Posted by: abusyakirin | 9 Mei 2014

Berkecek dengan Abe ramli @ Prof Ramli perihal Keris.

keris melayu

Sebilah keris hanya dipanggil keris apabila lengkap berpakaian dengan hulu, pendokok dan sampirnya. Dari sebilah keris ini pula akan timbul rasa senang melihatnya, sedap memegangnya, gah memiliki dan sempurna sebagai senjata.

Senang melihatnya, memberikan pengertian bahawa sebilah itu sempurna dari segi buatan bilahnya, cantik ukiran hulu dan sampirnya, sesuai pula pendokok dan tepat pula hulu yang pilih.Sedap memegangnya bermaksud hulu dan sampir itu bagus buatannya sehingga selesa di sarungkan di pinggang, jika dipegang tidak jatuh , tercabut jika dibawa, jika berlawan tidak terbuang.

Gah memiliki bermaksud pula memberikan rasa kagum, rasa berwibawa, rasa berkuasa dan rasa berdaulat. Kalau ditabal dialah raja, kalau dianugerah dialah pembesar, kalau diarah dialah pendekar. Itulah keris Melayu.

seni ukiran Hulu dan Sampir keris

sebilah keris, tidak akan dipanggil keris jika tidak berhulu bersampir, batang serunai dan pendokok. Hulu keris terdiri dari pelbagai bentuk seni ukiran dan jenis bahan pembuatannya. Berapa jenis hulu yang cukup popular penggunaannya untuk keris Melayu adalah hulu tajung, jawa demam, pekaka, patah tiga atau kerdas, ayam teleng, burung kakak tua dan lain-lain lagi.

Bahan untuk hulu pula terdiri dari kayu kemuning, gading, tanduk, akar baha, gigi ikan, gerahang gajah, perak, tembaga dan sebagainya. Ukirannya pula tidak banyak bezanya dengan ukiran kasar yang terdapat dalam budaya melayu iaitu tampuk manggis, sulur kacang, ketam guri, bunga senduduk dan banyak lagi sama ada dalam ukiran coteng yakni berdasarkan garis-garis sobekan tidak dalam, ukiran separuh yakni tidak semua bahagian diiukir, atau ukiran penuh satu motif atau beberapa motif yang juga disebut ukiran bangsa agong.

Seni-seni ukiran hulu dan sampir keris ini juga berkaitrapat dengan adab dan ada ketika berperang, yakni dalam tradisi Melayu, keris tidak dihunus terus kepada lawan. Permulaannya dihentak dengan bontot keris terlebih dahulu di kepala lawan, jika masih melawan, hentakan kedua menggunakan muncung hulu, dan seterusnya barulah keris dicabut dari sampir dihiris telinga kiri, seterusnya telingan kanan, muncung hidung, terakhirnya barulah ditikam ke bahagian anggota badan.

 

Pemilihan jenis besi

Seperti yang pernah dikemukakan dalam Hikayat Hang Tuah, keris tempaan Melaka yang pertama menggunakan 2o jenis besi yang diambil dari jajahan takluknya dan dicampur dengan baja. Konsep tempaan keris Melaka ini kekal hingga kini. Walaupun demikian, pemilihan besi berdasarkan “tujuh Pa” iaitu Pa dari aksara arab itu cukup dominen dalam kebudayaan Melayu iaitu besi dari payung (payung raja), paha (alat tenggala/bajak tanah), paku, pahat dan pa yang lainnya menjadi teras kamilan

Besi payung sebenar adalah berkonsepkan berpayung kepada kekuasaan raja yang berdaulat sesuai dengan konsep “tulah” dan “daulah”, manakala paha berhubungan pula dengan kepercayaan bahawa besi dapat menghancurkan tanah, maka manusia yang berasal dari tanah akan dapat dikalah/tembus ke atas tubuh badan manusia, pahat pula dikaitkan dengan kekuatan tikaman yang dapat memusnahkan manusia, manakala paku adalah penghubung yang merapakan keris dan pemiliknya yakni unsur penyatu antara keris dan manusia.

Pemilihan hari memulakan penempaan besi

Tidak semua hari dianggap sesuai untuk menempa sebilah keris terutama keris sebagai “pakaian”. Pandai besi hanya akan memulakan kerja pada hari selasa 14 haribulan iaitu ketika bulan mengambang penuh. Hari selasa mengikut perhitungan Islam adalah bermula pada hari isnin selepas masuknya waktu maghrib. Kenapa tanggal 14 dianggap baik, mengikut ilmu kepustakaan tradisional Melayu, senjata yang dibuat pada hari ini dianggap baik untuk menyerang musuh, baik untuk dibawa belayar, murah rezeki dan hasil menjadi jika bertani..wallahualambissawab

Falsafah seni ukiran melayu

 ilmu tauhid banyak mempengaruhi falsafah seni ukir melayu. Setiap ukiran mesti ada dasar, ada asas dan puncanya .Setiap motif diambil dari alam yakni flora fauna, alam yang lebih luas dan juga anatomi fizikal manusia itu sendiri. Misalnya,  motif flora , yang menjalar mesti ada umbi atau tunggul/pangkalnya yang menjadi punca atau asas kehidupan. Ia melambangkan dasar aqidah yang kukuh, kemudian ia menjalar dan berkembang menjadi berlapis-lapis dan bertingkat-tingkat bersesuaian dengan angka-angka popular dalam Islam, seperti tiga tingkat (Allah,Muhammad, Adam), 4 tingkat ( zat,sifat,asma dan af’a) 5 tingkat( rukun Islam) manakala 6 tingkat (rukun iman) dan terakhirnya 13 tingkat iaitu rukun 13 dalam solat yang menjadi teras kehidupan.

Dalam menjalar ia tidak boleh menindih atau menikam, bila bertemu halangan ia akan menyulur ke bawah. Walau kemana sekali pun ia berkembang/membiak akhir sekali pucuk mesti ke atas mengadap langit sebagai tanda itu akhir perjalanan insan.  Seni ukir Melayu adalah satu jalan untuk kita mendekatkan diri dengan Allah.

Secara mudahnya, punca atau umbi/akar adalah terhasil dari biji benih (yang 40 hari dirahim bapa kemudian, 9 bulan 10 hari di rahim ibu) lahir bersulur bertunas membesar menyusur kehidupan berlapis-lapis dalam pelbagai tahap kehidupan yakni kanak-kanak, remaja, dewasa dan seterusnya bertemu sang Pencipta (Allah Subhanahuwataala). Ini adalah asas atau dasar dalam semua jenis seni ukiran Melayu, juga seni batik, seni senjata, perahu dsbnya. Apa yang ada pada sebuah rumah (sobek kasar), juga perahu akan ada pada ukiran keris (sobek halus).

Wallahualam

________________________________________________________________________________________________________
Hak cipta terpelihara. Setiap artikel yang tersiar di Khalifahgayong.com dihasilkan untuk tujuan pendidikan dan bersifat non-komersil. Pembaca bebas menyalin dan menyebarkan artikel yang terdapat di sini, namun alamat Khalifahgayong.com hendaklah disertakan bersama untuk memudahkan proses rujukan. Manakala untuk penerbitan semula dan berorientasikan komersil, setiap bahagian daripada artikel ini tidak boleh diterbitkan semula, disimpan untuk pengeluaran atau dipindahkan dalam bentuk lain, sama ada dengan cara bercetak, elektronik, mekanikal, fotokopi, rakaman dan sebagainya, tanpa izin KHALIFAHGAYONG.COM terlebih dahulu.

“Aku Dan Gayong”

http://www.khalifahgayong.wordpress.com


Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

Kategori

%d bloggers like this: