Posted by: abusyakirin | 3 Februari 2012

SMS Gangster..

Salamun alaik,

“ Salam ///Amar Maaruf Nahi Mungkar.. Engkau ni siapa ha.. berani betul kau ni..Kau tak kenal aku lagi..jangan sampai Ayahanda dan Bang Long aku bagi arahan ajar kau sudah….”

“ sabar saudara seislam dengan ku.. kita orang Islam..ada adabnya.. jangan ikut nafsu membabi buta..Kata nak perjuangkan Amar Maaruf Nahi Mungkar..macam inikah caranya..”

“ Sekali kau jentik adik beradik aku..sampai bila pun aku tak maafkan kau..ingat..jangan bagi aku jumpa kau sudah..”

“ tak apa..kalau jumpa saudara..saya bagi salam..kalau saudara tak jawab saudara berdosa..”

Inilah ayat-ayat Cinta di bawa ombak rindu kepada saya yang jauh dari semenanjung.. Hebat benar semangat AMAR MAARUF NAHI MUNGKAR  saudara ini.

Budak sekarang banyak yang nak jadi samseng..banyak yang nak jadi hero..tapi saya rasa Hero Boboi Boy lagi hebat..Semua gah dek gelaran yang di dipakai. Apa nak jadi la dengan anak bangsa ku.. Berpersatuan tapi dengan niat tertentu. asyik-asyik gua lu..gua lu..

Sambil menemani keluarga bersantai di persisiran pantai..saya terfikir, adakah saudara kita tu faham apa  itu PERJUANGAN ISLAM sebenar..apa tuntutan AMAR MAARUF NAHI MUNGKAR . mudah dilafaz, susah diterjemahkan dalam kehidupan…emm daripada dok layan Gangster ni baik aku layan Lobster..jangan dengki..sebab di sini banyak dan senang di cari.

HAKIKAT DAN TUNTUTAN AMAR MAARUF NAHI MUNGKAR .

Bani Israil dilaknat kerana meninggalkan usaha mencegah kemungkaran. Firman Allah

Telah dilaknat mereka yang kafir daripada Bani Israil melalui lidah Nabi Daud dan Isa bin Maryam. Yang demikian itu disebabkan mereka menderhaka dan selalu menceroboh. Mereka sentiasa tidak berlarang (sesama sendiri) perbuatan mungkar yang mereka lakukan. Demi sesungguhnya amatlah buruknya apa yang mereka telah lakukan. (Surah al-Maidah, ayat 78-79).

Banyak perkara negatif telah menjalar ke dalam berbagai-bagai aspek kehidupan masyarakat kita. Daripada isu akidah seperti menghina Islam sehingga kepada gejala sosial yang melampaui batas. Orang ramai tidak lagi peka apabila melihat sesuatu yang ternyata amat mungkar berlaku di hadapan matanya sedangkan mereka mampu mengubahnya.

Akhirnya, masyarakat hidup tanpa mempedulikan arahan Allah. Kemunkaran yang pada mulanya merupakan penyakit kelompok, akhirnya menjelma menjadi barah yang mengancam masyarakat keseluruhannya. Akhirnya, keselamatan, keadilan, minda, bahkan identiti umat Islam itu sendiri terancam. Ancaman-ancaman ini pada mulanya kelihatan kecil dan kita tidak begitu mempedulikannya. Tapi akhirnya ia menjadi api yang menyala dan sukar untuk dipadamkan lagi.

Firman Allah: (maksudnya):

Dan jagalah diri kamu daripada fitnah (kemudaratan) yang bukan sahaja akan menimpa orang-orang yang zalim di antara kamu secara khusus (tetapi akan menimpa kamu secara umum). Dan ketahuilah bahawa Allah Maha berat azab hukumanNya (Surah al-Anfal, ayat 25).

Dalam menafsirkan ayat ini Ibn ‘Abbas berkata: Allah memerintahkan orang mukmin agar tidak akur akan kemungkaran yang berlaku di kalangan mereka, nanti Allah akan mengenakan azab ke atas mereka keseluruhannya.( Al-Tabari, Tafsir al-Tabari: Taqrib wa Tahdhib, 4/59, Damsyik: Dar al-Qalam).

Sabda Nabi saw:

Sesiapa di kalangan kamu yang melihat kemungkaran maka hendaklah dia ubah dengan tangannya, sekiranya tidak mampu maka dengan lidahnya, sekiranya tidak mampu maka dengan hatinya. Itu adalah selemah-lemah iman. (Riwayat Muslim).

Maka sesiapa yang melihat mungkar tetapi dia mencegahnya sedangkan dia mampu, maka dia sebenarnya berdosa. Ramai kita yang tidak perasaan bahawa dia berdosa kerana membiarkan kemungkaran yang dia sebenarnya amat mampu mencegahnya.

Kata al-Nawawi (meninggal 676H):

“Sesungguhnya menyuruh kepada makruf dan mencegah dari munfkar adalah fardu kifayah. Jika dilaksanakan oleh sebahagian manusia, gugur kesalahan dari yang lain. Jika semua meninggalkannya, maka berdosalah sesiapa yang mampu melakukannya tanpa sebarang keuzuran dan ketakutan. Kemudian, ia mungkin menjadi fardu ain ke atas seseorang. Ini seperti di tempat yang tiada siapa yang tahu melainkan dia, atau tiada siapa yang mampu mencegahnya melainkan dia. Seperti seseorang yang melihat isteri atau anaknya atau hambanya melakukan mungkar atau mengurangi makruf” (Al-Nawawi, Syarh Sahih Muslim, 1/217218, Beirut: Dar al-Khair).

Jika kita berlumba-lumba memelihara persekitaran kita, mungkin pencemaran kesejahteraan yang sedang kita alami akan dapat diselamatkan. Dengan syarat kita ikhlas niat hanya kerana Allah, bukan sekadar meredakan masyarakat. Jika tidak kelucuan akan berlaku seperti mana kita yang memberi lesen kepada pusat-pusat hiburan terlampau kemudian kita pula menghantar pegawai pencegah untuk menahan sesiapa yang terlibat. Demikian kita lihat ada tangan yang merasmikan masjid, tangan yang sama juga meluluskan pusat-pusat yang mencemarkan kemurnian iklim. Tiada kejujuran yang penuh dalam hal ini.

Di samping, ramai pula di kalangan masyarakat yang merasakan tidak menjadi kesalahan duduk dalam majlis yang penuh dengan kemungkaran tanpa dia berusaha mencegahnya. Dia dapat selesa dalam iklim yang sedemikian. Lebih parah lagi jika ada yang mampu duduk semeja tersenyum simpul ketika rakan-rakan yang lain menghina Islam atau melakukan maksiat secara terang seperti meminum arak. Dia tidak membela dan mempertahankan ajaran Allah dan Rasul-Nya, atau mencegah, sebaliknya terus berkongsi kegembiraan bersama.

Dan apabila engkau melihat orang-orang yang memperkatakan dengan cara mencaci atau mengejek-ejek ayat-ayat Kami, maka tinggalkanlah mereka sehingga mereka memperkatakan soal yang lain; dan jika engkau dilupakan oleh syaitan (lalu engkau duduk bersama mereka), maka janganlah engkau duduk lagi bersama-sama kaum yang zalim itu, sesudah engkau mengingati (akan larangan itu). (Surah al-An‘am, ayat 68).

Firman Allah juga: (maksudnya):

Dan sesungguhnya Allah telahpun menurunkan kepada kamu (perintahNya) di dalam al-Kitab (Al-Quran), iaitu: apabila kamu mendengar ayat-ayat Allah diingkari dan diejek-ejek, maka janganlah kamu duduk (bergaul) dengan mereka sehingga mereka masuk kepada memperkatakan soal yang lain; kerana sesungguhnya (jika kamu melakukan yang demikian), tentulah kamu sama seperti mereka. (Surah al-Nisa, ayat 140).

Kata al-Imam al-Qurtubi dalam menafsirkan ayat ini:

“Ayat ini menjadi dalil wajibnya menjauhi ahli maksiat apabila jelas kemungkaran mereka. Ini kerana sesiapa yang tidak menjauhi mereka bererti redha dengan perbuatan mereka”. Katanya lagi: “Firman Allah: (kalau demikian, kamu sama seperti mereka) sesiapa yang duduk dalam majlis maksiat dan tidak membantahi mereka maka dia menanggung dosa yang sama seperti mereka. Maka hendaklah dia membantah mereka sekiranya mereka bercakap dan melakukan maksiat. Sekiranya dia tidak mampu untuk membantahi mereka maka hendaklah dia meninggalkan mereka supaya tidak termasuk dalam golongan yang disebut dalam ayat ini. (Al-Qurtubi, Al-Jami’ li Ahkam al-Quran, 5/418, Beirut: Dar al-Fikr).

HAKIKAT PEJUANG KEBENARAN

Apabila seseorang berbicara tentang kebenaran, atau mempertahankan kebenaran maka dia hendaklah sedar bahawa dia lakukan tanggungjawab itu atas perintah Allah dan rasulNya. Tidak kerana dia mengharapkan habuan daripada manusia, atau kemasyhuran, atau kemenangan.

Kebenaran adalah kebenaran, ia tiada kaitan dengan kehendak diri sendiri atau kehendak orang lain. Justeru, insan yang jujur akan membela dan memperjuangkan kebenaran dan prinsip yang benar sekalipun terpaksa bercanggahan dengan kehendak dirinya, ataupun kehendak orang lain. Sekalipun dia menanggung rugi, atau dia ditentang oleh dunia sekelilingnya. Bak kata kata Rasulullah s.a.w:

“Katakanlah kebenaran walaupun ia pahit” (Riwayat Ahmad, Ibn Hibban, al-Hakim, dinilai sahih oleh al-Albani).

Dunia ini rosak jika manusia hanya membela kebenaran apabila dirasakan menguntungkan diri. Apabila kebenaran itu berpihak untuk dirinya atau puaknya, maka dengan lantangnya dia akan bangun menuntut kebenaran dan membelanya. Apabila kebenaran itu tidak berpihak kepada dirinya dan puaknya, maka dia akan sembunyikannya, atau mendiamkan. Bahkan lebih buruk ada memutar-mutarkan fakta dan dalil sehingga meminggirkan kebenaran apabila kebenaran itu kelihatan tidak menguntungkannya.

Golongan fanatik PERTUBUHAN dan PEMIMPIN selalu melakukan perkara yang seperti ini. Dunia juga rosak apabila kebenaran itu dilacurkan untuk mendapatkan habuan atau keuntungan.

menjadi pejuang kebenaran kerana Allah dan rasulNya, bukanlah kerja yang mudah. Allah menguji insan untuk insan membukti keikhlasan dirinya dalam membela ajaran tuhannya. Sehingga nyata siapa yang benar tujuan dan siapa pula yang berdusta atas dakwaannya.

Banyak rintangan dan halangan. Sebabnya, kebenaran itu tidak semestinya menjanjikan kemenangan di dunia yang fana ini. Entah berapa ramai para nabi dan pejuang yang dibunuh dan dibuang, hanya kerana kebenaran.

Jika Allah memberikan kemenangan kepada kebenaran pun, bukanlah semesti setiap pejuang itu berpeluang untuk menyaksikannya. Para Nabi ada yang dibunuh tanpa sempat melihat hasil kemenangan perjuangan. Para pejuang juga demikian. Betapa ramai para pembela dan pejuang kebenaran yang disiksa mati, dibunuh tanpa alasan, dibuang tanpa simpati, dipenjara tanpa dosa dan disisih tanpa sebab.

Kebenaran akhirnya akan menang, apabila syarat dipenuhi, namun masanya tidak ketahui. Para sahabah yang gugur syahid dengan penuh trajis di peringkat Mekah seperti Yasir dan Sumayyah tidak sempat melihat kejayaan umat Islam memerintah Madinah dan menewaskan para pemimpin Quraish yang bongkak yang menyiksa mereka.

Para sahabat yang gugur dalam peperangan mempertahankan Madinah seperti Hamzah bin Abd al-Muttalib dan selainnya tidak sempat melihat kejayaan Nabi s.a.w dan umat Islam membuka Kota Mekah. Bahkan Nabi s.a.w pada hayat baginda, umat Islam belum lagi menguasai Empayar Rom dan Parsi.

Ramai pejuang terkorban ketika perit menggalas amanah perjuangan. Ramai yang pergi menemui Allah sebelum mata sempat melihat pejuangan kebenaran menjatuhkan pejuangan kebatilan. Namun para pejuang yang ikhlas itu redha kerana mereka tahu itulah harga kebenaran.

Mereka tidak berjuang untuk menang dalam bahasa yang biasa. Mereka berjuang kerana titah perintah Allah dan itulah kemenangan hakiki. Kemenangan dunia hanyalah anugerah dan hadiah daripada Allah yang akan digunakan demi kepentingan menegakkan kebenaran.

Jika kemenangan dunia tidak disaksikan di hadapan mata, bukanlah bererti perjuangan kebenaran mesti ditinggalkan. Bayaran bagi pejuangan yang tulus itu adalah keredhaan Allah sekalipun tewas dan ditindas. Allah membeli perjuangan yang benar itu dengan syurga, bukan harta dunia.

Firman Allah: (maksudnya)

“Sesungguhnya Allah telah membeli daripada orang-orang yang beriman jiwa mereka dan harta benda mereka dengan (balasan) bahawa mereka akan beroleh syurga, (disebabkan) mereka berjuang pada jalan Allah maka (di antara) mereka ada yang membunuh dan terbunuh. (balasan syurga yang demikian adalah) sebagai janji yang benar yang ditetapkan oleh Allah dalam Taurat dan Injil serta Al-Quran; dan siapakah lagi yang lebih menyempurnakan janjinya daripada Allah? Oleh itu, bergembiralah dengan jualan yang kamu jalankan jual-belinya itu, dan (ketahuilah bahawa) jual-beli (yang seperti itu) ialah kemenangan yang besar”. (Surah al-Taubah, ayat 111).

Sesiapa yang ingin berjuang menegakkan kebenaran, menyebarkan Islam yang tulen tanpa mengenal batasan kepentingan diri, puak, parti dan manusia keseluruhan perlulah nekad menggalas bebenan tersebut dengan penuh jujur. Ia adalah amanah. Membela dan menyokong kebenaran adalah tanggungjawab yang dipersoalkan Allah pada hari Kiamat kelak.

Namun ramai orang yang tersasar kerana merasakan tujuan mereka menyokong dan menyebarkan kebenaran adalah untuk mengecapi nikmat keuntungan dunia hasil dari kemenangan atau habuan yang bakal diperolehi. Maka bukan sedikit mereka yang bergelar pejuang Islam atau organisasi Islam yang telah mengubah halatuju dan prinsip apabila dirasakan buah yang hendak dipetik belum mahu masak.

Mengubah prinsip kebenaran kerana mengharapkan sokongan pihak lain amatlah buruk. Allah mengingatkan Nabi Muhammad s.a.w ketika menghadapi cabaran yang berbagai daripada para pembesar Quraish dengan firmanNya:

“Dan sesungguhnya hampir mereka dapat memesongkanmu (Wahai Muhammad) dari apa yang Kami telah wahyukan kepadamu, supaya engkau ada-adakan atas nama Kami perkara yang lainnya; dan (kalau engkau melakukan yang demikian) tentu mereka menjadikan engkau sahabat karibnya. Dan kalaulah tidak Kami menetapkan engkau (berpegang teguh kepada kebenaran), tentulah engkau sedikit cenderung kepada kehendak mereka. Jika (engkau melakukan yang) demikian, tentulah Kami akan merasakanmu kesengsaraan yang berganda semasa hidup dan kesengsaraan yang berganda juga semasa mati; kemudian engkau tidak beroleh seorang penolong pun terhadap hukuman kami”. (Surah al-Isra, ayat 73-75).

Atas hubungan jiwa dengan teguh dengan wahyu, seorang pejuang kebenaran yang membawa arahan Islam akan terus memapah risalah kebenaran itu di kala senang atau susah, di saat di julang atau dibuang, samada dikeji atau dipuji, samada dipuja atau dihina, samada ketika di atas atau ketika ditindas. Kalah atau menang adat perjuangan, namun kebenaran adalah kebenaran.

Allah memuji mereka yang ikhlas seperti ini dan tetap pendirian. Firman Allah:

“Antara orang-orang yang beriman itu, ada yang bersikap benar menunaikan apa yang telah dijanjikannya kepada Allah (untuk berjuang membela Islam); maka antara mereka ada yang telah selesai menjalankan janjinya itu (lalu gugur syahid), dan antaranya ada yang menunggu giliran; dan mereka pula tidak mengubah (apa yang mereka janjikan itu) sedikit pun” (Surah al-Ahzab ayat 23).

Maka, Islam adalah agama perjuangan. Kita menjadi lemah pada hari ini disebabkan hilangnya semangat dan nilai perjuangan dalam beragama.

Moga saudara ku memahami akan hakikat sebuah perjuangan.

 

Salam bercucuk petanda baju, digengam kuat dipaut erat, Dihias mesra dengan pelukkan, pipi ke pipi tanda hormat, simpang /// jalan mati, buah tujuh pelepas diri, 30 juzuk menjadi saksi, pegangan kita sampai mati.

Wallahualam.

_____________________________________________________________

© KHALIFAHGAYONG.COM (AKU DAN GAYONG)

Hak cipta terpelihara. Setiap artikel yang tersiar di Khalifahgayong.com dihasilkan untuk tujuan pendidikan dan bersifat non-komersil. Pembaca bebas menyalin dan menyebarkan artikel yang terdapat di sini, namun alamat Khalifahgayong.com hendaklah disertakan bersama untuk memudahkan proses rujukan. Manakala untuk penerbitan semula dan berorientasikan komersil, setiap bahagian daripada artikel ini tidak boleh diterbitkan semula, disimpan untuk pengeluaran atau dipindahkan dalam bentuk lain, sama ada dengan cara bercetak, elektronik, mekanikal, fotokopi, rakaman dan sebagainya, tanpa izin KHALIFAHGAYONG.COM terlebih dahulu.

“Aku Dan Gayong”

http://www.khalifahgayong.wordpress.com

 

 


Responses

  1. Mana nombor telefonnya?

  2. hehehe…orang ni tak kenal kot yang dia sound tu ayahnda juga…hehehe

    • Ayahaanda pada Nik Abduh dan Nik Teh..Kiranya dah naik pangkat sekarang.. jadi Wali..kan dah dapat Nik Teh.. hehehe

  3. bolo munya holang.. tatak sakit cali maut.. kasi sms tatak tau sama siapa dia mau deal.. ini holang gila manyak bolo munya holang la ustaz.. kasi kerat 14 bahagian maa.. – Obaca Oba Oba

  4. Biar betoi budak sorang ni patutnya ustaz bagi no hp dia. hehe bukan apa kita bukan nak p tibai dia. biar adik beradik lain boleh tel dia berkenal kenalan boleh tanya dia awat marah sangat. kemungkaran apa yg dia nak cegah mungkin nak ajak kita tak pun ada perkara makruf yg dia nak ajak kita buat tapi tak tau cara mahaha…muahaha. tu la dulu patut belum masuk kena p sekolah dulu ni tetiba jd graduat ni yg jadi isim ni haha (kata org melayu la)

  5. 🙂

  6. Assalamalaikum. en. AbuSyakirin,saya nak belajar silat bawah en. boleh?Saya sekarang di Jalan Kebun,Klang.En. Abu Syakirin di mana ya?Mohon tunjuk ajar encik.
    Assalamualaikum.

    • wmslm wbt..kalau kat selangor boleh rujuk Cg Md Rasip Ketua PSSPGM Selangor

      • Assalamualaikum…kalau saya nak berguru bawah en. boleh?
        Assalamualaikum.

        • wmslm wbt..saya bukanlah guru yang terbaik.. gelanggang saya di alam maya ini saja, bersilat dengan mata pena, bukan dengan mata keris.

          • Salam,

            Merajuk ke Nik? Sabar ujian tu.

            • 🙂

  7. Assalamualaikum..saya ingin berguru bukan untuk jadi juara sekadar mengisi ilmu di dada,berguru bkn untuk dunia semata tapi untuk dunia dan akhirat.
    Adat org berilmu merendah diri,makin tunduk makin berisi.
    En. Abusyakirin bkn di Selangor ye?

    • Waalaikumusalam wbt.. yer saya di Labuan.


Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

Kategori

%d bloggers like this: