Posted by: abusyakirin | 17 Januari 2010

Pusaka Dijunjung Ilmu Disanjung

Tendangan

Aksi Arwah Zulkarnain Awang & Jebat abd Majid Di perkarangan Rumah Cikgu Awang Daud ( ADMAA)


Tak cukup hebat lagikah Silat kita ini

Sesekali pesanan arwah tokku terngiang-ngiang di telingaku. Bukan sekadar pesanan bahkan sebenarnya amanah yang disampaikan. Penting sangatkah silat bagi orang tua dulu kala…

”  Nik kalu tokku takdok nanti..nik kena teruskan bersilat…”

” Jangan lupo segalo pesanan Tokku..Belajarlah walau banyok gelanggang pun tok rugi..”

” Belajarlah sampai silat menjadi seolah-olah pakaian kita”

Tokku berkata sambil membetulkan kain semutarnya beserta bengkungnya. Walaupun ketika itu dia sudah tua,namun bila berbicara bab persilatan beliau tampak gagah dan penuh bersemangat. Mungkin kerana beliau dari keturunan Panglima Negeri Kelantan..berpencak dan bersilat adalah darah dagingnya..

Masih segar dalam ingatanku..akulah satu-satunya cucu yang selalu dibawanya berjumpa dengan sahabat segelanggang dengannya. Bahkan beliau selalu membawa ku ke Makam DiRaja Langgar Kota Bharu untuk menunjukkan kubur moyang dan waris kerabat ku.

Seni Silat Pusaka Bangsa

Seni silat merupakan salah satu tradisi peninggalan nenek moyang Bangsa Melayu yang kini kian ditelan zaman. Silat begitu sebati dengan kaum melayu di seantero kepulauan melayu terutama Malaysia dan Indonesia. Jika kita selidik, terdapat berpuluh-puluh jenis silat yang terdapat di tanah melayu ini, bahkan mungkin beratus jenis silat.

Silat merupakan sejenis tarian atau gerakan mempertahankan diri ataupun tarian perang. Pergerakan tari silat yang lembut tersirat pukulan-pukulan maut dan gerakan menepis atau mengunci musuh. Jika dilihat dengan mata kasar kita tidak nampak apakah maksud di sebalik gerakan tari silat tersebut. Bahkan ada yang memandang rendah terhadap kemampuan silat dalam seni mempertahankan diri kerana dianggap lembik dan tidak glamour. Aku pun dulu pernah terfikir belajar boxing lebih baik daripada belajar silat. Buat apa belajar silat dengan tari-tari yang tidak dapat digunakan ketika berlawan. Masa berlawan, takkanlah nak menari lagi…itulah pandangan sinis daripada orang-orang yang tidak tahu nilai seni silat termasuk aku. Boxing lebih baik sebab Nampak pukulannya dengan jelas, dengan hayunan penyepak yang bisa menjatuhkan lawan dan siku yang boleh membelah tempurung kepala musuh. Tari boxing atau langkah sembah kelihatan lebih  gagah dan megah sesuai dengan jiwa aku yang suka lasak heheh…itu dulu, dan setelah aku mendalami ilmu persilatan baru aku merasai kehebatan Seni Pusaka Tuah ini..Sama macam Cikgu Awang Daud kot..hehehe

Barulah aku sedar rupa-rupanya aku silap…silap menilai pusaka yang telah banyak membunuh musuh, menghalau penjajah, mempertahankan negeri. Apakah senjata yang digunakan datuk nenek kita sewaktu melawan penjajah kalau bukan dengan silat. Walaupun berparang, berkeris atau bersenjata , silatlah yang menjadi tonggak menghunus senjata-senjata tersebut. Keadaan berlawan pada zaman dulu adalah dalam jarak dekat, oleh itu tidak dapat lari dari silat kerana kita tahu seni mempertahankan diri melayu adalah silat. Silat adalah seni mempertahankan maruah tertua bagi bangsa melayu. Keris pula merupakan senjata yang sinonim dengan silat, dan lambang bagi bangsa melayu.

Dalam kelembutan ada ketangkasan, dalam ketangkasan ada pukulan, Dalam tarian terkandung seribu jurus, itulah kehebatan silat. Pun begitu, silat hanyalah ilmu untuk mempertahankan diri bukan untuk menunjuk-nunjuk kehebatan sendiri. Gerakan silat yang lemah lembut menunjukkan kelembutan orang melayu yang sinonim dengan bangsa melayu yang kaya dengan budi bahasa dan  sopan-santun hatta dalam bertempur sekalipun. Ini ialah Seni Silat. Manakala bila berGayong tidak ada lagi tari dan kelembutan . Ianya lebih menumpukan kepada ketangkasan, ketepatan dan kemusnahan. Pasal tu Arwah Dato Meor mengatakan Gayong adalah khusus untuk berperang.

Biarpun begitu, segelintir sahaja yang minat dengan ilmu silat. Generasi muda sekarang didedahkan dengan ilmu mempertahankan diri seperti taekwon-do, karate, judo dan sebagainya yang Nampak gah berbanding silat melayu. Seolah-olah silat melayu tidak begitu bernilai ataupun tidak dapat menyaingi kehebatan ilmu mempertahankan diri lain. Apakah ini kerana ketiadaan guru-guru silat yang membuka kelas atau darjat silat yang dianggap kekampungan menyebabkan tiada selera anak muda dengan silat…?

Jika menyelusuri sejarah silam, alangkah beruntungnya kita kerana dapat mewarisi ilmu ini. Bukan kerana kemegahan atau keegoan, tetapi kerana betapa besarnya nilai sesebuah ilmu persilatan itu. Pada masa aku kecil, diceritakan ketika tercetusnya pergaduhan kaum semasa 13 Mei 1969 , selepas benteng tentera dan polis..Silatlah yang mempertahankan kaum melayu. Terutamanya Silat Seni Gayong dan Selendang Merah pimpinan Kiyai Salleh

Antara Silat Segera dan Fast Food

Jika dilihat senario sekarang berlambak wujudnya silat segera yang belajar pun nak segera.. Guru-guru silat pun lebih ramai daripada anak murid.  Silat gaya pos pun ada. Masukkan duit dalam akaun bank, guru akan menghantar senaskah amalan…Agaknya lebih tepat kita katakan Silat IT Namun yang paling BAHAYA ialah ada perguruan yang menggunakan khidmat JIN bagi menunjukkan kehebatan yang mencarik adat.. Rujuklah alim ulamak bagi membezakan diantara  Karamah dan Istidraj.

Adapun silat berbentuk kebatinan amatlah rumit untuk mempelajarinya. Ini kerana kesilapan amalan boleh memberikan kesan buruk kepada pengamalnya. Inilah mungkin penyebab ketiadaan orang mahu meneruskan ilmu ini. Dimanakah hilangnya ilmu ibu gayong sendi gedang tunggal, semar alam tunggal, belah bumi kipas nandung, raja kipas nandung. Kalau ada pada seorang guru pun adakah dapat dipelajari dan menguasainya dalam masa 24 jam sahaja…Silat batin ini, menurut cerita-cerita orang tua, pokok kelapa boleh tumbang hanya dengan menolak angin sahaja. Musuh boleh terpelanting hanya dengan menghembus nafas dan boleh berdiri di atas daun pisang. itu semua adalah kehendak Allah kepada hambanya yang istiqamah dalam perjuangan menegakkan yang Haq dan menentang yang Batil. Cuma yang menjadi persoalan sekarang adakah ilmu ini sudah tiada pewarisnya. yang ada sekarang bolehlah dianggap ibarat

“mee maggi cepat dimasak sedap dimakan akhirnya MEMUDARATKAN BADAN”

Manakala silat yang tidak berbentuk kebatinan ini Kehebatannya tetap ada dan menyimpan rahsia yang tersendiri ( ambil rasa baru mengetahuinya ) . Namun tidak perlu kepada mengamalkan ayat-ayat tertentu dan sesuai dipelajari semua golongan. Pun begitu, masih ada ayat-ayat dan petua yang dijadikan sebagai pendinding atau amalan dalam silat tertentu. Seperti artikel lepas belajar biar berguru dan pemahaman Islam wajib dipertingkatkan dari masa ke semasa.

Setiap Gerak Ada SENI Setiap SENI ada RAHSIA

Gerakan-gerakan tari silat adalah berbeza antara satu sama lain.Antaranya Seludang Jatuh, Lenggang Janda, Benang Kusut, Merbah Berlaga, Kayuh Raja Beradu, Tarik Rotan Banar, Cacok Racik, Helang Berlegar, Helang Melayang, Angkat Pulut, Belah Udang, Bersikat, Limbai, Gajah Berdorong, Permainan Empat Penjuru, Langkah Tiga, Mengumpan Ayam Putih, Tikam Serong, Buang Luar, Buang Dalam, Belebat, Tembung, Parang, Dorong, Spelet, Panah Arjuna dan Sembah Lela dan pelbagai lagi. Tari-tari itu sebenarnya adalah teknik serangan atau menangkis yang digayakan dalam bentuk tari, lemah lembut sesuai dengan adat melayu bersopan santun. Namun orang ramai masih tertanya-tanya ialah silat tari atau silat jatuh, apakah ianya adalah silat perang atau sekadar untuk persembahan?..

“Dalam Gerak ada Tari..dalam tari ada Buah..Bila Buah DiPetik nescaya Musuhkan Rebah

Bab ni kena tanya guru hamba Abe Syed @ A.Aik ( Pegawai Kanan PDRM  Bukit Aman )  orang sohor, orang gedebe orang timbul…jangan marah lawak je..tak pun rujuklah  Guru Azlan Ghanie ( Mahaguru Keris Lok 9) .

Manakala  bila berGayong gerakan kita bukan lagi bersifat lembut bahkan setiap gerakan adalah untuk memusnahkan musuh, misalnya gerakan Rajawali, timang puteri, gerakan harimau, cindai dan lain-lain lagi. Pernah sekali saya melihat batu yang sebesar kepala kita hancur berkecai dipukul oleh  Cikgu Awang  di air terjun Titi Hayun dengan menggunakan kain pelikatnya semasa mengajar Seni Cindai. Itu bukannya kuasa kebatinan tetapi  SENI ( momentun,halaju,ketepatan, daya.. ala saintifik lah katakan) kalau nak tahu bergurulah dengan yang mewarisi pusaka bangsa ini.

Jijok Angin

Misteri dalam silat ialah muziknya. Tiupan serunai dan gendang merupakan pembakar semangat yang meresapi  seseorang pesilat… Pesan Arwah Dato Meor sekiranya Gayong ingin dipersembahkan hendaklah dibaca Sajak Gayong semasa persembahan dijalankan , pesilat akan bersemangat dan kemahuan dalaman membuak-buak menyuruh membuka sembah memula pencaknya. Inilah yang dikatakan “Angin silat ” sepertimana angin makyung, angin dikir,dan angin teri. Itulah misteri yang belum terungkai .. Aku masih ingat ketika ujian bengkung merah pada 1996 di Gelanggang Pusat PSSPGM  Gurun oleh Cikgu Majid aku di uji untuk melakukan semua gerakan asas, baik senaman anak harimau 49 hinggalah senjata tanpa henti ( non stop ) di atas duri pokok semalu. Ianya  semata-mata untuk melihat penguasaan Tapak Gayong …sampai sekarang aku tertanya-tanya kenapa tidak sakit?. Semasa sparring dengan tongkat pulak tongkat partner aku sampai patah dan tongkat aku terkena kepalanya…Alhamdulillah dia tidak cedera Adakah kerana terlalu bersemangat ketika berada dalam “Gelanggang” ataupun  “ Semangat”  yang menguasai ketika itu? Mungkin jugak kerana dikuasai nafsu apabila mendapat Pujian Cikgu Majid.

“haa..baguih..baguih macam ni  baru layak pakai  Bengkung Merah”

Realiti Silat di Masa Kini

Teringat saya waktu kecil-kecil dulu, selepas sahaja menuai padi, gelangang-gelangang silat dibuka dikampung, kalau tidak pun gelangang boxing, anak-anak muda ramai yang datang belajar. Sebab itulah orang-orang dulu jarang yang tidak pandai bersilat, kalau tidak bersilat pun pandai boxing. Mereka gemar belajar, mungkin kerana tidak ada kerja yang nak dibuat, atau mungkin kerana hiburannya tak banyak seperti sekarang, tapi yang pasti mereka rajin menimba ilmu, lepas seperguruan seperguruan pula, lepas segelangang segelangang pula. Lepas mereka belajar silat jatuh, belajar silat tongkat pula, pendeknya mereka rajin.

Kita tengok dulu jarang berlaku gejala sosial yang pelik-pelik seperti hari ini, kalau ada pun tak sama macam sekarang, yang menjadi ancaman dalam negara, yang mengusarkan hati semua orang. Apa tidaknya, kes bunuh, rogol, zina, subang muhram, bahkan seribu satu macam gejala yang terkadang letih untuk disebut berlaku setiap hari. Orang dulu belajar silat bukan semata-mata silat, mereka diasuh menghormati guru, bukan sahaja guru silat mereka, guru orang lain pun mereka hormat, menghormati ibubapa lebih lagi, mereka ada disiplin dan pantang larang. Boleh jadi budaya inilah yang mereka bawa dalam masyarakat. Mereka tak mudah bergaduh walau pun pandai bersilat, kadang-kadang makin pandai bersilat makin merendah diri, macam resmi padi makin berisi makin tunduk, tidak seperti ayam, bertelur sebiji riuh sekampung. falsafah yang diajar (Selagi air mata tidak mengalir, selagi darah tidak menitis jangan pukul orang sekali-kali). Ini sesuai dengan ajaran Islam kalau diamalkan.

Yang pelik bin ajaibnya kenapa budak-budak hari ini jarang yang berminat kearah itu, tidak seperti orang dahulu. Mereka lebih suka merempit yang sudah pasti mengundang geruh, ada yang suka telan pil kuda sehingga hidup tak keharuan bahkan macam-macam lagi. Syabas dan tahniah kepada  Penggerak Pusaka Bangsa yang berjaya mendidik anak bangsanya sendiri, ilmu dan usaha yang baik itu pasti akan direstui Allah. Istiqamah lah kita semua insya Allah.

Umat Melayu Menjunjung Tinggi

Kita harus sedar bahawa proses menghargai seni pusaka bangsa pada diri seseorang adalah tertanam sejak mereka lahir. Misalnya Anak yg baru lahir sedang menyusu pada ibu biasanya mendengar dodoi, dendangan dan nyanyian belaian ibunya akan tersemat rasa seni itu pada jiwa mereka. Makin besar anak itu makin bertambah pengalaman seni pada diri mereka. Seni muzik, seni suara, seni tari, seni silat akan mempengaruhi anak2 itu.

Dalam hal ini mereka akan merasa senang dan puas hati bilamana mendengar atau melihat apa yang telah di alami oleh mereka semasa kecil dahulu. Mungkin kepada peringkat yang telah berumur akan merasa puas hati dan bersemangat serta gembira bila serunai dan gendang silat di mainkan, lagu makyung di alunkan, lagu dikir barat di nyanyikan dan di hayati oleh generasi tersebut. Pepatah ada menyebut ” tempat jatuh lagikan dikenang inikan pula tempat bermain”. Anak kita masih dapat dan sempat mengalami pengalaman ini, tetapi cucu-cucu kita mungkin proses penerimaan nya sudah mula berkurangan. Anak yang berkurangan pengalaman oleh kerana tiada bersambungnya seni tersebut tidak dapat menghayati rasa seni lagi sebagaimana ayah dan datuk mereka dahulu.

Dalam masa 20 tahun saja jika di perhatikan bahawa anak muda yang lahir menjadi sudah pun berumur 20 tahun. Oleh kerana kekurangan pendedahan kesenian tradisi kita, maka minat mereka sudah pudar. kepada mereka bunyi gong gendang, serunai rebab adalah sebagai bunyi bising yg menganggu mereka sahaja, sedangkan bunyi alat2 tersebut bagi orang2 tua mereka adalah satu kemegahan dan timbul rasa puas hati.

Penurunan  permainan tradisi amat ketara pada mereka sudah tiada lagi. Seni Silat Makyung, Wayang kulit, dan lain-lain yang tinggi nilai seninya sudah tidak dapat di hayati lagi. Hal-hal seperti ini sekali lagi tidak dapat di persalahkan kepada mereka. Apa yang penting sekarang ialah kita yang masih ada ini hendaklah menjadi kesinambungan kepada generasi terdahulu yang telah pergi meninggalkan kita supaya pusaka tradisi kita tetap terjaga , terpelihara dan di kembangkan kepada generasi muda.

Sehebat dan Segagah silat yang pernah menyanjung nama bangsa Melayu pada kurun terdahulu, adakah masih kuat untuk melawan arus abad kini. Bangsa Melayulah yang harus mempertahankannya, sebagaimana silat pernah mempertahankan bangsa melayu dahulu. Takkan hilang Melayu di dunia…Melayu akan hilang jika identiti Melayu ini hilang…

Anak langsat dibuat tongkat

Keris lembing senjata melayu

Usaha kita membawa berkat

Menyuburkan seni agar tak layu.

“Ilmu kaloh pada Petua, Petua kaloh pada Raso”

Pesan arwah Tokku

Aku dan gayong

http://www.khalifahgayong.wordpress.com

About these ads

Responses

  1. Salam…layari http://www.kssmj.blogspot.com dan ikuti perkembangan silat yg di warisi oleh anak2 Gayong yg sedang belajar di bumi Anbia Jordan bersama panglima hitam Gayong…syukran

    • Wmslm..
      perbanyakkan artikel dan berita. insya Allah saya akan link kan web enta ke web ini.

  2. artikel yg menarik..terima kasih tuan rumah..

    • terima kasih kerana sudi melayari dan meninggalkan komentar di blog saya ini

  3. Tuan,

    Ana bagi pihak Pendita Mufti Ansari menjemput tuan bertandang ke Gelanggang Desa Jaya, Kepong. Di sana kita boleh berta’aruf dengan lebih dekat lagi. Insya-Allah.

    • Insya Allah…adat pendekar yang jauh dijemput dekat diturut

  4. SY RASA BERSEMANGAT BILA DGR PELBAGAI FAKTA YG DI BERIKAN TAPI PD MASA YG SAMA SY BGTU SEDIH BILA ADA SEGAYONG, SEKENDI MASIH LAGI BERBALAH.. MASIH LG BEREBUT JAWATAN.. APAKAH KITA SUDAH CUKUP ILMU DI DADA?? CUKUP AMALAN UTK DI PADANG MASYAR?? KENAPA KITA NAK MENOLAK HAK MAIL HARIMAU BERANTAI??? KNPA KITA KETIPKAN BELIAU SELAKU GURU-GURU LAMA?? ADAKH BELIAU TIDAK SE GAH GURU2 GAYONG YG LAIN?? RENUNG2KAN???????????

    • Cikgu Mail Penang ke…

  5. maafkan sy klu sy terlalu lantang berbicara, yup btl cikgu mail… tp x pew la, kita abaikan saja perkara ini… tapi sy harap sgt2, klu kita ingingkan bangsa kita hebat sebaris bangsa lain.. mari la kita semua bersatu…

  6. salam perjuangan,
    sangat menarik artikel tuan ini, izinkan saya menyiarkan kembali di blog saya secara suntingan.

    terima kasih

    • Dipersilakan tuan…

  7. Salam ….dimana gelanggang gayong terdekat dgn kawasan Nilai, Negri Sembilan atau guru-guru silat di Nilai, hamba nak berguru..

    • wmslm…cuba saudara tel no tel cg Kasturi dan rujuk pada dia gelanggang di kawasan tersebut 0134897736


Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

Kategori

Ikut

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 72 other followers

%d bloggers like this: