Posted by: abusyakirin | 16 Oktober 2013

Hanya Anak Gayong

BismILLAH walhamduLILLAH

Segala puji bagi ALLAH dan Selawat serta salam buat junjungan Mulia RasuluLLAH SAW. Lama benar saya menyepi dalam menulis dan mengemas kini gelanggang buruk saya ini. Benarlah bahawa kita ini hanyalah Makhluk bukannya Mamluk. Sehebat mana pun kita, kita tak mampu mengawal masa daripada terus bergerak meningalkan kita. Benarlah masa itu ibarat pedang yang memotong dan saat itu tidak dapat disambungkan kembali. Sungguh lemah dan hinanya diri saya ini.Betapa bernilainya masa masakan tidak, kerana ALLAH SWT pernah bersumpah

“ Demi Masa..”

Ya sungguh cepat masa berlalu, diam tak diam sudah 3 tahun lebih saya terbeban dengan jawatan yang cukup perit dipikul oleh saya. Bahkan keperitan itu dipikul sama oleh isteri dan anak-anak saya. Jawatan inilah yang menjadi asbab menemukan saya dengan sekalian banyak manusia yang bergelar anak Gayong. Ada yang suka bahkan tak kurang banyak yang marah dan membenci saya.

Pergaduhan ialah api, jangan menghampirinya kecuali dengan air ditangan yang dapat memadamkannya. Kita kerapkali bergaduh demi kerana berbeza jawapan terhadap sesuatu persoalan, sedangkan Allah tidak menguji kita untuk melihat siapakah yang betul jawapannya tetapi Dia menguji kita untuk melihat siapakah yang betul usahanya dalam mencari jawapan !

Apa yang membezakan seorang yang jahat dan seorang yang baik bukanlah terletak pada ilmu, ijazah atau kelulusannya apatah lagi sandang, bengkung atau jawatannya, tetapi pada KAWALAN DIRI. Ramai yang berilmu dan bijak namun kerana gagal mengawal diri akhirnya melakukan pelbagai kejahatan. Kawalan diri ialah Iman, taqwa dan segala-galanya bagi seorang yang bernama manusia !

Tak cukup lagikah dengan jawatan yang ada..?

Bukan pandai apa pun..hanya pandai mengkritik dan memfitnah orang lain..

Dengki kat orang la tu..

Kalau boleh semua jawatan dan kedudukan dia nak kat dia je..

Inilah asam garam dan perencah rasa yang saya terima dan dengar dalam sepanjang  memegang jawatan yang cukup membebankan diri saya dalam PSSPGM.

Tegur dan Nasihat

Saya bukanlah orang yang tamak dan kehausan pangkat dan kedudukan. Selama ini saya menyuarakan dan memperjelaskan apa yang sepatutnya. Bukanlah sengaja saya ingin menegur sesuka hati kepada ikhwan semua Saya bukanya mencari kemahsyuran dengan isu-isu dan kritikan yang saya berikan.Apa yang saya perjuangkan ialah demi Pertubuhan bukannya kedudukkan

GILAKAN NAMA dan STATUS

Sunnah salaf ialah menjauhi kemasyhuran

Diriwayatkan oleh Aasim bahawa jika ada lebih daripada empat orang datang mengelilingi Imam Abul Aaliyah maka beliau akan bangun dan beredar. Ketakutan para salaf terdahulu dari kemasyhuran ialah kerana mereka mengerti bahawa pujian, kekaguman dan kemasyhuran akan membinasakan keikhlasan dan amalan mereka disisi Allah SWT.

Berkata Imam Abdullah bin Mubarak,

 ‘Sufyan telah berkata kepadaku, ‘Jauhilah kamu daripada menyukai kemasyhuran kerana tidaklah aku mendatangi seseorang (dari kalangan salaf) kecuali mereka berpesan dengan melarang aku daripada kemasyhuran.’

Tanpa ikhlas maka setiap amalan yang dilakukan adalah sia-sia seperti firman-Nya:

وَقَدِمْنَا إِلَى مَا عَمِلُوا مِنْ عَمَلٍ فَجَعَلْنَاهُ هَبَاءً مَنْثُورًا

“Dan Kami hadapi segala amal yang mereka kerjakan, lalu Kami jadikan amal itu (bagaikan) debu yang berterbangan.” [al-Furqan: 23]

BUKANLAH MAKSUM

Saya juga tidak lupa bahawa saya bukanlah  seorang yang bersifat “maksum” yang terpelihara daripada kesalahan. Para ikhwan semua bebas menilai, mengkritik dan menganalisis apa yang saya sampaikan.

Lagipun ada dikalangan kita yang mempertikai bahawa saya bukannya ada gelanggang, sekadar bergelanggang di Blog “Aku Dan Gayong” tiada kemana pun, jadi segala jawatan saya dalam PSSPGM adalah tidak relevan. Jangan banyak bersembang dan menulis tetapi  banyakkan gelanggang, banyakkan keahlian, hantar yuran, hadir setiap program, jangan megah dengan jawatan dan syok sendiri dengan pelbagai gelaran… Ya saya setuju dengan anda, saya bukanlah seorang bertaraf guru apatah lagi lebih daripada itu, Saya masih belajar. Biarlah para ikhwan yang bergelar Cikgu, Guru, Ayah, Tok dan sebagainya meneruskan usaha mengembangkan Gayong menikut kemampuan dan gaya masing-masing asalkan Gayong berkembang dan kekal matlamat dan perjuangannya.

Hakikatnya saya tak mampu berbuat seperti kalian  untuk membuka banyak gelanggang, cawangan, ranting dan dahan. Saya diajar biarlah orang datang meminang kita, kita bertandang bila diundang. Ilmu kita bukan untuk dijual seperti  benda kebanyakkan kerana kita ada adab yang perlu ditantang. Usah ghairah menjual  ilmu yang ada, kerana ia bukannya benda yang jika tak laku dijual maka ianya rosak dimakan ulat, kekalkan Adab baru ilmu itu berdaulat. Ibarat Hang Tuah lima bersaudara yang sanggup meredah belantara semata-mata untuk berguru dengan pendita Adi Putra  dan sanggup meneruskan cita-cita meredah laut gelora berguru dengan Sang Persantanala. Biarlah adab  kita kekalkan bukan hanya memperjuangkan Adat

Antara Iman dan kufur

Imam Muslim meriwayatkan bahawa pada suatu hari datang seorang lelaki yang menjadi tetamu RasuluLLAH saw. Bagi melayaninya dengan baik RasuluLLAH saw menghidangkan susu yang diperah daripada seekor kambing, kemudian lelaki itu meminumnya sehingga habis. RasuluLLAH saw menambah susu yang diperah daripada kambing kedua, lelaki itu minum lagi sehingga habis, sehingalah sampai perahan dari kambing yang ke tujuh.

Pada malam itu lelaki tersebut telah menerima dakwah RasuluLLAH saw dengan hati yang ikhlas dan terbuka lalu lelaki tersebut telah memeluk Islam. Pada pagi esoknya dengan iman yang telah tersemat dihati, lelaki tersebut sekali lagi menjadi tetamu RasuluLLAH saw. Seperti kelmarin sekali lagi RasuluLLAH saw menghidangkannya dengan susu kambing. Setelah habis susu itu diminum, Rasulullah saw menghidangkan lagi dengan susu yang diperah daripada kambing yang kedua. Kali ini lelaki itu tidak mampu lagi meminum kerana sudah kenyang dan memadai.

Pada saat itulah RasuluLLAH saw mengucapkan kata-katanya yang mahsyur

“ Sesungguhnya orang yang beriman itu minum dengan SATU PERUT, sedangkan orang kafir minum dengan TUJUH PERUT.”

SubhanALLAH… itulah rahsia Iman. Bahawa setiap muslim yang beriman bukanlah seorang yang TAMAK. Bukan tamak pada harta, pangkat, kedudukan, nama dan sebagainya.

Insya ALLAH saya akan mengadap YDP PSSPGM dalam jangka masa terdekat untuk menyerahkan semula Sandang dan Watikah perlantikkan.Bukan soal merajuk atau patah hati, kerana ini tidak sepatutnya ada dalam kamus hidup seorang pejuang apatah lagi kalau ianya seorang Islam. Buat apa saya mempertahankan kedudukan saya, bukannya ada gaji dan bayaran bahkan ianya dilaksanakan tak lebih sebagai pengorbanan demi sebuah pertubuhan. Saya mengambil kira beberapa factor utama yang mana saya berada jauh di Pulau Labuan dan pergerakkan saya terbatas  dan banyak aktiviti PSSPGM yang tak dapat saya hadir bersama. Anak-anak Gayong juga memerlukan pentadbiran dan idea-idea baru demi memartabatkan lagi PSSPGM.  Semoga jawatan yang saya pegang selama ini dapat diberikan kepada insan yang lebih baik dan dapat meneruskan perjuangan ini..

Lagipun Khalifah Abu Bakr as-Siddiq R.A hanya memerintah selama 2 tahun begitu juga Khalifah Umar Abd Aziz juga selama 2 tahun. Saya ini sudah lebih 2 tahun jadi ada baiknya saya berundur dan menumpukan untuk belajar dan bukannya mengajar. Walaupun saya meletak jawatan sekalipun usaha dakwah saya dalam PSSPGM tetap saya teruskan

 Nasib Blog Aku Dan Gayong

Walau bagaimanapun blog ini akan tetap saya kekalkan, kerana disinilah saya bergelanggang dalam meluahkan pandangan dan teguran saya selaku insan yang pernah berada dan bersama kalian dalam warna warni suka duka bergelar anak gayong. Saya mengajar dan mendidik anak Gayong dalam bentuk tulisan, para guru yang hebat semua mengajar melalui kuncian dan tendangan Biarlah saya tak hebat melibas parang apatah lagi menghayunkan sundang, cukuplah saya mencoret kalam mudahan ianya tertikam jauh di hati yang kelam.

Cukuplah 1 cula daripada 7 cula, cukuplah menjadi anak daripada menjadi ayah, cukuplah menjadi murid daripada menjadi guru,Cukuplah kita bersalaman tidak payah sampai dicium tangan, cukuplah memakai putih agar bila kotor mudah kelihatan daripada memakai hitam walau kotor semakin menawan, cukuplah Guru saya mengenali  siapa saya daripada orang lain mengenali siapa saya. Cukuplah kita bersaudara daripada kita tidak bertegur siapa. .Cukuplah hanya 1 gelaran dan jawatan buat saya dalam PSSPGM iaitu “ Anak Gayong yang Faqir lagi Haqir”.

 “Wahai Tuhanku, aku meminta kebaikan yang terdapat pada hari ini dan hari yang setelahnya. Dan aku berlindung dari kejahatan yang terdapat pada hari ini dan hari yang setelahnya.

Hak cipta terpelihara. Setiap artikel yang tersiar di Khalifahgayong.com dihasilkan untuk tujuan pendidikan dan bersifat non-komersil. Pembaca bebas menyalin dan menyebarkan artikel yang terdapat di sini, namun alamat Khalifahgayong.com hendaklah disertakan bersama untuk memudahkan proses rujukan. Manakala untuk penerbitan semula dan berorientasikan komersil, setiap bahagian daripada artikel ini tidak boleh diterbitkan semula, disimpan untuk pengeluaran atau dipindahkan dalam bentuk lain, sama ada dengan cara bercetak, elektronik, mekanikal, fotokopi, rakaman dan sebagainya, tanpa izin KHALIFAHGAYONG.COM terlebih dahulu.

“Aku Dan Gayong”

http://www.khalifahgayong.wordpress.com


Responses

  1. Saya sokong tuan teruskan usaha murni.banyak yg dpt dipelajari dari blog ini terima kasih banyak…Mudah mudahan allah merahmati semua umat islam dari mula hingga akhir..Amin


Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

Kategori

%d bloggers like this: