Posted by: abusyakirin | 19 Januari 2012

Mengambil Alih Tugas Malaikat Atid

Mereka Boleh bersama..Berat sama dipikul ringan sama di jinjing...kita pula bagaimana.

Salamun alaik,

Seminggu dua ni sibuk sungguh berforum di Group Guru Gayong Bersatu dan Gayong Bercantum..macam-macam pandangan dan pendapat di keluarkan. Tapi ramai yang tidak memahami apakah Pendapat dan Nasihat yang sebenarnya. Bagaimana menegur dan berhujah..

Benda biasa terkadang orang lain cakap pasal kita kat belakang, terkadang kita cakap pasal orang lain kat belakang. maka mesti terima fitrah manusia begitu. sepertimana kamu mahu manusia dapat menerima diri kamu, maka begitulah juga kamu perlu menerima diri mereka. hidup saling memahami antara satu sama lain…fahamilah!!

Teguran dan nasihat bukan matlamat tetapi wasilah, matlamat yang menegur dan memberi nasihat ialah keredhaan Allah. Tetapi apalah gunanya jika nasihat dan teguran yang diberikan hanya membawa kemurkaan Allah ?Jadi pastikan teguran dan nasihat itu membawa keredhaan Allah bukan kemurkaan…apa caranya ? Jawapannya ialah fiqh !Ramai seronok nak menegur tapi tak ramai bertanggungjawab dengan apa yang ditegur !

Pendapat kita apalah nilainya ? Amalan kita tidak banyak dan ilmu kita pula hanya sejengkal, jadi berpadalah dalam mempertahankan pendapat !Pendapat kita, apalah yang hebat sangat dengan pendapat kita ? Al-Quran pun tak pernah habis khatam seminggu sekali, hadith rasulullah pun tidak sampai seribu buah yang kita pernah baca tiba-tiba dalam urusan ad-deen dan agama Allah yang amat berat amanahnya itu kita menjadi begitu berani dan tidak malu untuk berfatwa dan memberikan pendapat sesuka hati. Takutlah kepada Allah dan simpanlah pendapat kita kecuali jika kita berani untuk dipertanggungjawabkan… 

nasihat bukan pendapat..pendapat  adalah idea, manakala nasihat adalah  tindakan.

Nasihat itu tugas agama, kita berikan nasihat tidak sama dengan berikan pendapat….nasihat ialah apa yang jelas dari Al-quran dan as-sunnah. Pendapat ialah apa yang kabur-kabur atau kefahaman kita sendiri…Ada dua buah hadith untuk difikirkan sebelum memberikan pendapat pada orang lain. Hadith pertama yang dikeluarkan oleh Imam Bukhari, berkenaan seorang hamba yang mengucapkan suatu perkataan yang padanya dianggap remeh tetapi Allah memasukkan dia ke dalam neraka jahannam. Manakala hadith kedua pula ialah dari riwayat Jabir ra dalam sunan abu Daud berkenaan seorang lelaki yang meminta pendapat berkenaan mandi wajib kerana dia mimpi basah namun dalam masa yang sama dia mengalami lupa parah di kepala. Kerana pendapat orang-orang yang tidak mengerti menyebabkan sahabat ini akhirnya mati. Nabi Salallahualaihiwassalam memarahi orang-orang yang memberikan pendapat kerana tidak bertanya disebabkan kejahilan mereka telah membunuh lelaki tersebut.

Pengajarannya, pendapat ini bukanlah urusan ringan. Yang memberi harus berani bertanggungjawab atas kesan pendapatnya !

IBRAH PERANG JAMAL

Jika kuasa-kuasa dunia yang berbagai; Amerika, Eropah, Rusia dan selain mereka boleh duduk semeja –sekalipun berbeza aliran- untuk menentukan masa depan umat Islam dan negara-negara Arab, mengapa pula kita tidak mampu?

Jika mereka yang mempunyai hasrat buruk untuk melanyak Umat Islam sanggup melupai perbezaan antara mereka, apakah kita umat Islam tidak dapat melupai perbezaan antara kita buat seketika demi memastikan masa depan umat Islam dalam negara ini selamat dan terjamin?!. Saya yakin pemimpin-pemimpin mana-mana Pertubuhan atau kelab Silat Seni Gayong lebih tangkas dan tulus dalam memikirkan hal ini.

Kita tahu ada pihak yang mula gusar dan mencemburui pertemuan antara pimpinan PSSGM dan PSSPGM. Justeru, bersama kita semua kembali membelek-belek catatan sejarah yang mengheret umat Islam bertempur sesama sendiri dalam Peperangan Jamal. Peperangan yang disebabkan oleh peristiwa pembunuhan Khalifah ‘Uthman bin ‘Affan r.a. Peperangan yang setiap kali kita mengenangnya, kita akan mengalirkan airmata kekesalan. Cuma kisah bukan Syiah yang hidup dalam nostalgia lama dan enggan keluar daripadanya.

Kita bersedih atas Peperangan Jamal kerana menyebabkan dua pasukan tokoh agung umat iaitu Saidina ‘Ali r.a. dan Ummul Mukminin Saidatina ‘Aishah r.a. bertempur antara satu sama lain. Ia telah menyebabkan wajah sejarah kegemilangan sahabah terguris disebabkan peristiwa yang tidak pernah mereka ingini itu.

Dalam peperangan tersebut juga, dua tokoh besar sahabah yang dijamin syurga oleh Nabi s.a.w iaitu Talhah bin ‘Ubaidillah r.a. dan al-Zubair ibn al-Awwam r.a. berada di pihak ‘Aishah r.ha. Sebelum trajedi yang mengheret peperangan itu berlaku Saidina `Ali telah menghantar wakilnya al-Qa’qa’ bin `Amr bertemu dengan `Aishah dan bertanya tujuan kedatangannya.

Kata al-Qa’qa’: 

“Wahai ibu! Apakah yang menyebabkan engkau hadir ke sini?”. Jawab `Aisyah: “Wahai anakku! Kerana inginkan perdamaian di kalangan manusia”. Lalu al-Qa’qa’ meminta Talhah dan Zubair hadir, lalu berkata: “Sesungguhnya aku telah bertanya Ummul Mukminin tentang tujuan kedatangannya, beliau menyatakan bahawa tujuannya adalah untuk perdamaian antara manusia”.

Jawab Talhah dan Zubair: “Kami juga demikian”. Kata al-Qa’qa’: “Beritahulah aku apakah cara perdamaian itu dan bagaimana ia boleh dilaksanakan. Demi Allah! Sekiranya kami dapat menerimanya, kita akan melaksanakannya. Jika kami tidak dapat menerima, kami tidak akan mengadakannya?”.

Jawab Talhah dan Zubair: “Membunuh balas pembunuh `Uthman, jika ini tidak dilaksanakan bererti kamu telah mengabaikan al-Quran”. Jawab al-Qa’qa’: “Sesungguhnya hasrat kamu semua ingin membunuh pembunuh `Uthman memanglah baik, tetapi kesan kerosakannya lebih besar daripada itu. Sepertimana kamu tidak mampu menangkap salah seorang yang memberontak kepada `Uthman di Basrah iaitu Harqud bin Zuhair disebabkan enam ribu orang yang menjaganya, demikian jugalah `Ali tidak dapat melaksanakannya sekarang tetapi menunggu masa yang sesuai”.

Hasil dari perbincangan ini, akhirnya `Aishah, Zubair, Talhah dan semua para pengikut mereka setuju untuk memberikan janji setia kepada `Ali dan bersetuju menyerahkan tugas mengambil tindakan terhadap pembunuh `Uthman kepadanya apabila keadaan mengizinkan. `Aisyah r.a pun menghantar wakilnya menemui `Ali r.a. dan memberitahu tujuan mereka ialah untuk berdamai. Kedua-dua golongan begitu gembira dengan keputusan ini.

`Ali bangun berkhutbah di hadapan tenteranya, mengingatkan mereka bagaimana Islam menyatupadukan penganutnya dan bagaimana Allah telah menghimpunkan mereka selepas kewafatan Nabi s.a.w di bawah pemerintahan Abu Bakar kemudian `Umar dan kemudiannya `Uthman. Selepas itu berlakulah apa yang berlaku disebabkan golongan yang mencari kepentingan dunia dan dengkian nikmat Allah yang dikurniakan kepada hamba-hambaNya.

Seterusnya `Ali menegaskan:

 “Besok aku akan pergi berjumpa `Aishah dan mereka yang bersamanya untuk berdamai, kamu semua akan mengikutiku. Namun jangan ada seorang pun yang terlibat membantu pembunuhan `Uthman turut bersamaku”. 

Apabila mendengar keputusan `Ali untuk berdamai, mereka yang terlibat dalam peristiwa pembunuhan `Uthman iaitu para pemberontak yang ada di dalam tentera `Ali menjadi takut.

Mereka berbincang sesama sendiri dan berkata: “Mereka telah berdamai di atas darah-darah kita”. Maksud mereka perdamaian ini bererti senjata akan dihalakan pula ke arah mereka. Lalu ada di kalangan mereka yang mencadangkan agar diambil tindakan terhadap `Ali seperti yang mereka telah lakukan terhadap `Uthman iaitu membunuhnya.

Cadangan ini dibantah oleh kepala penghasut mereka iaitu `Abdullah bin Saba’ sambil berkata:

 “Buruk sungguh pandangan tersebut, kalau kita membunuhnya kita juga akan dibunuh. Wahai para pembunuh `Uthman! Jumlah kita hanyalah dua ribu lima ratus orang, sedangkan para pengikut Talhah dan Zubair berjumlah lima ribu orang, kita tidak ada kemampuan menghadapinya dan mereka itu mahukan kita”.

Mereka terus berbincang, akhirnya `Abdullah bin Saba’ mencadangkan agar mereka memulakan api peperangan terlebih dahulu supaya peperangan tetap tercetus.Maka pada malamnya, tentera di kedua-dua belah pihak tidur dengan hati yang senang dan puas di atas keputusan yang mereka perolehi. Sebaliknya para pengkhianat yang bimbangkan kesatuan umat Islam pula tidur dengan penuh kerisauan dan keresahan. Seperti yang dirancang, sebelum menjelangnya waktu subuh mereka telah melancarkan serangan terhadap tentera-tentera `Aisyah dan `Ali secara serentak menyebabkan kedua-dua pihak menyangka bahawa pihak yang satu lagi telah mungkir janji.

Tentera `Aisyah telah menyatakan: “Tentera `Ali telah menyerang kita”. Sementera tentera `Ali pula menyatakan: “Tentera `Aisyah telah menyerang kita”. Maka tercetuslah peperangan Jamal yang menyebabkan kematian yang begitu banyak dan berakhir dengan kemenangan di pihak `Ali.(Ibn Kathir, al-Bidayah wa al-Nihayah, 7/248-249, Beirut: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah).

Saya bimbang di zaman ini masih ada kelompok Abdullah bin Saba yang bimbangkan perdamaian antara sesama umat Islam. Bahkan beberapa tokoh Gayong dengan jelas mempertikaikan hasrat murni tersebut. Malang lagi, terdapat juga di kalangan ahli bawahan mempertikaikannya sekalipun pemimpin kedua-dua pihak secara jelas telah bersetuju. Mereka ini akan berusaha sedaya mungkin agar tidak akan lahirnya perdamaian antara kita semua.

Walaupun ahli Gayong yang ada sekarang tidaklah boleh untuk disamakan dengan keimanan, kejujuran dan kesolehan ‘Ali, ‘Aishah, al-Zubair dan Talhah, tetapi pengajaran peristiwa boleh diambil. Jika mereka yang begitu hebat, dapat dikeliru oleh Abdullah bin Saba dan pengikutnya sehingga tergamam yang membawa kepada peperangan, siapalah kita di zaman ini? Lebihnya, kita ada bekalan sejarah mereka yang membantu kita agar lebih berhati-hati. Moga kita tidak ulangi kesilapan mereka.

Setakat ini beberapa pemimpin utama Gayong telah menzahirkan nilai-nilai tanggungjawab yang patut dipuji. Cuma kita bimbang mereka yang mempunyai kepentingan tertentu, atau yang setia di belakang musuh merancang agar digagalkan hasrat untuk duduk berbincang dan merancang tentang masa depan anak Gayong. Mereka ini nanti akan menimbulkan berbagai kerenah supaya hasil yang positif itu tidak direalisasikan.

Jika boleh mungkin mereka akan mencetuskan sesuatu kejadian akan pertempuran sengit isu akan tercetus dan hasrat murni akan terbatal. Inilah strategi yang pernah dipraktikkan oleh Abdullah bin Saba dan pengikut. Terbukti berjaya menghancurkan cita-cita perdamaian antara ‘Ali dengan ‘Aishah. Harapan kita, agar genetik ‘Abdullah bin Saba pada zaman ini, tidak akan memporak-perandakan kita sekali lagi.

Sejarah buruk semalam diambil pengajaran, bukan lagi untuk kita ulangi. Tidak juga untuk kita terus mengingatinya sehingga terpaksa hidup dalam kesedihan lalu kita tidak berupaya lagi memandang masa depan yang gemilang.Kita bawa sejarah pahit sebagai bekalan pengajaran, untuk kita menghadapi cabaran. Melainkan jika ada penipuan secara jelas, atau mesyuarat yang ternyata tidak tunduk kepada kaedah dan peraturan, atau jelas dari awal kesannya hanya keburukan untuk umat, maka tentu tidak wajar diteruskan.

Namun, telah ternyata anak Gayong di kala ini amat memerlukan kesefahaman antara mereka dalam saat yang sebegini untuk kepentingan semua. Maka mereka mesti menelan jika ada kepahitan pun demi masa depan yang lebih baik.

Pemimpin mesti jadi seperti seorang ibu yang sanggup menanggup keperitan perasaan dan kesedihan silam demi masa depan anak-anaknya yang terus membesar. Kadang-kala seorang ibu terpaksa bersabar dengan kehidupan yang tidak selesa untuknya, tetapi demi hari esok yang bahagia untuk anaknya, dia telan jua. 

Para pejuang juga begitu. Betapa banyak mereka terpaksa mengharungi keperitan hidup, tohmahan, ejekan, makian, penghinaan, sangkaan buruk dan berbagai lagi hanya semata untuk membawa obor cahaya agar menerangi perjalanan orang lain. Hanya yang harapkan atas pengorbanan itu syurga Allah di Hari Akhirat kelak.Para pemimpin yang ikhlas juga terpaksa menanggung perkara yang tidak disukai, demi kebaikan pengikut mereka. Allah berfirman kepada Nabi s.a.w: (maksudnya): 

“Maka dengan sebab rahmat daripada Allah (kepadamu Wahai Muhammad), engkau telah bersikap lemah-lembut kepada mereka (sahabat-sahabat dan pengikutmu), dan kalaulah engkau bersikap kasar lagi keras hati, tentulah mereka lari dari mendampingimu. Oleh itu maafkanlah mereka (mengenai kesalahan yang mereka lakukan terhadapmu), dan pohonkanlah ampun bagi mereka, dan juga bermesyuaratlah dengan mereka dalam urusan itu. Kemudian apabila engkau telah berazam (sesudah bermesyuarat untuk membuat sesuatu) maka bertawakalah kepada Allah, Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang bertawakal kepadaNya”.(Surah Ali ‘Imran: ayat 159).

Dalam ayat ini jelas Allah mengingatkan Rasulullah s.a.w agar janganlah kesalahan dan kesilapan pengikut baginda itu menghalang baginda untuk terus bermusyuarat dengan mereka dalam perkara-perkara yang wajar untuk diperbincangkan bersama. Begitulah sepatutnya kita semua.Jika para pemimpin yang ada berunding dan berbincang agar mereka dapat memperolehi ganjaran pahala di sisi Allah, tentulah perundingan itu mendapat berkat dan rahmat. Jika ada yang berunding untuk menjaga jawatan dan pengaruh dalam Gayong, maka itulah nanti akan menjadi punca kegagalan. Walaupun mereka ada perbezaan dan perasaan yang tersimpan, namun memang nostalgia itu dikenang, tapi masa depan hendaklah dipandang.

KITA ADA TUGAS KITA

Ingatlah walaupun anda berada di pihak yang memperjuangkan kebenaran. Itu bukanlah tiket bagi anda untuk merendah-rendahkan orang lain. Dalam kita perbaiki semua aspek jangan mengabaikan satu aspek iaitu Akhlak. Memang benar Dakwah, Berpersatuan, Politik,Sukan dan sebagainya adalah merupakan di dalam ruang lingkup kesyumulan Islam. Tetapi jangan lupa kepada Akhlak di dalam membicarakan soal kesyumulan.

Manusia seringkali mengambil alih tugas malaikat Atid yang menulis kejahatan tetapi melupakan tugas malaikat Raqib yang menulis kebaikan manusia, selepas itu pula cuba mengambil alih tugas Allah untuk membalas keburukan orang secepat mungkin. Sedangkan dia lupa dia cumalah hamba Allah yang tugasnya beribadah padaNya…

Cukuplah membenci perbuatan jahat seseorang dan janganlah membenci dirinya kerana masih ada dalam hati mereka kalimah Tauhid Laailahaillallah. Sayangilah mereka kerana Allah memilih mereka didalam golongan kaum Muslimin seperti kita.

Wallahualam.

_____________________________________________________________

© KHALIFAHGAYONG.COM (AKU DAN GAYONG)

Hak cipta terpelihara. Setiap artikel yang tersiar di Khalifahgayong.com dihasilkan untuk tujuan pendidikan dan bersifat non-komersil. Pembaca bebas menyalin dan menyebarkan artikel yang terdapat di sini, namun alamat Khalifahgayong.com hendaklah disertakan bersama untuk memudahkan proses rujukan. Manakala untuk penerbitan semula dan berorientasikan komersil, setiap bahagian daripada artikel ini tidak boleh diterbitkan semula, disimpan untuk pengeluaran atau dipindahkan dalam bentuk lain, sama ada dengan cara bercetak, elektronik, mekanikal, fotokopi, rakaman dan sebagainya, tanpa izin KHALIFAHGAYONG.COM terlebih dahulu.

“Aku Dan Gayong”

http://www.khalifahgayong.wordpress.com

 

 

 


Responses

  1. Assalammualaikum,Nik,

    Kalau kita recap balik meeting dulu sepatutnya tiada halangan untuk kita bersatu kembali. Kalaulah penyatuaan itu atas dasar ADMAR sahaja masih tidak cukup untuk memungkinkan sebuah pertautan semula. Mungkin akan bercantum tetapi hanya sekadar ala kadar. Percantuman itu sepatutnya atas dasar Islam sendiri menganjurkan tereratnya silaturahim antara kita.

    Kami semenjak dari dahulu tidak beranggap kami lebih baik berbanding yang lain dan kami berharap perkara yang sama juga difikirkan sama oleh rakan – rakan. Soal pentadbiran — kita faham sentimen perbezaan politik dan “kisah – kisah silam” yang masih menghantui pemikiran ramai orang. Namun apalah salahnya jika kita bersatu dibawah satu persekutuan tetapi mempunyai pentadbiran yang berbeza dan kecenderungan yang berbeza.

    Dari dahulu kita berfikiran jika sepihak mahu berdaftar dengan Pesuruhjaya Sukan atas sebab kecenderungan kepada sukan silakan, maka selebihnya boleh sahaja berdaftar dengan ROS yang mana ruang lingkupnya lebih bebas berbanding sukan. Secara tidak langsung yang menguntungkan adalah anak – anak gayong kerana mereka ada banyak platform untuk mereka pilih. Jika mereka cenderung kepada SO maka boleh sahaja bersilat atas tiket Gayong yang berdaftar dengan Pesuruhjaya Sukan. Jika mereka mahu membuat majlis yang berbentuk kebudayaan boleh sahaja mereka menggunakan tiket Gayong yang berdaftar dengan ROS dan meminta bantuan Kementerian Kesenian Dan Kebudayaan.

    Kalaulah semua berlapang dada dan sama – sama memikirkan masa depan Gayong bersama maka soal spele – spele dapat diketepikan. Soal politik itu soal individu bukan soal Pertubuhan dan Persatuan. Jadi sama – sama kita fikirkan, Insya Allah jika semua Ikhlas maka akan terlaksana juga akhirnya.W/a


Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

Kategori

%d bloggers like this: