak kecuali Nabi itu adalah Nabi Isa berdasarkan kepada maklumat soheh dari hadis baginda. Atas alasan sedemikian, Nabi Khaidir memang wujud, tetapi telahpun wafat. Waalhua’lam.


Responses

  1. Saya amat berminat dgn sgl artikel dalam lmn ini…..izinkan saya utk membuat rujukan dgn artikel ini…

    • Silakan..kalau ada yang salah harap diperbetulkan

  2. Kisah Nabi Khidir a.s. memang seringkan diperkatakan orang dan juga dipertikaikan. Secara peribadi saya percaya Allah masih memanjangkan usia baginda hingga ke Hari Kiamat. Banyak kisah yang saya dengar mengenai orang-orang tertentu yang dipertemukan dengan Nabi Khidir di malam Lailatul Qadr dengan izin Allah Taala jua. Termasuk juga guru saya almarhum Habib Shamsuddin. Wallahualambissawab….

  3. tidak harus khaidir ikut dalam nabi muhammad. masing-masing sudah ditetapkan Allah tetapi tentu syari’at yg dipakai khaidir setelah muhammad di angkat menjadi tentu syari’at yg dibawa nabi muhammad.
    banyak rahasia dibalik rahasia Allah yg kita sebagai hamba-Nya jauh dari pengetahuan itu.
    hanya orang-orang tertentu yg Allah pilih menjadi wali yg mengetahui itu dan mereka bekerja dibelakang layar memperjuangkan kalimat syahadah tanpa perlu ada makhluk pun mengetahui kecuali hanya Allah, Rasul-Nya dan para wali yg mengetahui hal tersebut.
    seandainya Allah sudah mematikan para wali-Nya maka tiada alasan Allah tetap mengadakan Dunia ini, karena diketahui, banyaklah orang mungkar sekarang kepada Allah daripada orang-orang yg benar mukhlis kepada Allah.
    sebagai penutup, semuanya berpulang kepada diri sendiri, apakah diri ini yg mau, apakah bertujuan kepada Allah atau menjadi musuh Allah dan Rasul-Nya.
    akhir kata, semoga kita dibukakan kebenaran oleh Allah sebenarnya dan Allah menjaga dan menjauhi diri kita dari kesesatan-Nya.


Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

Kategori

%d bloggers like this: